Kenaikan harga rumah: Peluang untuk kerajaan

- Advertisement -

SEJAK awal tahun lepas, rakyat Malaysia telah dikejutkan dengan amaran bahawa harga rumah akan meningkat dengan mendadak.

Ini berikutan kenaikan harga barang-barang binaan yang menyumbang kepada kos pembangunan hartanah.

Contohnya harga bar keluli (steel bars) telah meningkat 20 peratus berbanding setahun yang lalu. Harga purata bagi setiap tan metric sekarang adalah RM3,910 berbanding RM3,258 pada bulan Mei 2021.

Sementara harga simen turut mencatatkan peningkatan sebanyak 12.2 peratus untuk tempoh yang sama. Pada bulan Mei 2021, harganya adalah RM18.61 untuk setiap 50 kilogram (kg) tetapi hari ini RM20.89 untuk setiap 50 kg.

Kenaikan yang sama juga berlaku pada bahan-bahan binaan yang lain dengan peningkatan 2.7 peratus untuk kelengkapan sanitari (sanitary fittings) dan 14.4 peratus bagi batu-bata dan tembok untuk tempoh 2 tahun sejak Januari 2020.

Walaupun kenaikan harga barang binaan telah berlaku sebelum ini namun satu kajian menunjukkan kenaikan untuk 2 tahun yang lepas adalah lebih mendadak. Contohnya telah berlaku peningkatan harga untuk keluli, kaca dan logam sebanyak 28.8 peratus, 25.8 peratus dan 24.1 peratus sejak bulan Januari 2020. 

Walhal untuk tempoh 2 tahun dari Julai 2017 hingga Disember 2019, peningkatannya adalah lebih perlahan iaitu pada 9.8 peratus, 1.2 peratus dan 7.5 peratus.

Kekurangan tenaga kerja terutamanya pekerja-pekerja asing turut akan memberi kesan kepada harga rumah di negara kita.

Sudah tentu perkembangan ini merupakan satu berita buruk bagi mereka yang ingin memiliki kediaman sendiri. Sebelum kenaikan ini berlaku, ramai dari rakyat Malaysia telah menghadapi masalah untuk menjadikan impian mereka satu kenyataan. Justeru jika sesuatu tidak dilakukan sudah tentu harapan mereka akan hancur musnah. Terdapat pihak yang meramalkan kenaikan harga rumah sehingga 20 peratus.

Memang tidak dapat dinafikan kerajaan perlu melakukan sesuatu jika mahu melihat golongan berpendapatan rendah dan sederhana rendah memiliki kediaman mereka sendiri. Tetapi bagaimana? Harga keperluan harian pun tidak menentu, bagaimana hendak mengawal harga bahan binaan?

Adakah kerajaan perlu memberi subsidi untuk bahan-bahan binaan sepertimana petrol, diesel dan minyak masak? Jika ini dilakukan manfaat belum tentu akan diterima oleh sasaran yang sepatutnya kerana bahan-bahan binaan untuk pembinaan kediaman kos tinggi juga akan menikmati subsidi ini. Malah kediaman kos tinggi akan menerima lebih banyak subsidi kerana kuantiti bahan binaan yang lebih tinggi dari kediaman mampu milik.

Subsidi yang diberikan tidak akan sampai sepenuhnya kepada golongan sasaran. Berjuta-juta malah berbilion-bilion ringgit akan dibazirkan untuk tujuan-tujuan lain.

Bagaimana jika hanya projek-projek kediaman mampu milik layak menerima bahan binaan dengan harga subsidi? Konsepnya hampir serupa dengan penjualan petrol RON95 hanya kepada kenderaan-kenderaan tempatan tetapi lebih rumit untuk dilaksanakan bagi bahan-bahan binaan.

Pemaju dan kontraktor selalunya melaksanakan beberapa projek serentak. Jika mereka membangunkan kediaman mampu milik kemungkinan besar mereka juga membangunkan kediaman kos-kos lain di waktu yang sama. Mustahil untuk memastikan bahan-bahan binaan untuk projek-projek mampu milik tidak digunakan untuk projek-projek lain. Siapa akan menguatkuasakannya? Adakah kerajaan memiliki tenaga yang mencukupi. Tambahan pula jika projek-projek ini pada tapak yang sama atau sebelah menyebelah.

Walau bagaimanapun lebih mudah untuk kerajaan mengawal subsidi bahan-bahan binaan ini jika kerajaan sendiri yang membina kediaman-kediaman tersebut. Ini bukan sesuatu yang baharu kerana memang terdapat projek-projek perumahan sama ada di bawah Kerajaan Persekutuan atau Kerajaan Negeri. Walaupun projek-projek ini dilaksanakan oleh kontraktor-kontraktor mereka namun lebih mudah untuk mengawalnya dari projek-projek swasta. 

Masalah yang melanda ini perlu dilihat sebagai satu peluang bagi kerajaan untuk terlibat secara bersungguh-sungguh di dalam pembinaan kediaman mampu milik. Dengan bilangan unit yang begitu besar sudah tentu tidak mustahil untuk menurunkan kos walaupun berdasarkan pengalaman sebelum ini, kos projek kerajaan selalunya lebih mahal dari kos projek swasta. Perlu ada permulaan baharu. Kita perlu melihat ke Singapura bagaimana 81 peratus penduduk republik itu tinggal di kediaman yang dibina oleh pemerintah melalui Housing Development Board (HDB).

Terdapat banyak tanah-tanah kerajaan yang boleh dibangunkan untuk kediaman rakyat atau pembangunan bercampur mengandungi kediaman rakyat. Sama ada tanah-tanah kosong atau bangunan-bangunan usang yang perlu dibangunkan semula. Di masa dahulu, lot-lot ini akan diberikan kepada para kroni yang akan menjualkannya kepada pihak ketiga untuk mendapat keuntungan besar yang segera. Amalan ini perlu diberhentikan. Kerajaan sendiri yang perlu membangunkannya.

Pulangan kepada kerajaan jika membina pembangunan mampu milik mungkin tidak setinggi membangunkan pembangunan komersial melalui syarikat ketiga namun adakah kerajaan memerlukan keuntungan tersebut? Kerajaan perlu melabur untuk keselesaan dan kemudahan rakyat kerana ia adalah pelaburan jangka panjang. Jangan hanya melihat keuntungan jangka pendek ketika rakyat terkial-kial untuk merealisasikan kediaman impian mereka.

DATO’ ISKANDAR ABDUL SAMAD
Ketua Penyelaras
Pusat Sumber Untuk Kemajuan Masyarakat Dan Perumahan (REACH) – HARAKAHDAILY 15/6/2022

- Advertisement -
- Advertisement -