Al Jazeera kecam Israel bunuh wartawan di Tebing Barat

Susunan YUSMAN AWANG

JENIN, TEBING BARAT: Rangkaian media Al Jazeera mengecam jenayah kejam pembunuhan wartawan veterannya, Shireen Abu Akleh oleh tentera Israel yang disifatkan sebagai hanya bertujuan menghalang media daripada menjalankan tugas mereka.

Al Jazeera dalam kenyataannya menegaskan kerajaan Israel dan pasukan tentera zionis bertanggungjawab atas pembunuhan wartawan beragama Kristian yang ditembak mati di bandar Palestin di sini, di Tebing Barat yang dicerobohi Israel itu.

Advertisement

Rangkaian media itu juga menyeru masyarakat antarabangsa agar bersama-sama mengutuk dan menahan tentera Israel bertanggungjawab atas sasaran mereka yang dengan sengaja membunuh wartawan berusia 51 tahun itu.

Terdahulu, kementerian kesihatan Palestin dalam kenyataannya berkata, wartawan Palestin-Amerika itu terkena tembakan peluru hidup pada lewat malam Rabu (10 Mei) ketika sedang membuat liputan terhadap serbuan tentera Israel di bandar Jenin di sini sebelum dikejarkan ke hospital dalam keadaan kritikal.

“Mangsa memakai baju media ketika dia ditembak dan disahkan meninggal dunia di hospital berkenaan,” ujar kenyataan itu.

Seorang lagi wartawan Al Jazeera, Ali Samoudi, turut cedera selepas ditembak di bahagian belakang badannya.

Samoudi yang berada dalam keadaan stabil berkata bahawa tiada pejuang Palestin di lokasi kejadian ketika sekumpulan wartawan termasuk mangsa ditembak oleh tentera Israel berkenaan.

“Kami sedang merakam operasi tentera Israel di Jenin dan tiba-tiba mereka menembak kami tanpa terlebih dahulu meminta kami beredar atau berhenti membuat penggambaran,” ujar Samoudi. 

“Peluru pertama mengenai bahagian belakang saya dan peluru kedua mengenai Shireen … tidak ada tentangan daripada tentera Palestin sama sekali di tempat kejadian,” tambahnya.

Sekumpulan wartawan menangisi kematian wartawan Al Jazeera, Shireen Abu Akleh di hospital di Jenin, Tebing Barat, Palestin pada 11 Mei 2022. (FOTO CBS News)

Sementara Shatha Hanaysha, seorang wartawan Palestin yang berada di sebelah mangsa ketika wartawan wanita kelahiran Jerusalem itu ditembak, juga memberitahu Al Jazeera bahawa tidak ada sebarang konfrontasi antara pejuang Palestin dan tentera Israel ketika kejadian, dan mengatakan bahawa kumpulan wartawan tiba-tiba sahaja telah menjadi sasaran tembakan tentera berkenaan.

“Kami adalah empat wartawan yang berada di lokasi kejadian. Kami semua memakai jaket dan topi keledar,” kata Hanaysha. 

“Tentera Israel tidak berhenti menembak walaupun selepas Shireen rebah. Saya tidak dapat memanjangkan tangan saya untuk menarik Shireen kerana tembakan bertalu-talu, dan tentera bertegas menembak untuk membunuh Shireen,” tambahnya.

Petikan video terakhir Shireen Abu Akleh di lokasi kejadian sebelum wartawan veteran Al Jazeera ini ditembak mati oleh tentera Israel pada lewat malam 10 Mei, 2022 (foto kiri), sebelum disahkan meninggal dunia selepas dibawa ke hospital di Jenin, Tebing Barat (foto kiri). – YouTube

Sementara jurucakap Al Jazeera, Nida Ibrahim berkata punca kematian Shireen yang sudah bertugas dengan Al Jazeera selama 25 tahun itu masih menimbulkan persoalan.

“Namun, berdasarkan rakaman video di lokasi kejadian menunjukkan bahawa Shireen ditembak di kepalanya,” tegasnya.

Shireen Abu Akleh telah menyertai Al Jazeera sebagai wartawan penyiaran selepas rangkaian media berbahasa Arab yang berpangkalan di Qatar itu dilancarkan pada 1996.

Dalam satu petikan rakaman videonya, mendiang berkata: “Saya memilih bidang kewartawanan untuk dekat dengan rakyat.”

“Mungkin bukan mudah untuk mengubah realiti, tetapi sekurang-kurangnya saya boleh membawa suara mereka untuk diperdengarkan kepada dunia.” – HARAKAHDAILY 11/5/2022