Lautan terancam: Kenapa lautan itu penting? (Bah.1)

- Advertisement -

LAUTAN meliputi lebih kurang 70 peratus dari permukaan bumi walau bagaimanapun lautan kerap dilupakan apabila kita berbicara mengenai perubahan iklim, pencemaran alam sekitar, pemanasan global dan ancaman-ancaman yang mendesak terhadap planet kita.

Justeru Persidangan Lautan Bangsa-bangsa Bersatu (UN Ocean Conference) di Lisbon, Portugal dari 27 Jun hingga 1 ini menjadi harapan kepada para saintis dan aktivis agar satu perubahan dapat dicetuskan. Persidangan ini dihadiri oleh pemimpin-pemimpin dari lebih 20 negara yang dijangka akan mengumumkan satu deklarasi untuk melindungi lautan kita dari eksploitasi dan untuk memulihkannya.

Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) Antonio Guterres menegaskan pada persidangan tersebut betapa kita telah mengambil mudah mengenai lautan dan akibatnya hari ini kita berhadapan dengan situasi yang dipanggil sebagai ‘darurat lautan’. Katanya kita mesti membuat perubahan dan lautan yang sihat dan produktif adalah penting untuk masa depan kita bersama.

Tetapi kenapakah lautan itu penting untuk kita? Berikut adalah sebab-sebabnya.

1. Lautan menghasilkan lebih banyak oksigen dari hutan hujan tropika.

Kita sering memberi perhatian kepada hutan hujan tropika (tropical rainforest) yang menghasilkan 28 peratus dari oksigen dunia. Tetapi lautan menghasilkan 70 peratus dari oksigen dunia. Tumbuhan di lautan menyerap karbon dioksida dan mengeluarkan oksigen untuk kita. 

Kita jarang bercakap mengenai tumbuhan ini sebab ia adalah di antara benda bernyawa paling kecil (microscopic) di dunia dan tidak dapat dilihat dengan mata kasar berbeza dari pokok-pokok hutan hujan tropika yang selalu diberikan tumpuan.

2. Lautan mengawal iklim dunia.

Lautan menyerap haba di kawasan Khatulistiwa (Equator) dan arusnya membawa air hangat (warm water) ke kawasan-kawasan kutub (North Pole dan South Pole). Arus ini juga membawa air sejuk ke kawasan-kawasan Khatulistiwa. 

Tanpa arus-arus ini, terdapat kawasan-kawasan yang akan mengalami cuaca yang melampau dan kawasan-kawasan yang boleh didiami manusia akan berkurangan. Justeru lautan bertindak sebagai pengawal iklim dunia. Tanpa lautan, iklim kita akan menjadi tidak terkawal.

3. Lautan adalah sumber makanan yang penting.

Apabila bercakap mengenai sumber makanan dari laut maka sudah tentu kita akan terbayangkan ikan. Memang benar ikan cukup penting untuk manusia tetapi terdapat sumber-sumber lain dari laut dan secara keseluruhannya lebih 1 bilion manusia bergantung kepada sumber makanan dari laut. 

Selain dari ikan terdapat juga sumber-sumber makanan lain dari laut seperti tumbuhan laut contohnya rumpai laut (seaweed) yang semakin popular. Walau bagaimanapun ikan merupakan 15.7 peratus dari protein haiwan (animal protein) yang dimakan oleh manusia di dunia. 

Jika populasi ikan menjadi berkurangan, nasib lebih 1 bilion penduduk dunia yang bergantung kepadanya akan terancam. Tidak mudah untuk menggantikan sumber makanan itu dalam masa yang singkat.

Kita di Malaysia sering berhadapan dengan kenaikan harga ikan apabila ikan di pasaran berkurangan akibat cuaca yang buruk. Walau bagaimanapun cuaca yang buruk akan kembali reda dan ikan-ikan kembali di pasaran. Tetapi bayangkan apa akan terjadi jika terdapat spesis-spesis ikan yang hilang terus dari lautan.

4. Banyak kehidupan bergantung kepada lautan dan tinggal di dalamnya.

Lebih banyak hidupan yang berada di lantai lautan (ocean floor) dari di atas darat. Pakar-pakar menganggarkan terdapat lebih 300,000 spesis hidupan yang berada di dalam lautan dan bukan semua telah dikenalpasti spesisnya.

Hidupan laut ini memainkan peranan yang penting di dalam ekosistem. Kehilangan hidupan ini akan mengganggu ekosistem dan akan memberi kesan kepada kita. Justeru apabila populasi sesuatu spesis itu berkurangan atau menjadi terancam, ia turut memberi kesan secara langsung kepada kehidupan manusia. 

Dengan perubahan iklim, suhu lautan telah meningkat dan lautan juga kehilangan oksigen. Nilai pH juga telah menurun. Bukan semua spesis kehidupan dapat menyesuaikan diri dengan perubahan ini dan kematian dalam skala yang besar telah berlaku. 

Apabila kita kehilangan penyu atau ikan lumba-lumba (dolphin), kita bukan sahaja kehilangan haiwan-haiwan yang comel tetapi kehidupan manusia akan turut terancam.

5. Ramai yang bergantung kepada lautan sebagai sumber pendapatan.

Dari mereka yang menangkap ikan kepada pekerja resort di tepi laut, berjuta-juta bergantung kepada lautan sebagai punca pendapatan mereka. Menurut statistik FAO (Food And Agricultural Organisation), dalam tahun 2016 seramai 59.6 juta penduduk dunia terlibat dengan perikanan dan akuakultur. 

Tambahan pula 90 peratus dari perdagangan dunia adalah melalui jalan laut. Dengan 60 peratus penduduk dunia tinggal di pesisir pantai, begitu ramai penduduk dunia bergantung kepada lautan yang sihat.

Jika lautan ‘tidak sihat’ maka sudah tentu akan memberi kesan kepada populasi ikan dan mereka yang bergantung kepada penangkapan ikan sebagai sumber kehidupan akan terancam.

Begitu juga dengan resort-resort dan hotel-hotel di tepi pantai akan turut terkesan jika laut menjadi ‘tidak sihat’. Pengusaha dan pekerja sudah tentu akan berhadapan dengan masalah sekiranya bilangan pengunjung berkurangan.

DATO’ ISKANDAR ABDUL SAMAD
Ketua Penyelaras
Pusat Sumber Untuk Kemajuan Masyarakat Dan Perumahan (REACH) – HARAKAHDAILY 4/7/2022

- Advertisement -
- Advertisement -