MWE 2022 kembali lebih gah, meriah

- Advertisement -

Oleh ZULHAIDI MANSOR

KUALA LUMPUR: Selepas berehat selama dua tahun, Majlis Kayu-Kayan Malaysia (MTC) mengumumkan kemunculan semula pameran perdagangan kayu dan kerja kayu antarabangsa, Ekspo Kayu-Kayan Malaysia (MWE) 2022 yang lebih gah dan meriah daripada ekspo sebelum ini yang diadakan pada 2019.

Pengerusinya, Hajah Norrida Yusoff berkata, bagi memartabatkan industri kayu-kayan negara di tengah-tengah fasa endemik ketika ini, pameran perdagangan dua tahun sekali dianjurkan yang sepatutnya berlangsung pada tahun lepas tetapi ditunda akibat pandemik Covid-19 itu kini bersedia untuk memberi inspirasi dengan penyelesaian baharu, dan membuka peluang lebih besar bagi mendapatkan sumber terkini dalam industri berasaskan kayu.

- Advertisement -

Menurutnya, MWE 2022 menjangkakan pembabitan bilangan pembeli antarabangsa serius yang tinggi, sekali gus akan meningkatkan peluang perniagaan secara adil kepada peserta atau pemamer di pameran perdagangan tersebut.

“Segala-galanya telah digandakan daripada ruang lantai pameran kepada inisiatif yang dilaksanakan untuk menjadikan MWE 2022, satu kejayaan yang memberangsang dan menguntungkan bagi peserta pameran perdagangan kami.

“MWE 2022 yang bakal diadakan bermula 20 hingga 22 November 2022 di Pusat Perdagangan dan Pameran Antarabangsa Malaysia (MITEC), Kuala Lumpur merupakan anjuran bersama MTC; dan Panel dan Kumpulan Perabot serta disokong oleh Kementerian Industri Perladangan dan Komoditi,” ujarnya.

Norrida Yusoff ketika membuat ucap utama bersempena majlis makan tengah hari dan taklimat bersama media mengenai MWE 2022 di Hotel Hilton, Kuala Lumpur pada 20 Jun 2022. (FOTO HARAKAHDAILY/MUHAMMAD ZHARIF ZULKIFLEE)

Katanya lagi, ekspo yang diadakan pada tahun 2019 sebelum ini meraih penyertaan lebih 60 peratus peserta dari luar negara yang sebahagian daripada mereka telah berjaya menjual produk jentera masing-masing pada hari pertama pameran perdagangan itu.

Mengulas lanjut, Norrida berkata, MWE 2022 diperakui oleh Persatuan Industri Kayu Malaysia (MWIA), Persatuan Pengeksport Kayu Malaysia (TEAM), Persatuan Pengeluar Produk Panel Malaysia (MPMA), Majlis Pengacuan & Penyambung Kayu Malaysia (MWMJC), Majlis Perabot Malaysia (MFC), Persatuan Pengusaha Kayu & Perabot (PEKA) serta Lembaga Industri Kayu Malaysia (MTIB), Majlis Pensijilan Kayu Malaysia (MTCC), Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE); dan Persatuan Jentera Kerja Kayu Malaysia (MWMA).

Tambah beliau, ekspo berkenaan juga diiktiraf dan diperakui oleh persatuan-persatuan berkaitan kayu terkemuka dari negara-negara luar seperti China, Perancis, Hong Kong, Thailand dan Amerika Syarikat.

MWE 2022 bakal diadakan dari 20 hingga 22 November 2022 di Pusat Perdagangan dan Pameran Antarabangsa Malaysia (MITEC), Kuala Lumpur. (FOTO HARAKAHDAILY/MUHAMMAD ZHARIF ZULKIFLEE)

Menurutnya lagi, pameran perdagangan itu akan mempamerkan bahan mentah dan produk kayu seperti lantai kayu, acuan, pintu, tingkap dan bingkai pintu, produk panel, palet kayu serta mesin kerja kayu dan alat pemotong, bahan pelelas, pelekat, salutan, peralatan berkaitan kayu, perisian pengeluaran bahan dan perabot.

Beliau berkata demikian pada majlis makan tengah hari dan taklimat bersama media mengenai MWE 2022 di Hotel Hilton, di sini, pada hari ini.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) MTC, Muhtar Suhaili berkata, walaupun sasaran MTC pada 2019 adalah sebanyak RM25 juta, namun ia kemudian berjaya memperoleh jualan mencecah RM140 juta. 

Menurut beliau, MTC berharap untuk melakukan lebih baik pada tahun ini kerana ramai pelabur dan pemilik perniagaan kini tidak lagi melihat pandemik Covid-19 sebagai kekangan dan halangan, tetapi sebaliknya bersiap sedia untuk lebih banyak pertemuan secara bersemuka bagi urusan perniagaan di pameran-pameran perdagangan.

Beliau menambah, MTC menjangkakan lebih ramai pengimport akan menyertai program pemadanan perniagaan, khususnya seumpama Misi Pembelian Masuk yang telah dianjurkan sebelum ini pada 2019 hasil kerjasama dengan MATRADE, yang telah menjana jualan sebanyak RM118.93 juta.

Muhtar Suhaili berucap pada majlis makan tengah hari dan taklimat bersama media mengenai MWE 2022 di Hotel Hilton, Kuala Lumpur pada 20 Jun 2022. (FOTO HARAKAHDAILY/MUHAMMAD ZHARIF ZULKIFLEE)

“Bagi menggalakkan penyertaan dalam MWE 2022, MTC akan menyediakan insentif kepada pembeli tempatan yang membeli jentera, peralatan Kawalan Tarikan Udara (APC) dan bahan mentah.

 “Begitu juga MATRADE akan menawarkan Geran Pembangunan Pasarannya kepada peserta pameran tempatan.

“MTC juga melancarkan video korporatnya dan mengadakan jamuan tengah hari pada hari ini sebagai menghargai sokongan berterusan pihak media kepada MTC selama ini,” katanya.

MWE kali terakhir diadakan pada 2019 dengan meraih penyertaan lebih 60 peratus peserta pameran dari luar negara yang mana sebahagian daripadanya telah berjaya menjual produk jentera mereka pada hari pertama pameran berkenaan.

MTC yang telah ditubuhkan pada Januari,1992 adalah bagi menggalakkan pembangunan dan pertumbuhan industri perkayuan Malaysia di peringkat global. 

Matlamat utama MTC adalah bagi mempromosikan perdagangan kayu-kayan Malaysia dan membangunkan pasaran untuk produk kayu di peringkat global, menggalakkan pembangunan industri dengan menaik taraf pembuatan industri asas teknologi, menambahkan bekalan bahan mentah, menyediakan perkhidmatan maklumat; dan, melindungi dan meningkatkan imej global industri perkayuan Malaysia. 

Maklumat lanjut mengenai MTC dan MWE 2022 boleh diperoleh dengan melayari  www.mtc.com.my. – HARAKAHDAILY 20/6/2022

- Advertisement -