Umno Besut ‘bbuak pulok’

- Advertisement -

BBUAK’ dalam bahasa Terengganu bermaksud seperti meroyan, buat hal, buat perangai gila-gila atau bertindak kurang waras. Jika ditambah dengan perkataan ‘pulok’ memberi makna, mengulangi perbuatan meroyan, perangai gila-gila itu. Mudah cakap, mereka memang sudah memperlihatkan perangai sebegitu sebelum ini. Ia bermusim, datang sesekali, macam datang bulan. Beberapa hari lepas, di Besut ada acara Umno masuk Umno.

- Advertisement -

Semalam, Datuk Nawi Mohamad, ADUN Hulu Besut, yang juga Ketua Umno Bahagian Besut, ‘bbuak pulok’, mengeluarkan janji atau manifesto BN Terengganu kepada rakyat Terengganu jika menang PRU15 nanti. Yang pertama, BN akan meneruskan projek LPT3 sehingga ke Besut, bagi merancakkan pembangunan sekitar Besut khususnya. Keduanya, BN berjanji akan membina sebanyak 30 buah masjid dalam masa lima tahun. Jalan empat lorong juga akan dibuat dari Kemaman ke Besut tanpa tol dan secara percuma melalui jalan pantai bagi janji ketiga. Dan janji yang keempat ialah akan memajukan Tasik Kenyir bagi pelancongan.

Saya telah menulis sebelum ini menyatakan bahawa ahli Umno di Setiu dan Besut adalah Umno yang paling rugi kerana menyokong Umno Terengganu, tetapi kemajuan hanya dikecapi oleh Umno bahagian lain. Dari Kemaman sampai ke Kuala Nerus, sudah mempunyai infrastruktur yang jauh lebih baik daripada Umno di kedua-dua bahagian ini. Apa yang boleh dibanggakan Umno Besut selama lebih 50 tahun BN memerintah Terengganu? 

Hanya kerana dendam BN kepada PAS Kelantan, ahli Umno Besut dan Setiu sebenarnya yang menjadi mangsa. Jika kemajuan terlalu banyak di kawasan mereka, tempias itu juga akan diperolehi oleh PAS Kelantan. BN takut, ia dilihat merugikan. Jadi lebih baik mereka menjadi hamba abdi Umno, rela diketepikan dari pembangunan kerana takut PAS di Kelantan juga merasa nikmatnya. Cerdikkah namanya?

Kita juga tahu akan perbalahan antara Idris Jusoh dan Ahmad Said semenjak dahulu. Dua-dua diturunkan dari singgahsana MB. Nasib Idris agak malang kerana hanya sempat bertahan sepenggal sahaja, sebelum diturunkan. Berbanding Ahmad yang mendapat dua tahun lebih lama daripada Idris. Tetapi jelas sekali, Taman Ilmu yang dibina Idris, ditinggal sepi oleh Ahmad. Jertih Souq yang dirancang Idris, terbengkalai, tidak dihirau oleh Ahmad.

Monsun Cup yang tiada sambutan, D’Riyaz yang tidak pernah untung, Taman Tamadun Islam yang masjidnya bocor dan monumen rosak, antara projek yang dirintis oleh Idris yang majoritinya dibolot oleh Patrick Badawi, menenggelamkan kira-kira RM1 bilion wang rakyat Terengganu di dasar Sungai Terengganu, juga tidak disambung secara agresif oleh Ahmad Said yang sibuk dengan Kenyir, bas dua alam dan ubi gadong yang boleh membesarkan payudara itu. LPT2 juga mempunyai masalah jalan beralun, jumlah kemalangan yang tinggi, belanja meningkat dua kali ganda iaitu lebih RM2 bilion dan kelewatan disiapkan. Semua itu dimulakan pada zaman Idris.

Malah pada zaman pemerintahan Razif juga, semua projek Idris ini tidak dibangunkan kembali. Sepertinya duit rakyat Terengganu itu kepunyaan pusaka mereka, sesuka hati dibiarkan dan dibazirkan. Mereka sibuk membina tugu mereka sendiri. Mahukan zaman pemerintahan mereka dikenang. Tiada mereka susah dan gundah, kerana duit itu duit rakyat, bukan duit mereka. Jika sesama sendiri juga mereka berdendam, apa lagi yang kita harapkan?

Kini Nawi dengan muka tanpa malu, mengeluarkan janji-janji sekali lagi, sedang dalam masa yang sama, beliau tahu yang Besut akan kekal ketinggalan kerana dendam BN kepada PAS Kelantan, walau BN menang di Terengganu. Besut terpaksa menelan segala kepahitan itu. Rakyat Kelantan tidak terliur dengan umpan pembangunan, malah, rakyat Besut pula yang ramai membeli belah di Kota Bharu. Menaiki pesawat di Lapangan Terbang Sultan Ismail, Pengkalan Chepa yang sibuk melebihi lapangan terbang di Terengganu itu semenjak zaman BN lagi.

Tidakkah Nawi sedar akan janji-janjinya itu hanya angan kosong? Mana mungkin Ahmad akan mendahului Besut dalam pembangunan sedangkan pembangunan di sekitar Kemaman, kawasan beliau sendiri terbantut kerana kegagalan merancang. Lihat Bandar Baru Kijal, Zoo Kemaman, kawasan sekitar Kertih yang sudah hampir 40 tahun, tidak menunjukkan kemajuan yang setanding Miri, sedangkan ia adalah pusat pengeluaran petroleum negara. Dan mereka juga gagal mendapatkan kembali royalti yang mereka gadaikan kepada pusat dahulu. PAS pula yang berjaya.

Semua pembangunan yang gagal oleh BN itu sekarang terpaksa diuruskan kembali dengan lebih baik oleh PAS. Satu sebab sahaja, ia adalah kerana semua itu menggunakan wang rakyat. PAS tidak seperti Umno untuk berdendam bukan sahaja dengan musuh, malah sesama sendiri. PAS malah, membina dan membaiki semula semua projek sakit yang dibuat oleh Umno semampunya. Ini menyebabkan Umno sangat marah dengan PAS kerana rakyat sangat cerdik membuat bandingan. Jelas PAS lebih ikhlas kerana bersungguh-sungguh menyelamatkan wang rakyat.

Jika anda percaya kepada janji Nawi, anda dalam kategori orang yang tidak cerdik sebab puluhan tahun Umno memegang kuasa, apa yang Besut dapat? Setiu, lagi jauh ketinggalan. Jangan jadikan diri anda bodoh dengan mempercayai janji-janji ini, apa lagi janji mengugut begini. Sedangkan Perdana Menteri sendiri akan turun merayakan sambutan Rumah Terbuka Aidilfitri Malaysia di Terengganu esok, kerana mahu mengurangkan jurang politik sebagai Keluarga Malaysia. Tetapi Nawi masih mengajak umat Islam berpecah pula. 

Kecuali Nawi ada niat mahu menjadi Menteri Besar, dengan menggulingkan Ahmad, bagi membalas dendam kepada kemunduran Besut. Mungkin Nawi sekarang sedang melakukan gerakan? Kita tunggu pembalasan Umno Besut kepada Kemaman.

MOHD NASIR ABDULLAH 
18 Mei 2022 – HARAKAHDAILY 18/5/2022

PENAFIAN:
HarakahDaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian HarakahDaily mahupun pendirian rasmi PAS. Segala risiko akibat penyiaran ini menjadi tanggungjawab penulis sendiri.

- Advertisement -