Malaysia model memimpin kesatuan ummah, masyarakat majmuk

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Pengerusi The World Muslim Communities Council, Dr Ali Rashid Al Nuaimi meletakkan harapan tinggi kepada Kerajaan Malaysia untuk menjadi model memimpin kesatuan ummah khususnya dalam konteks masyarakat majmuk.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Datuk Idris Ahmad berkata, perkara itu dinyatakan Dr Ali dalam pertemuan dengan beliau.

Beliau merasa teruja dan gembira menerima jemputan daripada Dr. Ali Rashid Al Nuaimi sebelum selesai Persidangan Antarabangsa “Kesatuan Islam: Konsep, Peluang dan Cabaran” untuk hari pertama yang cukup padat di Abu Dhabi, Emiriah Arab Bersatu (UAE), semalam.

- Advertisement -

Katanya, beliau dan Dr Ali Rashid beramah mesra dan saling bertukar-tukar pandangan.

Tambah Idris, Dr Ali Rashid juga menyampaikan sekalung tahniah di atas ucapan yang beliau sampaikan pada persidangan itu.

“Dr Ali Rashid meletakkan harapan tinggi kepada Kerajaan Malaysia untuk menjadi model memimpin kesatuan ummah khususnya dalam konteks masyarakat majmuk yang menekankan kesederhanaan dan toleransi dalam bermasyarakat.

“Beliau turut mendoakan agar Kerajaan Malaysia terus makmur dan harmoni yang selama ini menjadi rujukan negara umat Islam seluruh dunia. Walau pertemuan ini singkat, namun ia terasa amat berharga,” ujarnya menerusi laman sosial beliau, hari ini.

Pada hantaran malam tadi, beliau memuatkan mengenai ucapan yang disampaikan dalam persidangan yang dirasmikan oleh Menteri Toleransi dan Kebersamaan UAE, HE Sheikh Nahayan bin Mabarack itu.

Pada hematnya, persidangan itu sangat bertepatan dengan waktunya di mana negara-negara umat Islam dalam keadaan memerlukan para pemikir dan cendekiawan Islam seluruh dunia demi merealisasikan perpaduan dalam kalangan umat Islam.

Dalam ucapannya, beliau menerangkan mengenai konsep “Keluarga Malaysia Keluarga Sejahtera” yang menjadi lambang komitmen kerajaan Malaysia kepada kesatuan dan perpaduan umat.

“Perpaduan adalah kunci kepada keharmonian antara kaum yang menjadi ramuan pembentukan negara Malaysia,” katanya.

Idris juga menyampaikan beberapa saranan antaranya ialah mewujudkan perbincangan yang aktif dalam kalangan negara Islam untuk membina wehdatul fikr dan wehdatul amal.

Di samping itu, ujarnya menggerakkan badan-badan Islam bersama agensi-agensi kerajaan bagi membincang dan mewujudkan Pelan Tindakan Perpaduan Ummah Negara dan Dunia.

“Memastikan perpaduan umat Islam di negara ini sentiasa berpaksikan kepada Islam sebagai agama di sisi Allah

“Mewakili Kerajaan Malaysia, saya mengucap terima kasih atas jemputan ke persidangan ini,” katanya lagi. –

Beliau turut memetik ayat al-Quran daripada Surah al-Anfal, ayat 46 yang bermaksud: “Dan taatlah kamu kepada Allah dan Rasul-Nya, dan janganlah kamu berbantah-bantahan. Kalau tidak nescaya kamu menjadi lemah semangat dan hilang kekuatan kamu, dan sabarlah (menghadapi segala kesukaran dengan cekal hati). Sesungguhnya Allah beserta orang-orang yang sabar.” – HARAKAHDAILY 9/5/2022

- Advertisement -