Rakyat bangkit hapuskan empayar nepotism Rajapaksa di Sri Lanka

- Advertisement -

Susunan YUSMAN AWANG

Empayar pemerintahan nepotism keluarga Rajapaksa di Sri Lanka digempur dengan kebangkitan rakyat yang sudah tidak dapat lagi menahan amarah, impak krisis ekonomi terburuk dalam beberapa dekad yang dialami negara itu susulan kekurangan bahan api dan keperluan lain selama berbulan-bulan.

Bantahan rakyat terhadap masalah ekonomi yang bermula sejak kira-kira empat minggu lalu itu telah merebak ke seluruh Sri Lanka, sebelum berkembang kepada kritikan terhadap keluarga Rajapaksa yang memegang kuasa politik negara itu, dan akhirnya telah mencetuskan kepada berlakunya keganasan di seluruh negara itu.

- Advertisement -

Pasukan keselamatan Sri Lanka telah diarahkan menembak orang ramai yang melanggar undang-undang dalam usaha untuk memadamkan protes anti-kerajaan di pulau itu.

Penunjuk perasaan menggesa peletakan jawatan Presiden Sri Lanka, Gotabaya Rajapaksa, namun pada Isnin (9 Mei), abang Gotabaya, Mahinda Rajapaksa, pula yang meletakkan jawatan sebagai perdana menteri di tengah-tengah pertempuran jalanan yang ganas.

Bagaimanapun peletakan jawatan Mahinda itu gagal meredakan keganasan di seluruh Sri Lanka dan pada Selasa (10 Mei), kerajaan negara itu mengarahkan pihak tentera untuk melepaskan tembakan ke arah sesiapa yang merompak harta awam atau menyebabkan ‘kemudaratan kepada nyawa’.

Ia juga mengerah puluhan ribu anggota tentera, tentera laut dan tentera udara untuk meronda di jalan-jalan di ibu negara Colombo.

Rumah pusaka keluarga Rajapaksa dibakar oleh sekumpulan perusuh antikerajaan di Hambantota, Sri Lanka pada 9 Mei 2022. (FOTO OneIndia)

Impaknya, sehingga Rabu (11 Mei) lapan orang maut dan lebih 200 lagi dilaporkan cedera. Antara yang terbunuh dalam pergolakan paling teruk sejak krisis itu bermula termasuklah Amarakeerthi Athukorala, seorang ahli parlimen dari parti pemerintah yang sebelum itu menembak mati dua orang awam.

Terdahulu pada lewat malam Isnin, penyokong kerajaan di ibu negara Colombo telah menggunakan kayu untuk menyerang penyokong parti pembangkang yang berarak dan mengadakan protes jalanan susulan krisis ekonomi terburuk Sri Lanka sejak kemerdekaan negara itu pada tahun 1948.

“Kami dipukul, petugas media dipukul, wanita dan kanak-kanak juga dipukul,” kata seorang saksi yang enggan namanya didedahkan, ketika berpuluh-puluh orang dimasukkan ke hospital menurut laporan AFP.

Lima ahli keluarga Rajapaksa yang menganggotai kabinet kerajaan Sri Lanka (dari kiri), Gotabaya, Mahinda, Basil, Chamal dan Basil Rajapaksa (FOTO LankaTruth).

Ada kalangan orang ramai yang cedera akibat diserang oleh perusuh pro-kerajaan, sementara yang lain tercedera apabila polis melepaskan gas pemedih mata ke arah orang ramai.

Peguam yang bertindak mewakili penunjuk perasaan secara amam memberitahu BBC bahawa mereka memfailkan kes mahkamah terhadap penyokong Mahinda.

Sementara, Duta Besar Amerika Syarika ke Sri Lanka, Julie Chung menulis tweet bahawa Washington mengutuk keganasan terhadap penunjuk perasaan aman dan menggesa kerajaan Sri Lanka menjalankan siasatan penuh, termasuk penangkapan & pendakwaan sesiapa sahaja yang menghasut keganasan.

Perintah berkurung

Pertempuran itulah yang telah menyebabkan peletakan jawatan Mahinda, 76, yang berkata bahawa beliau sedang membuka jalan kepada penubuhan kerajaan perpaduan di Sri Lanka.

Namun tidak jelas sama ada pembangkang akan menyertai mana-mana pentadbiran dengan Gotabaya, 72, sebagai presiden, dan peletakan jawatan Mahinda sebagai Perdana Menteri Sri Lanka itu ternyata gagal meredakan api kemarahan orang ramai yang marak menyala itu.

Pasukan keselamatan Sri Lanka melihat sisa beberapa kenderaan yang dibakar sebelum dihumban oleh perusuh antikerajaan di Colombo, Sri Lanka pada 10 Mei 2022. (FOTO AFP)

Serangan balas dendam oleh pihak penentang kerajaan berlaku di seluruh negara pulau dengan populasi mencecah 22 juta orang itu, walaupun selepas polis mengisytiharkan perintah berkurung tanpa had.

Beribu-ribu penunjuk perasaan cuba menyerbu kediaman rasmi Mahinda di ibu negara, membakar sebuah trak di pintu masuk ketika mereka melanggar pintu pagar utama.

Polis bertindak balas dengan melepaskan gas pemedih mata dan tembakan ke udara dari kediaman.

Saksi melihat beberapa tong gas pemedih mata terkena pekarangan kedutaan AS di seberang kediaman Temple Trees, simbol utama kuasa negara di negara Asia Selatan itu. Kerajaan Sri Lanka juga berkata bahawa ratusan tentera telah dikerahkan untuk mengawal pergerakan keluar Mahinda dan para pembantunya dari bangunan itu.

Orang ramai mengadakan protes jalanan mendesak peletakan jawatan Presiden Gotabaya Rajapaksa di Colombo, Sri Lanka pada 4 April 2022. (FOTO AP)

Sementara menurut laporan Indiatimes, keganasan itu menyaksikan serangan ganas perusuh antikerajaan yang bertindak membakar kediaman beberapa ahli politik parti pemerintah, termasuk rumah pusaka keluarga Rajapaksa di bandar Hambantota.

Rakaman video menunjukkan seluruh kediaman Mahinda dan Gotabaya di Medamulana, Hambantota turut terbakar.

Walaupun dengan kehadiran pegawai tertinggi polis, bandar itu tetap diserang pada petang Selasa (10 Mei) oleh kumpulan perusuh yang menuduh anggota keselamatan negara itu gagal melakukan tindakan untuk melindungi penunjuk perasaan aman. Di Galle Face Green, Colombo, berhampiran pantai, orang ramai juga terus berkumpul di situ.

Perintah berkurung di seluruh pulau Sri Lanka buat masa ini telah dilanjutkan hingga pagi Khamis (12 Mei) ketika pihak berkuasa berusaha untuk menamatkan keganasan di jalanan.

Gotabaya (depan) bersama sebahagian daripada ahli keluarga besar Rajapaksa yang sebilangan daripadanya sudah terbang ke luar dari Sri Lanka ke destinasi yang dirahsiakan. (FOTO Twitter Gotabaya Rajapaksa)

Bukti rusuhan khususnya bermula Isnin (9 Mei) terdapat di mana-mana di seluruh Colombo, menyaksikan kenderaan termasuk van dan bas dicampak ke dalam tasik selepas dibakar, dengan kesemua tingkapnya pecah dan tayar masih terbakar.

Di timur laut negara itu, penunjuk perasaan berkumpul di hadapan Pangkalan Tentera Laut Trincomalee selepas laporan yang tidak disahkan bahawa Mahinda dan ahli keluarganya telah mendapat perlindungan di sana selepas melarikan diri dari kediamannya di Colombo.

Kediaman ahli politik dibakar

Menurut laporan media tempatan, lebih 50 rumah ahli politik negara itu dibakar perusuh dalam tempoh semalaman. Orang ramai kekal berada di luar pejabat Gotabaya menggesa melucutkan jawatannya sebagai Presiden Sri Lanka.

Rakyat Sri Lanka masih terkial-kial dengan keganasan yang telah tercetus. Ramai ahli politik berlindung di tempat tersembunyi atau mengelak daripada muncul di khalayak ramai.

“Ia sama sekali tidak selamat, terutamanya untuk ahli politik dalam kerajaan (Rajapaksa),” ujar Menteri Media, Nalaka Godahewa kepada BBC, yang mana kediamannya antara yang musnah dibakar perusuh jalanan.

Golongan wanita tidak ketinggalan menyertai tunjuk perasaan menggesa peletakan jawan Presiden Gotabaya Rajapaksa di Colombo, Sri Lanka pada 4 April 2022. (FOTO CanberraTimes)

Menyingkap kembali lipatan sejarah, Mahinda pernah diraikan oleh majoriti penduduk Sri Lanka dari kalangan Sinhala sebagai wira perang kerana mengalahkan pemberontak Harimau Tamil, namun dia kini tiba-tiba disifatkan sebagai penjahat negara.

Ramai yang menyalahkan penyokong Mahinda kerana menyasarkan penunjuk perasaan antikerajaan secara aman sebelum ini, yang kemudian mencetuskan rangkaian peristiwa keganasan oleh perusuh di seluruh negara itu.

Jika sebelum ini, keluarga Rajapaksa sentiasa berdiri bersama rakyat tetapi kali ini tembelang nepotisme mereka semakin terbongkar. Masalah itu bermula selepas Gotabaya melantik ramai dalam kalangan keluarga Rajapaksa menganggotai kabinet kerajaan Sri Lanka.

Gaji keluarga Rajapaksa

Keluarga Rajapaksa antara salasilah keluarga yang paling menonjol dalam dunia politik Sri Lanka. Ia merupakan salah satu keluarga paling berkuasa di negara itu semasa Presidensi Mahinda Rajapaksa, yang mana ramai ahli keluarga itu menduduki jawatan kanan dalam kerajaan Sri Lanka.

Peletakan jawatan Mahinda (kiri) daripada jawatan Perdana Menteri gagal meredakan kemarahan rakyat Sri Lanka yang sebaliknya mahu Gotabaya (kanan) melucutkan jawatan Presiden negara itu. (FOTO The Sunday Guardian)

Selain Mahinda dan Gotabaya, tiga lagi ahli keluarga Rajapaksa dalam kabinet kerajaan negara itu terdiri daripada ahli parlimen yang termasuklah Menteri Kewangan, Basil Rajapaksa; Menteri Pengairan, Chamal Rajapaksa dan seorang anak saudara keluarga itu, Namal Rajapaksa yang dilantik sebagai Menteri Sukan.

Apabila kuasa politik keluarga Rajapaksa berkembang, terdapat laporan yang menunjukkan bahawa negara itu sedang menuju ke arah autokrasi di bawah pemerintahan mereka.

Sejak tahun 2015 lagi, keluarga Rajapaksa telah dituduh mengamalkan autoritarianism, rasuah, nepotism dan tadbir urus yang buruk.

Populariti keluarga Rajapaksa mulai goyah selepas ‘tindakan’ yang didakwa menyebabkan krisis ekonomi Sri Lanka pada 2019 menjunam paling teruk sejak negara itu mencapai kemerdekaan pada 4 Februari 1948.

Manakan tidak, lihat sahaja jumlah gaji keluarga Rajapaksa dalam kabinet kerajaan yang merupakan antara faktor utama membangkitkan kemarahan dan kebangkitan rakyat Sri Lanka.

Anggota Kesatuan Belia Sosialis Sri Lanka berpakaian menyerupai Presiden Gotabaya Rajapaksa (kanan) dan dua ahli keluarganya, Mahinda (tengah) dan Basil (kiri) dalam satu tunjuk perasaan membantah krisis ekonomi terburuk negara itu pada 1 April 2022. (FOTO AP)

Menurut Warta Peruntukan Belanjawan Sri Lanka yang dikeluarkan bagi tahun 2022, jumlah perbelanjaan kementerian yang dipegang oleh keluarga Rajapaksa termasuk Presiden, Perdana Menteri dan Menteri-menteri telah didedahkan mencecah 27.89 peratus dari keseluruhan perbelanjaan negara.

Mengikut Akta Peruntukan Sri Lanka, jumlah perbelanjaan itu adalah melebihi Rs. 2505340 juta (RM141,590.00 juta). Daripada jumlah berkenaan, jumlah peruntukan bagi gaji jawatan dalam kabinet kementerian yang dipegang oleh ahli keluarga Rajapaksa mencecah Rs. 698850 juta.

Wang itu dibahagikan mengikut cara berikut, yang mana Gotabaya Rajapaksa memegang jawatan Presiden, Menteri Pertahanan, Menteri Teknologi dan Menteri Negara bagi Kewangan dan Modal, dengan peruntukan gaji tahunan mencecah Rs. 425370 juta.

Perdana Menteri Mahinda Rajapaksa sebagai Menteri Buddha Sasana, Menteri Pembangunan Bandar dan Menteri Dasar dan Perancangan Ekonomi telah diperuntukkan pendapatan sebanyak Rs. 280300 juta.

Sisa sebuah bas awam yang dibakar dan dirosakkan kumpulan perusuh antikerajaan sebelum dihumban ke dalam sebuah tasik di Colombo, Sri Lanka pada 9 Mei 2022 (FOTO Firstpost)

Menteri Kewangan, Basil Rajapaksa telah diperuntukkan sebanyak Rs. 175910 juta (RM9,940.90 juta). Peruntukan gaji buat Chamal Rajapaksa selaku Menteri Negara bagi Pertahanan Dalam Negeri dan Menteri Pengairan pula adalah sebanyak Rs. 58360 juta.

Sementara Rs. 11180 juta telah diperuntukkan kepada Namal Rajapaksa sebagai Menteri Belia dan Sukan, Menteri Pemantauan Pembangunan dan Menteri Penyelaras Negara bagi Teknologi Digital Sri Lanka.

Lari dari Sri Lanka

Dalam pada itu IndiaTimes melaporkan, Setiausaha Pertahanan Sri Lanka, Kamal Gunaratne pada Rabu (11 Mei) mengesahkan Mahinda dan keluarganya telah diterbangkan untuk mendapat perlindungan di pangkalan tentera laut di Trincomalee pada Selasa (10 Mei) selepas meninggalkan Colombo dengan kawalan keselamatan yang ketat.

Isteri Mahinda, Shiranthi dan anak bongsu mereka, Rohitha berserta keluarganya telah meninggalkan kediaman rasmi Perdana Menteri di Temple Trees pada awal pagi Selasa (10 Mei) dengan menaiki sebuah helikopter tentera udara dan kini telah berlindung di pangkalan tentera laut berkenaan yang berada dalam kawalan ketat.

Mahinda Rajapaksa dan keluarga kini mendapat perlindungan di Pangkalan tentera laut di Trincomalee, Sri Lanka sejak 9 Mei 2022. (FOTO Edules)

Laporan juga mendedahkan bahawa anak kedua Mahinda, Yositha, yang juga bekas setiausahanya berserta ahli keluarganya telah meninggalkan negara itu pada Isnin (9 Mei).

Sementara menurut laporan The Daily Mirror pada 3 April 2022, Namal, 36, telah menghantar keluarganya keluar dari Sri Lanka lebih awal.

Isteri Namal, Limini dan kedua-dua ibu bapa telah meninggalkan pulau itu ke lokasi yang tidak diketahui pada pagi 3 April itu.

Tidak jelas sama ada dua lagi menantu Mahinda juga telah meninggalkan negara itu atau tidak, namun sembilan orang yang ada kaitan dengan dengan keluarga Rajapaksa dilaporkan telah meninggalkan Sri Lanka pada tarikh 3 April berkenaan. – HARAKAHDAILY 16/5/2022

- Advertisement -