Pemimpin Amanah berdepan tuntutan saman RM60 juta

- Advertisement -

Oleh MUHAMMAD ARIF ISMAIL

KOTA BHARU:
Tuduhan yang dianggap tidak berasas dilemparkan Pengerusi Save Kelantan Dato’ Husam Musa melalui dua hantaran di Facebooknya akhirnya berdepan dengan tindakan saman oleh syarikat terbabit.

Syarikat Al Dar Resources Sdn Bhd menghantar writ saman dengan tuntutan berjumlah RM60 juta kepada pemimpin Amanah Kota Bharu terbabit.

Peguam Azeel Eskandar Azmi dari Tetuan Syazwan Hasim & Azreel Eskandar berkata, saman yang difail di Mahkamah Tinggi Kota Bharu ekoran hantaran pada 3 Jun mendakwa pemilik syarikat terbabit mempunyai kaitan dengan salah seorang Exco Kerajaan Negeri.

- Advertisement -

Katanya, pemilik syarikat terbabit menafikan keseluruhan pernyataan-pernyataan di dalam posting terbabit yang bersifat fitnah sehingga menjatuhkan imejnya dan syarikat yang mempunyai nama baik di Kelantan.

“Notis tuntutan dihantar kepada Husam pada 12 Jun lalu. Maka kami diarahkan untuk memfailkan Writ Saman & Pernyataan Tuntutan pada 21 dan 22 Jun lepas.

“Kedua-dua kes ditetapkan untuk pengurusan kes pada 13 Julai ini,” katanya kepada media baru-baru ini.

Turut hadir pemilik dan pengarah Al Dar Resources Sdn Bhd, Mohd Haffiz Mohd Rasdin. Beliau merupakan kontraktor aktiviti pembalakan di Hutan Simpan Kekal (HSK) Nenggiri, Gua Musang yang terbabit dengan pembinaan empangan.

Sebelum ini hantaran di Facebook pemimpin Amanah terbabit memuat naik kenyataan ‘Kebetulan kontraktor balak Daulah ada kaitan dengan YB Hanifa?’.

Manakala pada kenyataan 6 Jun pula bertajuk ‘Kelantan dikuasai gandingan Dua H? Gandingan Hanifa-Hafiz dikatakan mercu tanda pemerintahan YAB Dato’ Ahmad Yaakob’.

Azeel Eskandar berkata, bagi kes pertama plaintif menuntut ganti rugi am sebanyak RM10 juta daripada defendan akibat penerbitan perkataan berbaur fitnah serta ganti rugi khas RM40 juta kerana kerugian.

Bagi kes kedua pula pihak plaintif menuntut ganti rugi am sebanyak RM10 juta. – HARAKAHDAILY 28/6/2022

- Advertisement -