Modus operandi beli minyak guna lori

- Advertisement -

Oleh AIN MANAF

TANAH MERAH:
Polis merampas sebanyak 97,780 liter minyak diesel yang bernilai RM210,227 dalam dua serbuan berasingan yang dilakukan.

Pemangku Ketua Polis Kelantan, Dato’ Muhamad Zaki Harun berkata, kejayaan itu membongkarkan modus operandi baharu dengan membeli minyak menggunakan kenderaan lori bagi tujuan mengaburi mata penguatkuasa.

Katanya, serbuan yang dibuat pasukan strike force dan berjaya merampas kenderaan serta mesin penyedut menjadikan jumlah nilai rampasan keseluruhan hampir RM1 juta.

Kata beliau pihaknya sudah lama membuat intipan ke atas sebuah syarikat pembekal minyak diesel yang dipercayai membeli minyak secara haram dengan harga subsidi dan bukan dengan harga minyak industri bagi mendapat keuntungan.

- Advertisement -

“Kami bertindak di atas maklumat dan membuat serbuan ketika empat lelaki sedang menyedut minyak diesel dari motolori untuk dimasukan ke dalam enam tangki simpanan minyak statik menggunakan dua mesin penyedut minyak.

“Semasa serbuan dilakukan di Mukim Tebing, Tanah Merah lelaki terbabit menyedari kehadiran polis di mana seorang lelaki bertindak melarikan diri dengan memanjat pagar, manakala tiga lagi berjaya ditahan.

“Dua daripada tiga orang yang ditahan merupakan warganegara Malaysia bangsa Cina dan manakala seorang lagi lelaki Bangladesh,” katanya ketika melawat lokasi serbuan di sini semalam.

Katanya, pada serbuan kedua yang dilakukan kira-kira jam 3.15 pagi, polis dibantu pegawai Kementerian Perdadangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) membuat serbuan di sebuah stesen minyak di Machang.

Dalam operasi itu katanya, pihaknya mendapati lima lelaki bersama sebuah lori penggerak utama dan tiga motolori sedang melakukan aktiviti memindahkan minyak diesel. – HARAKAHDAILY 20/6/2022

- Advertisement -