40 pendatang mati dalam trak di Texas

Trak yang membawa pendatang di sempadan Amerika Syarikat-Mexico - REUTERS
- Advertisement -

SAN ANTONIO: Pihak berkuasa menemui 46 pendatang mati di dalam treler traktor di San Antonio, Texas, semalam, yang Jabatan Bomba bandar ini sifatkan sebagai antara insiden penyeludupan manusia membabitkan paling ramai maut di sepanjang sempadan Amerika Syarikat (AS)-Mexico.

Jurucakap Jabatan Bomba San Antonio berkata, 16 orang lain yang ditemui di dalam treler dibawa ke hospital kerana strok haba dan keletihan, termasuk empat kanak-kanak bawah umur. Pegawai berkenaan juga memberitahu bahawa tiga orang ditahan berikutan kejadian itu.

- Advertisement -

Trak itu ditemui bersebelahan landasan kereta api di kawasan terpencil pinggir selatan bandar ini.

Menteri Luar Mexico, Marcelo Ebrard, menyifatkan kejadian ini sebagai “Tragedi di Texas” dalam Twitter dan berkata konsulat tempatan sedang dalam perjalanan ke tempat kejadian, walaupun kewarganegaraan mangsa belum disahkan.

Terdapat peningkatan bilangan pendatang melintas di sempadan AS-Mexico dalam tempoh beberapa bulan kebelakangan ini, yang telah mencetuskan kritikan terhadap dasar imigresen Presiden AS, Joe Biden dari Parti Demokrat.

Suhu di San Antonio yang terletak kira-kira 250 kilometer dari sempadan Mexico, meningkat hingga 39.4 darjah Celsius pada hari Isnin dengan kelembapan yang tinggi.

Pada Julai 2017, seramai 10 pendatang maut selepas diangkut dalam treler traktor yang ditemui oleh polis San Antonio di tempat letak kereta Wal-Mart. Pemandu kenderaan terbabit, James Matthew Bradley Jr, dijatuhi hukuman penjara seumur hidup pada tahun berikutnya kerana peranannya dalam operasi penyeludupan. – REUTERS

- Advertisement -