Menumpang di tanah orang, tiba-tiba minta pampasan

- Advertisement -

Oleh LANJUSOH

TENTUNYA
ramai masih ingat, setiap kali projek pembangunan mahu dilaksanakan kerajaan, ada pihak bantah. Ia berlaku di mana-mana. Bukan sahaja di Malaysia, malah di seluruh dunia.

Adegan itu sering berulang. Rakyat bangkit membantah kerana tidak mahu tabiat lama mereka diubah. Mereka tidak mahu rumah setinggan yang mereka diami sejak berpuluh tahun diroboh.

Mereka lebih selesa dengan longkang tersumbat, air bertakung. Air bertakung menjadi nyamuk aedes mereka tidak kisah.

Asalkan demam denggi tidak terkena keluarga mereka. Biarpun orang luar melihat kotor dan terbiar, bagi mereka itu sudah menjadi kalih.

Mereka membesar di situ sejak berpuluh tahun. Bagi ibu bapa mereka yang membina rumah di situ, sudah tahu ia bukan tanah mereka.

- Advertisement -

Itu tanah kerajaan. Selagi kerajaan tidak arah berpindah, selagi itulah mereka boleh berteduh di situ. Ibu bapa mereka datang dari luar Kota Bharu.

Mencari rezeki di ibu negeri. Ada yang berniaga dan kerja di pusat membeli belah. Mereka seronok tinggal dalam situasi begitu. Mereka tidak perlu lagi naik bas balik ke rumah di kampung asal setiap petang.

Lama kelamaan penempatan setinggan itu membesar. Kalau ada ruang anak pula membina rumah tempat berteduh. Anak-anak pula tidak perasan itu bukan tanah milik mereka.

Mereka menganggap di situlah tanah tumpah darah mereka. Sekarang ada pengasas kampung setinggan itu sudah meninggal dunia. Yang tinggal hanya anak dan cucu.

Kita bimbang kalau si ayah tidak menceritakan kepada anak atau cucu itu bukan tanah mereka. Mereka hanya menumpang buat sementara waktu.

Situasi itu juga diyakiin berlaku terhadap setinggan di PT 79, Seksyen 5, Jalan Atas Paloh Kota Bharu.

Tanah milik Perbadanan Kemajuan Iktisad Negeri Kelantan (PKINK) itu didiami 53 keluarga. Mereka hanya menumpang di tanah milik kerajaan.

Rancang pembangunan sejak 2013

Bagaimanapun pada 2013 PKINK merancang membangunkan tanah tersebut dengan projek perumahan. Projek itu lebih tersusun. Tiada lagi longkang tersumbat dan kawasan terbiar.

Ketika itu PKINK merancang membina pangsapuri di tapak tersebut. Sebelum projek terbabit dilaksana PKINK mengeluarkan notis pemberitahuan kepada penduduk setinggan terbabit.

Banyak siri rundingan dan libat urus diadakan. Kerajaan negeri tidak mahu penduduk tiada tempat tinggal selepas rumah setinggan diroboh.

Kita dimaklum kerajaan negeri membantu penduduk terbabit mendapatkan rumah di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Jalan Kelochor.

Projek perumahan kerajaan Persekutuan itu mengandungi 1,000 unit. Ia terletak tidak jauh daripada tapak tanah milik PKINK. Tidak sampai pun 2 km.

Hasil perundingan yang dibuat 36 daripadanya 52 keluarga setinggan ditawarkan PPR. Menurut PKINK seramai 52 daripada 53 keluarga setinggan terbabit setuju berpindah.

Mereka tahu lot tanah yang didiami sejak berpuluh tahun bukan milik keluarga mereka. Manakala 16 keluarga lagi ditawar berpindah ke RMMK Raudhah PKINK Badang.

Projek tersebut belum siap sepenuh kerana kekangan wabak Covid-19 sebelum ini. Ini bermakna sepanjang rundingan hanya sebuah keluarga yang tidak setuju berpindah. Kalau diambil kira sifir demokrasi, majoriti sudah setuju bermakna ia tiada lagi isu.

Selain itu PKINK turut memberi saguhati sebanyak RM1,000 kepada ketua keluarga yang berpindah. Sebanyak RM500 dibayar sebelum berpindah dan baki RM500 dibayar setelah selesai pindah.

Setidak-tidak upah lori untuk mengangkut barang mereka boleh dimanfaat. Kalau ada penduduk menuntut PKINK bayar pampasan lain kerana rumah mereka diroboh, ia sudah di luar perkiraan.

Sepatutnya penduduk terbabit membayar kepada PKINK kerana dibenarkan mendiami kawasan itu berpuluh tahun. Itu lebih munasabah.

Ada penduduk di tempat lain nak tanya, kalau membina rumah di lot milik orang lain, adakah tuan lot akan berikan percuma. Tentunya tidak.

Sekurang-kurangnya kena bayar sewa bulanan. Itu berlaku di mana-mana. Namun, PKINK lebih berhemah. Tidak mahu membebankan penduduk setinggan terbabit. Sebaliknya PKINK membayar pula saguhati RM1,000.

Adakah segala tindak tanduk itu cuba digambarkan kerajaan Kelantan tidak Islamik. Kita dengar seorang peserta Forum Rakyat di Dewan Perniagaan Cina baru-baru ini menggelarkan Kelantan bukan negeri Islamik.

Kelibat individu itu boleh dilihat di media sosial. Individu terbabit cuba menarik sokongan dengan menghodohkan kerajaan negeri.

Malah difahamkan pada 28 Disember 2020 seramai 16 individu membuat bantahan ke mahkamah. Akhirnya dua minggu lepas mahkamah menolak tindakan 16 individu terbabit. Malah mahkamah membenarkan kerja-kerja perobohan yang tertunda diteruskan.

Ramai tahu ada pihak di belakang mereka. Parti politik terbabit sekadar mencari pengaruh. Kata orang mahu mileage politik murahan.

Cuma kita bimbang ia boleh menjejaskan wibawa parti itu sendiri kerana membela di bukan tempatnya.

Pihak terbabit juga menganjur demontrasi selepas solat Jumaat 24 Jun lepas. Lebih dibimbangi lagi parti terbabit dan bekas setinggan yang melawan arus dicemuh masyarakat. – HARAKAHDAILY 28/6/2022

- Advertisement -