Sekuriti makanan dan jalan raya: Kerajaan kena jawab! (1)

- Advertisement -

HARI raya sudah berakhir, hari ini sektor awam khususnya di Kelantan, Terengganu, Kedah dan Johor kembali beroperasi. Eh… maaf, orang Malaysia beraya sebulan, maksud saya tadi cuti raya dah habis.

Kelantan seperti selalu disebut adalah sebuah ‘universiti politik terbuka’. Hari raya pun, isu semasa sentiasa menjadi perbincangan atau perbualan warganya. Selain isu air yang ‘dipanaskan semula’ pihak tertentu di microwave, ada dua lagi isu yang menjadi topik hari raya. 

- Advertisement -

Daripada banyak isu dikemukakan sahabat handai dan kenalan, mereka yang menganalisis media sosial (medsoc) memberitahu, selain cerita sensasi dunia hiburan dan artis, tajuk makanan dan kenderaan juga sangat ‘trending‘. Ada kebimbangan yang perlu diberi perhatian kritikal dan diwujudkan kerangka perancangan mega oleh kerajaan. 

Sekuriti makanan

Sejak ada medsoc, pasal makanan memang cepat menjadi ‘viral‘ yang kadang-kadang sebenarnya ‘indah khabar dari rupa’. Rentetan itu mutakhir ini ramai sudah lebih berhati-hati buat ‘posting‘ makanan kerana takut kena sumpah atau kecaman.

Perubahan itu juga membawa kepada sikap memilih makan iaitu yang murah, mengenyangkan dan paling penting tetap sedap. Begitulah rakyat Malaysia yang sudah terbiasa hidup serba senang dan mewah. Makanan unik dan pelik-pelik bukan lagi perkara ‘best‘.

Ia juga membawa kepada ‘concern‘ dan cara berbelanja rakyat dalam memenuhi keperluan harian. Rakyat sedar barangan keperluan tak berlebihan seperti dahulu dan harga juga semakin meningkat. Maka ramai yang sudah menguruskan belanja dapur.

Ketika sama di peringkat global, sudah berlaku pengurangan eksport hingga kepada sekatan barangan tertentu termasuk bahan mentah makanan. Bawang, daging lembu dan ayam, susu, minyak masak, beras dan lain-lain sudah berbunyi ‘siren peringatan’.

Selari itu, pakar-pakar dan agensi analisis dunia turut memperkatakan mengenai kemelesetan berkaitan isu sekuriti makanan. Ada ancaman terhadap sektor ini di seluruh dunia, di mana kecukupan bahan makanan sudah tidak lagi terjamin.

Isu sekuriti makanan ini boleh mengundang pandemik, krisis dan perang di masa depan. Malaysia sendiri masih bergantung kepada import beberapa bahan mentah makanan. Hatta pekerja sektor makanan pun kita terpaksa import, bukan sektor pembinaan atau bola sepak saja.

Pertanyaannya, sejauh mana Malaysia bersedia menghadapi cabaran atau kemungkinan atau kegawatan tersebut? Ya, negara kita sudah punyai dasar iaitu Agenda Sekuriti Makanan Negara. Tetapi hingga hari ini ia tidak nampak benar-benar terjamin atau ‘secured‘.

Polemik ketidakcukupan berlaku bukan lagi di musim perayaan sahaja, tetapi diperkatakan lebih kerap hampir setiap bulan. Itu belum lagi permainan kapitalis yang memonopoli dan memanipulasi; main sorok-sorok dan mencipta spekulasi melambung naik turun harga jualan mengalahkan pasaran saham Bursa Malaysia. 

Tetapi isu ini bukan sahaja di negara kita, sebaliknya hampir semua negara dunia dilihat tidak mampu menangani isu pengeluaran bahan makanan atau eksportnya. Melainkan negara-negara miskin dan luas serta berpotensi merancakkan lagi sektor makanan atau rantaian paling asasnya iaitu pertanian. 

Negara membangun, maju dan kaya; pengeluar kereta, senjata, pesawat, peralatan elektronik, petroleum dan gas, emas, perak, berlian, intan, perabot dan lain-lain mula merasa tergugat. Limpahan atau banyaknya wang dilihat akan hilang nilai bila tiada kuasa membeli makanan. 

Jadi kita rakyat perlukan jawapan kerajaan sejauh mana usaha dan jaminan berkaitan sekuriti makanan diperkasa dan dipersiapkan?

Belum terlambat buat kita mempersediakan sebarang kemungkinan tersebut yang kini menjadi antara kedaulatan penting mesti dipertahankan. Di masa depan nanti, ketidakpuasan hati, huru-hara hingga kepada perang sekalipun boleh berlaku angkara makanan.

Memacu pembangunan membawa kepada negara perindustrian dan dasar penswastaan belumlah menjadi satu keterlanjuran berat. Walaupun tidak sedikit tanah pertanian yang lenyap dan hampir pupusnya pekerjaan di sektor berbudi kepada tanah.

Sebaliknya, pertanian atau pekerjaan sektor ini yang terabai dan terpinggir serta ditinggalkan dahulu, selain luasnya lagi keluasan tanah negara untuk diteroka, mesti kembali digiatkan. Pertanian dan perindustrian ke arah memperkasakan keperluan makanan bagi jaminan kecukupan mesti dikembangkan segigih mungkin. 

Bersambung Siri 2 (jalan raya)

NAZMAN CHE IBERAHIM
Darulnaim Research Centre – HARAKAHDAILY 9/5/2022

- Advertisement -