Kremlin berang negara G7 dan EU rancang guna rizab Rusia

Bank Pusat Rusia

KREMLIN: Rusia menyifatkan kuasa besar ekonomi G7 (Kumpulan 7) dan Kesatuan Eropah (EU) sebagai mencuri secara terang-terangan apabila merancang merampas rizab negara itu yang dibekukan dan dibelanjakan bagi pihak Ukraine.

Menteri Kewangan Jerman, Christian Lindner, memberitahu empat akhbar Eropah bahawa beliau terbuka kepada idea untuk merampas aset negara Rusia bagi membiayai pembangunan semula Ukraine dan cadangan itu telah dibincangkan di kalangan G7 dan EU.

Advertisement

“Saya secara politik terbuka kepada idea untuk merampas aset asing Bank Pusat Rusia,” kata Lindner dalam temu bual bersama akhbar bisnes Jerman, Handelsblatt dan tiga akhbar Eropah.

“Dalam kes aset persendirian, kita perlu melihat kemungkinan dari segi undang-undang. Kita perlu menghormati kedaulatan undang-undang walaupun berurusan dengan oligarki Rusia.” katanya.

G7 dianggotai oleh Kanada, Perancis, Jerman, Itali, Jepun, United Kingdom dan Amerika Syarikat, manakala anggota EU ialah 27 negara di benua Eropah.

Jurucakap kerajaan Rusia, Dmitry Peskov, memberitahu wartawan bahawa tiada siapa memaklumkan kepada negara itu berhubung inisiatif itu yang disifatkan sebagai tidak sah dan sudah tentu memerlukan tindak balas sewajarnya…Ia sebenarnya adalah mencuri secara terang-terangan.

Kumpulan tujuh kuasa besar Barat melarang transaksi dengan Bank Pusat Rusia dan membekukan aset negara yang dipegang dalam bidang kuasa mereka, bernilai kira-kira AS$300 bilion, selepas Rusia melancarkan serangan yang digelar operasi ketenteraan khas di Ukraine, Februari lalu. – REUTERS