10 ciri ‘produk sampah’

- Advertisement -

AWAL dahulu dalam penulisan saya, tak label pun produk-produk kesihatan yang dijual di dalam media sosial itu sebagai ‘produk sampah’. Kalau ianya segala pemakanan tambahan, ulam-ulaman, jus buah-buahan, tidak pun menjadi masalah. Minumlah atau makanlah berbotol pun sebab ianya adalah jus buah. 

Tetapi claim yang berlebihan (overclaim) sehingga membuat tuntutan boleh menyembuhkan penyakit, boleh merawat penyakit-penyakit tertentu ini dikira sebagai sudah melampaui daripada batas. Tambahan pula teknik promosi mereka amat menjelekkan dan menipu para pembeli yang sudah pun terdesak di dalam kemelut penyakit yang mereka alami sejak sekian lama.

Antara ciri-ciri mempromosikan produk mereka:

1. Guna gambar entah dari mana, sama ada gambar Menteri, Director-General (DG) ataupun gambar doktor yang tersohor. Lepas itu edit gambar tersebut letak promosi produk mereka. Seolah-olah Kementerian Kesihatan atau tokoh-tokoh tertentu itu endorse atau approve produk yang mereka jual.

2. Memakai pakaian ala-ala ahli perubatan seperti letak sangkut stetoskop di bahu, ataupun pakai labcoat putih, untuk menyakinkan pembeli bahawa mereka itu berautoriti untuk bercakap mengenai penyakit dan kaedah rawatan. Pada hal sijil jurujual itu entah ke mana?

3. Diselitkan juga video-video perubatan yang entah dimuat turun dari mana. Video atau gambar perubatan digunakan dalam memberi penerangan berkaitan dengan sesuatu penyakit. Akhir sekali ‘Call to Action (CTA)’ mereka adalah beli produk.

4. Isi kandungan (content writing) yang mereka paparkan pun banyak tersilap fakta. Namun kesian bagi masyarakat umum yang tidak ada asas dalam perubatan, percaya bulat-bulat semua fakta salah mereka itu. Bagi kami sebagai ahli perubatan ini memang tahu bahawa fakta atau maklumat itu tidak betul.

5. Dimasukkan juga promosi berunsur keagamaan kerana majoriti pembeli adalah orang Melayu Islam yang mudah terpengaruh dengan ubat-ubatan yang dipanggil Sunnah. Padahal ia bukan pun Sunnah dan boleh memudaratkan para pembeli. Sepatutnya jus atau produk berkenaan perlu dinilai kembali siapa si peminumnya. Jika pesakit kencing manis sudah tentu jus itu terlalu tinggi kandungan gula yang boleh menyebabkan kencing manis tidak terkawal.

6. Dimasukkan testimoni yang tulus mulus daripada pembeli yang mempunyai kepentingan-kepentingan tertentu. Mungkin mereka jual ejen jualan yang juga ingin melariskan jualan. Ataupun mungkin testimoni yang direka-reka. Semuanya memberangsangkan! Sebaliknya, testimoni yang negatif dan mempunyai masalah tidak pula dipaparkan.

7. Harga jualan mahal betul! Ini adalah salah satu daripada konsep marketing, supaya dilihat produk mereka adalah satu produk yang  berjenama (branded). Padahal harga sebenar tak sampai pun RM10. Beli buah dan kisar sendiri kat rumah pun boleh. Kaedah ini dalam ilmu psikologi, para pembeli akan mudah terpengaruh dengan harga yang mahal, dicampur dengan testimoni dan sedikit kempen daripada penjual. Pesakit akan membelinya dengan penuh pengharapan.

8. Teknik jualan secara ajaib yang tidak pun dinyatakan secara jelas apakah kandungan aktif yang terdapat di dalam produk mereka itu. Bahkan tidak ada pun satu kelulusan kajian klinikal yang tertentu secara saintifik yang membuktikan bahawa produk mereka itu telah ditentusahkan melalui kajian.

9. Lebih membahayakan, produk mereka mengandungi bahan-bahan terlarang. Contohnya ubat terkawal Sibutramin dalam ubat kurus; steroid dalam jus ajaib; Sildenafil dalam ubat gagah perkasa untuk kaum lelaki. Sedangkan ubatan terkawal tersebut, doktor sendiri pun berhati-hati dalam memberikan kepada pesakit. Pemberian ubatan itu hanya diberi mengikut indikasi yang khusus dan dos yang tepat, bukannya pakai taram dimasukkan di dalam jus atau ‘produk sampah’.

10. Apabila ada doktor perubatan yang tegur iklan ‘produk sampah’ itu, terus dituduh doktor itu sengaja nak tutup periuk nasi orang Islam Melayu; doktor berkiblatkan Yahudi dan ubat-ubatan hospital itu banyak bahan kimia yang membahayakan.

Jadi akhir-akhir ini saya sudah menjadi tidak ralat untuk terus menuduh produk yang selalu membuat promosi yang salah dan silap di media sosial itu sebagai ‘produk sampah’! Anda pun boleh berkata demikian.

Matlamat saya adalah untuk memberi kesedaran kepada masyarakat supaya tidak mudah terpengaruh dengan produk-produk yang entah dari mana timbul. Penipuan yang mereka lakukan semata-mata ingin dapatkan sedikit keuntungan dunia, padahal ia tidak pun mendatangkan kesan kepada pesakit. Bahkan boleh membuat pesakit tertentu semakin teruk penyakit kronik mereka.

“Masyarakat Faham, Kami Senang. Masyarakat Keliru, Kami Bantu”

DR SUHAZELI ABDULLAH
Pakar Perubatan Keluarga
Sarjana (Master of Medicine) dalam pengkhususan Perubatan Keluarga Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) – HARAKAHDAILY 15/6/2022

PENAFIAN:
HarakahDaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian HarakahDaily mahupun pendirian rasmi PAS.

- Advertisement -
- Advertisement -