Susunan YUSMAN AWANG
LONDON: Seramai kira-kira 200 orang berkumpul sambil berkabung di ibu negara Britain di sini pada Khamis (12 Mei) sebagai penghormatan buat wartawan Al Jazeera, Shireen Abu Akleh, sehari selepas dia dibunuh tentera Israel di Tebing Barat.
Wartawan Palestin-Amerika beragama Kristian yang berpengalaman membuat liputan konflik Timur Tengah untuk Al Jazeera selama lebih 25 tahun itu ditembak mati pada Rabu (11 Mei) semasa serbuan tentera Israel terhadap penduduk Palestine di bandar Jenin, Tebing Barat.
Menurut laporan Arab News, Palestine Solidarity Campaign yang menganjurkan perhimpunan tersebut dalam kenyataan medianya berkata, ia diadakan juga adalah bagi memperingati kesemua wartawan Palestin beragama Islam yang mati syahid akibat dibunuh oleh Israel dalam usaha membawa kebenaran kepada dunia.
Duta Palestin di United Kingdom, Husam Zomlot turut menyertai perhimpunan tersebut yang turut disertai wartawan, yang berkumpul pada jam 5.30 petang di luar ibu pejabat Perbadanan Penyiaran British (BBC) yang berpangkalan di sini dengan membawa lilin, bendera dan gambar.
Protes anti-apartheid di luar kedutaan Israel
Susulan itu agensi berita Dailymail.co.uk melaporkan, pada Sabtu (14 Mei), seramai 15,000 penunjuk perasaan pro-Palestin telah mengambil bahagian dalam protes jalanan dan berarak ke kedutaan Israel di Kensington, London untuk memperingati Abu Akleh dan kesemua wartawan yang mati dibunuh Israel; dan sempena 74 tahun pencerobohan berterusan di Israel di Palestin.
“Setahun selepas pengeboman 11 hari Israel ke atas Semenanjung Gaza yang turut membunuh 67 kanak-kanak, penunjuk perasaan menuntut sekatan ke atas Israel atas kesalahan jenayah perang, pencerobohan haram dan dasar apartheid di Palestin,” kata penganjur protes berkenaan, Friends of Al-Aqsa (FOA) dalam satu kenyataan.
Penunjuk perasaan turut membawa gambar serta 55 jaket akhbar untuk mewakili 55 wartawan yang dibunuh oleh Israel sejak tahun 2000.
Selain 55 wartawan yang terbunuh itu, Palestinian Journalism Syndycate dan Reporters Without Borders sebelum ini telah merekodkan lebih daripada 144 wartawan cedera diserang tentera Israel dalam tempoh empat tahun yang lalu.
“Corak pembunuhan yang dilakukan tentera Israel menyalahi undang-undang, dan ia sememangnya menyasarkan golongan wartawan dan pembela hak asasi manusia,” ujar Timbalan Pengarah Program Timur Tengah Amnesty International, Saleh Hijazi.
Terdahulu, Timbalan Ketua Palestinian Journalism Syndycate, Tahseen al-Astal menyeru Perubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) memikul tanggungjawabnya dalam melindungi wartawan dan mendakwa pelaku jenayah Israel terhadap wartawan Palestin.
Menurut al-Astal, data Palestinian Journalism Syndycate telah merekodkan masing-masing 500 dan 700 membabitkan serangan pencerobohan Israel dan jenayah terhadap wartawan Palestin pada setiap tahun.
“Sudah tiba masanya untuk jenayah ini dihentikan dan Israel perlu bertanggungjawab atas jenayah yang dilakukannya itu,” katanya.
Beliau menegaskan bahawa pencabulan Israel terhadap hak asasi wartawan Palestin adalah bertujuan untuk menutup mulut dan menghalang media daripada menyampaikan fakta sebenar kepada dunia tentang pencerobohan kejam zionis di bumi Palestin.
Tahun 2014 apabila zionis Israel melakukan serangan besar-besaran terhadap Semenanjung Gaza dan membunuh lebih 2,200 rakyat Palestin telah dicatat sebagai tahun ‘paling berdarah’ buat wartawan di Palestin.
Sementara menurut FOA lagi, demostrasi jalanan yang dirancang esok itu bermula di luar BBC, dengan nama setiap wartawan yang terbunuh akibat kejahatan Israel akan dipamerkan dalam bentuk visual.
“Pembunuhan wartawan yang disasarkan Israel adalah jenayah perang. Kami menyeru agar sekatan dikenakan segera ke atas Israel,” tegas Ketua Hal Ehwal Awam FOA, Shamiul Jorader.
Pada demonstrasi tersebut, penunjuk perasaan akan menyeru untuk menamatkan pendudukan haram Israel dan apartheid di Palestin, yang dikenali ramai sebagai Nakba atau malapetaka yang berterusan bermula pada 1948 apabila lebih 750,000 lelaki, wanita dan kanak-kanak Palestin dipaksa zionis Israel meninggalkan kediaman mereka.
Keluarga Hadid lahirkan simpati
Sementara model terkenal, Bella Hadid turut berkabung atas kematian Abu Akleh dengan berkongsi berpuluh-puluh catatan mengenai mendiang di laman instagramnya.
Hadid yang mempunyai 51.8 juta pengikutnya di aplikasi itu berkongsi lebih daripada 30 siaran menandakan kematian wartawan veteran Al Jazeera itu.
“Saya tidak mempunyai kata-kata lagi…Mereka akan cuba untuk membenarkan pembunuhan tidak masuk akal ini,” Hadid dalam catatan cerita Instagramnya yang termasuk berita pembunuhan Abu Akleh oleh tentera Israel.
“Beristirahatlah dengan aman kepada wartawan luar biasa dan berani, Shireen Abu Akleh,” sambung Hadid dalam catatan cerita Instagramnya itu.
“KEWARTAWAN BUKAN SATU JENAYAH,” tulisnya dalam catatan cerita Instagramnya yang lain.
Adik lelaki Bella, Anwar Hadid pula berkongsi kiriman oleh seorang ilustrator Palestin kelahiran Chicago Shirien Damra yang berkabung atas kematian Abu Akleh.
Bapa Bella dan Anwar, Mohamed Hadid, turut berkongsi beberapa catatan instagram mengenai kematian Abu Akleh termasuk satu liputan akhbar yang mengecam pembunuhan wartawan berusia 51 tahun itu.
Dalam era perang Palestin antara 1947 hingga 1949, Mohamed yang ketika itu masih kanak-kanak menjadi pelarian ke Syria bersama keluarganya selepas dihalau Israel yang merampas kesemua aset milik keluarganya di Palestin.
Polis Israel serang pengusung keranda Abu Akleh
Keganasan Israel berlarutan pada hari ini, Jumaat (13 Mei) meletus antara pasukan polis keselamatan Israel dan warga Palestin Islam dan Kristian yang mengusung dan mengiringi keranda Abu Akleh keluar dari hospital, sebelum dibawa ke sebuah gereja untuk disemadikan di Baitulmaqdis.
Menurut laporan CNN, beratus-ratus warga Palestin berkumpul di luar Hospital St. Joseph di Baitulmaqdis sebelum berarak mengiringi sebilangan pengusung keranda mendiang untuk ke tapak pengebumian di Gereja Ortodoks Yunani, apabila mereka secara tiba-tiba diserang dengan belantan oleh puluhan polis Israel.
Bom kilat dan gas pemedih mata telah dilepaskan polis Israel. Sementara, rakaman langsung Al Jazeera menjadi bukti yang menunjukkan polis Israel telah bertindak ganas memukul warga Palestin yang berkabung atas kematian Abu Akleh itu dengan belantan ketika kejadian, sehingga keranda tersebut hampir terjatuh ke tanah.
“Akibat keganasan yang berlaku itu, mayat Abu Akleh kemudiannya dibawa kembali ke dalam hospital berkenaan sebelum kemudiannya dibawa dengan kereta jenazah ke tapak pengebumian,” lapor Al Jazeera. – HARAKAHDAILY 13/5/2022