Isu air Kelantan: Hikayat pengkhianatan 30 tahun

- Advertisement -

SETIAP masalah, perlu dinilai daripada puncanya. Tanpa punca yang betul, tiadalah penyelesaian tuntas melainkan hanya bersifat sementara ataupun sekadar atas angin sahaja. Sekiranya melihat kepada perjalanan masalah air di Negeri Kelantan, secara ringkasnya masalah ini bukanlah masalah yang baharu sahaja berlaku. Masalah ini berlaku daripada tahun sebelum 2000 lagi. Mengikut catatan, isu ini telah berlaku sebelum tahun 1990 lagi. Dijadikan ringkasan, sudah 32 tahun rakyat Kelantan menghadapi masalah ini.

- Advertisement -

Apa punca kepada masalah air selama 32 tahun ini? Negeri Kelantan telah dinafikan hak dan dibiarkan 10 tahun kebelakang berbanding negeri-negeri lain. Seperti yang dimaklumkan, masalah ini bermula lebih awal lagi daripada tahun 1990. Namun, pasca Pilihanraya Umum ke-8 (PRU-8) yang telah berlangsung pada 21 Oktober 1990, Kelantan telah berubah tampuk kepimpinan negeri daripada Umno kepada PAS. Di saat inilah, Projek Bekalan Air Kelantan Utara (BAKU) telah ditarik balik walaupun telah diperuntukkan pada tahun sebelumnya dan persiapan jentera serta asas binaan sudah tersedia. 

Perbandingan dengan negeri-negeri lain, Kelantan juga telah dinafikan pendanaan bagi menyelesaikan isu air. Di Pulau Pinang, geran telah diberikan kepada kerajaan negeri bagi membina Embangan Mengkuang. Empangan ini bukan projek jutaan, malah berbilion dikeluarkan oleh kerajaan. Akhirnya, empangan yang berkeluasan 3.9km persegi dan dapat menampung jumlah takungan air sebanyak 23.6 bilion liter ini telah disiapkan dan dibuka pada tahun 1985. Di Negeri Johor pula, peruntukan diberikan sebanyak RM2 bilion.

Adapun untuk Kelantan, peruntukan bagi pembangunan bekalan air di Negeri Kelantan hanyalah sebanyak RM600 juta sahaja. Itupun pelbagai syarat dikenakan seperti kontraktor lantikan daripada kerajaan, kewangan RM600 juta tidak akan dipegang oleh kerajaan negeri dan sejumlah peruntukan tersebut adalah pinjaman, berbeza dengan geran yang diberikan kepada negeri-negeri lain. Bahkan, RM600 juta tersebut merupakan bantuan secara berperingkat untuk jangka masa 20 tahun bukannya sekali gus. Selama 10 tahun isu ini berlalu, pada tahun 2003, Kelantan akhirnya baru sahaja dapat membina loji baharu di Chiha. 

Analogi paling mudah sebagai gambaran di benak fikiran kita, seperti sebuah pertandingan lumba lari. Salah seorang antara mereka telah diikat dalam pertandingan tersebut tetapi yang lain diberikan kebebasan untuk terus menuju ke depan. Akhirnya selepas 3 minit, barulah ikatan tersebut dibuka. Melihat kesemua 13 rakan-rakannya sudah jauh ke hadapan namun seorang ini baru memulakan pecutan. Begitulah juga Negeri Kelantan. 10 tahun ini membawa kesan signifikasi yang cukup kuat kepada rakyat. 

Hanyalah pada tahun 2016, sinar mula kelihatan dengan adanya Penstrukturan Semula Industri Perkhidmatan Bekalan Air di Kelantan. Melalui pelan ini, Pengurusan Aset Air Berhad (PAAB) mengambil alih semua aset air di Kelantan dan memberikan modal kepada Air Kelantan Sendirian Berhad (AKSB) untuk menguruskan bekalan air bersih serta memberikan fokus kepada operasi yang dikawal selia oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN).

Antara peruntukan yang diberikan ialah untuk membangunkan Loji Rawatan Air (LRA) dan mengganti semula paip usang. Peruntukan itu disalurkan melalui Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air (KeTTHA) dan Perbadanan Aset Air Berhad (PAAB).

Bagaimanapun, kos keseluruhan untuk memulihkan industri perkhidmatan bekalan air Kelantan sudah meningkat melebihi RM2 bilion. Perkara ini semestinya tidak akan berlaku jika budaya politik dendam yang diamalkan kerajaan pemerintahan Umno pada zaman dulu.

Bahkan, semasa PH memerintah ada usaha untuk melengahkan projek-projek yang sudah dirancang untuk Negeri Kelantan seperti di dalam RMK11. Antara projek yang sehingga kini masih belum dimulakan ialah pembinaan Loji Rawatan Kumbahan di Tunjong, Kota Bharu.

Begitulah sebahagian rumusan sejarah perjalanan isu air di Kelantan. Apakah salah sekiranya kita menyatakan antara punca utama Kelantan lambat menerima peruntukan dan projek bagi menyelesaikan masalah air di negeri ini? Sudah tentu salah sekiranya kerajaan negeri hanya bertindak menyalahkan tanpa usaha yang konkrit. Namun bukan itu yang telah dibuat Kerajaan Negeri Kelantan. Ada usaha yang telah kerajaan negeri laksanakan, bersambung pada bahagian 2

PROFESIONAL ISTIQAMAH – HARAKAHDAILY 18/5/2022

- Advertisement -