Sekuriti makanan dan jalan raya: Kerajaan kena jawab! (2)

- Advertisement -

JUALAN kenderaan pasca-pandemik dilaporkan meningkat selaras pemulihan yang berlaku di banyak sektor walaupun berlaku kekurangan cip atau komponen berkaitan, selain bahan utama seperti besi melambung harga.

Seperti juga makanan, rakyat nampaknya agak berhemah dalam memilih atau menukar kenderaan baharu. Jenama ‘glamor‘ dan mewah bukan lagi menjadi perhatian atau pilihan, kecuali ‘viral‘ mereka yang terlebih banyak duit.

- Advertisement -

Kebanyakan lebih merancang pemilikan kenderaan yang kompetitif untuk keperluan, sama ada melibatkan keperluan kegunaan bergerak harian, keluarga, pekerjaan dan perniagaan. 

Ini perkembangan positif dan menang-menang yang akan mempengaruhi pasaran jualan kenderaan seterusnya penawaran dan pengeluaran berkaitan, termasuk rantaian produk atau komponen dalam memenuhinya.

Bagi tahun 2021, dilaporkan jualan tertinggi kenderaan nasional diungguli ‘King’ Myvi, Bezza, Axia dan Aruz keluaran Perodua, selain peningkatan minat kepada Proton X70 dan X50. Manakala kenderaan bukan nasional, jenama Toyota dan Mitsubishi mendapat tempat pilihan rakyat Malaysia.

Asasnya, semakin ramai rakyat memerlukan kenderaan untuk pelbagai kegunaan seperti dinyatakan.

Jalan raya Persekutuan

Berkembar dengan kenderaan adalah jalan raya, namun ia dibicarakan sebagai isu yang turut mahu mengheret kerajaan agar memberikan perhatian serius terhadapnya. Cerapannya daripada sahabat handai dan kenalan saya anak perantau atau mereka yang pulang ke destinasi jauh untuk Aidil Fitri ini.

Juga dari liputan khas berita mengenai trafik yang dilaporkan media setiap hari sepanjang cuti hari raya serta perbincangan rancak di rumah terbuka dan netizen medsos. Selain ulasan berautoriti daripada Polis Diraja Malaysia, Jabatan Pengangkutan Jalan, Lembaga Lebuhraya Malaysia, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia. 

Data peribadi saya kumpul ialah ‘jammed’ atau kesesakan bahkan tersangkut habis di jalan raya Persekutuan dan lebuh raya seluruh negara di banyak lokasi. Bagi anak perantau Pantai Timur mungkin sudah alah dengan situasi ini yang ditempuh sejak berdekad lamanya.

Tapi saya tersentuh oleh luahan pengguna jalan raya Persekutuan dan Lebuhraya Utara-Selatan iaitu laluan di sebelah Pantai Barat. Menempuh pengalaman kesesakan yang luar biasa hingga memerlukan perbahasan mengenai infrastruktur jalan raya.

Ini bukan isu di Kelantan sahaja yang sedia maklum dipinggir atau dianaktirikan kerana politik sejak sekian lama. Masalah jalan raya ini adalah isu bagi seluruh negara. Malaysia sejak sekian lama tidak menambah jajaran jalan raya Persekutuan untuk meningkatkan kesalinghubungan antara bandar atau negeri. Termasuk menaik taraf yang sedia ada kepada dua lorong, tiga lorong atau empat lorong. 

Apatah lagi penyelenggaraan jalan raya yang daif, rosak, berisiko bahaya dan seumpamanya kepada satu kualiti atau standard. Jalan raya dan lebuh raya negara tidak lestari selari dengan pertambahan besar jumlah pengguna atau kenderaan. Peruntukan yang perlu dirancang belanjawannya telah ditumpu dan ditompokkan untuk kegunaan atau ke tempat lain.

Akhirnya, jalan raya dan lebuh raya kita di seluruh negara sebenarnya satu pembangunan yang ketinggalan. Sebab itu kita pernah mendengar keluhan-keluhan datang daripada bukan sahaja kontraktor berkaitan, tetapi juga para pakar di bidang kejuruteraan infrastruktur ini.

Jangan lebuh raya dengan sebab tol berbayar sahaja ditambah jajaran, dinaik taraf dan diselenggara, tetapi jalan raya biasa terus menua. Dengan desakan keperluan semasa, sepatutnya kebanyakan lebuh raya yang ada pun diambil alih oleh kerajaan, dimansuhkan tol dan distatuskan sebagai jalan raya Persekutuan. Pemegang konsesi mesti sedia berjiwa negarawan untuk menerima harga rakyat demi kepentingan negara. 

Kerana tol percuma dan diskaun di 30 lebuh raya selama empat hari bernilai lebih RM77 juta diberi kerajaan bersama pemegang konsesi tol pada raya kali ini hakikatnya tidak menjadi hadiah besar jika dibanding keperluan dan situasi yang terjadi atau dilaporkan. Harap tidak ada yang nak ‘claim‘ untuk ‘political mileage‘ atau kempen pilihan raya pula. 

Trafik sesak dan terkandas di banyak lokasi berpuluh kilometer, serta lorong kecemasan terpaksa menjadi ‘parking‘ untuk pengguna bagi pelbagai tujuan; rehat, buang air, kenderaan bermasalah dan sebagainya. Kawasan Rehat dan Rawat (R&R) serta semua Hentian juga sesak teruk dan memerlukan kenderaan beratur panjang serta masa lama untuk giliran.

Ada juga memberitahu bahawa terdapat stesen minyak di dalam kawasan R&R lebuh raya berkenaan yang kehabisan minyak. Bayangkan rasa gawat itu dalam keadaan menempuh sesak yang memungkinkan macam-macam risiko.

Perjalanan antara utara dan selatan tanah air yang biasanya mengambil masa kurang 9 jam menjadi lebih 24 jam. Ia memenatkan dan tol percuma atau diskaun tidak terasa apa-apa. Jadi, isu ini juga penting diberi perhatian kerajaan untuk berada dalam perancangan negara.

NAZMAN CHE IBERAHIM
Darulnaim Research Centre – HARAKAHDAILY 9/5/2022

- Advertisement -