Ketepi perkara cabang elak umat Islam berpecah

- Advertisement -

Oleh NOOR SARA MASHITOH MOHAMAD HANIF

KANGAR:
Perselisihan berkaitan perkara cabang tidak sepatutnya menjadi punca perpecahan dalam kalangan masyarakat Islam di negara ini.

Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Dato’ Ustaz Hashim Jasin berkata, Islam menganjurkan supaya bersatu dengan sesiapa sahaja demi penyatuan ummah.

“Kita diminta untuk bersatu, jadi apa salahnya bersangka baik dengan mana-mana kelompok yang mungkin tidak bersefahaman dengan kita.

- Advertisement -

“Sebenarnya kita boleh bersama dan dituntut untuk bersatu,” katanya pada forum sempena program Perkampungan Sunnah siri ke-7 yang berakhir semalam.

Pada slot berkenaan beliau diganding bersama Presiden Pertubuhan Penyebaran Islam Antarabangsa (IPSI). Dato’ Kamaruddin Abdullah dan Pengerusi Pertubuhan Kebajikan Green Project Malaysia, Kapten (B) Mohd Asri Khalid sebagai panelis manakala Muhammad Zambri Vinoth Kalimuthu sebagai moderator.

Hashim turut merakam ucapan terima kasih kepada Jabatan Mufti Negeri Perlis kerana menjemputnya sebagai panelis forum sempena program berkenaan.

“Ini membuktikan umat Islam sebenarnya boleh bersatu dengan mengenepikan perkara furuq yang menjadi punca perpecahan ummah,” katanya.

Beliau turut menyifatkan Perkampungan Sunnah kali ketujuh berjaya diadakan setelah dua tahun tidak dapat dilaksanakan akibat Pandemik Covid-19. – HARAKAHDAILY 20/6/2022

Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!

Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!