Ekonomi Malaysia dijangka meningkat, China perlahan – tinjauan Reuters

Pemandangan latar bandar raya Kuala Lumpur di Malaysia pada 7 Februari 2018. (FOTO FAIL REUTERS/Lai Seng Sin)
- Advertisement -

BENGALURU: Pertumbuhan ekonomi Malaysia dijangka meningkat pada suku (IQ) pertama  tahun ini, didorong oleh permintaan yang lebih kukuh berikutan kelonggaran langkah Covid-19, namun senario pandemik virus berkenaan di China boleh memberi kesan yang ketara.

Menurut tinjauan Reuters hasil temu bual dengan 18 pakar ekonomi, negara ketiga terbesar Asia Tenggara itu dari segi ekonomi itu  diramalkan berkembang 4.0 peratus pada suku Januari hingga Mac 2022 berbanding tempoh tiga bulan yang sama tahun sebelumnya, lebih cepat daripada peningkatan 3.6 peratus dalam suku sebelumnya.

- Advertisement -

Ramalan bagi pertumbuhan keluaran dalam negara kasar (KDNK) tahunan yang akan dikeluarkan pada 13 Mei ini adalah antara 2.0 peratus hingga 5.7 peratus.

“Peningkatan pertumbuhan Malaysia pada 1Q22 berkemungkinan disokong oleh permintaan domestik yang lebih kukuh didorong oleh  aktiviti perkhidmatan dan kepenggunaan swasta,” kata pakar ekonomi di DBS, Chua Han Teng.

Menurut beliau, langkah-langkah pembendungan Covid-19 dibantu oleh jumlah vaksinasi yang tinggi dalam kalangan populasi walaupun dalam senario gelombang Omicron telah mencetuskan kepada peningkatan dalam aktiviti perkhidmatan swasta di Malaysia.

“Sehubungan itu, bersama-sama dengan pecutan yang diterajui jumlah eksport yang lebih baik dalam pembuatan pada Mac, mencadangkan perdagangan asing kekal sebagai enjin pertumbuhan bagi negara yang kaya dengan sumber asli seperti minyak, gas asli, kayu, minyak sawit dan koko,” jelasnya.

Permintaan untuk minyak sawit Malaysia dijangka meningkat selepas pengeluar utama, Indonesia melarang penghantaran hasil sawitnya buat sementara  waktu pada bulan lepas dalam usaha untuk meredakan senario harga minyak masak domestik yang melambung tinggi.

Sehubungan itu, prestasi ekonomi Malaysia telah meningkat dengan ketara berikutan harga komoditi yang lebih kukuh dan permintaan dalam negeri serta eksport yang masih memberangsangkan dijangka membantu memacu pertumbuhan tahun ini dan akan datang.

Terdahulu, menurut tinjauan berasingan Reuters yang diterbitkan pada bulan lepas, pertumbuhan ekonomi Malaysia  diramalkan pada purata 6.1 peratus dan 5.0 peratus masing-masing pada  tahun ini dan  2023.

Walaupun ekonomi domestik dijangka berkembang apabila aktiviti pulih daripada gangguan yang disebabkan oleh Covid-19, namun kelembapan ekonomi yang ketara di China  disebabkan dasar strategi Covid-19 sifar menimbulkan risiko yang lebih besar kepada Malaysia selaku pengeksport minyak sawit kedua terbesar di dunia.

China ialah rakan perdagangan dan pelaburan terbesar Malaysia.

“Sebagai enjin pertumbuhan bagi rantau APAC, pertumbuhan perlahan ekonomi China menimbulkan risiko kepada seluruh rantau ini. Khususnya, eksport dan import barangan perantaraan bernilai tinggi dengan China…akan menjejaskan sektor pembuatan utama Malaysia,” tulis pakar ekonomi di Moody’s Analytics,  Denise Cheok.

“Walaupun Malaysia telah mengehadkan pendedahan perdagangan langsung kepada Rusia dan Ukraine, risiko inventori yang berkurangan meningkat apabila konflik perang itu berlarutan,” tambahnya. – CNA/Reuters

- Advertisement -