PRU15: PAS bersedia, komited hingga habis penggal

- Advertisement -

Oleh KHAIRUL AZLAM MOHAMAD

MARANG:
Komitmen PAS hingga habis penggal Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) jika mahu diadakan PRU15 meskipun telah bersedia pada bila-bila masa sahaja.

Presiden PAS, Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang berkata, parti itu telah membuat kenyataan sebelum ini mahukan pilihan raya baru hingga habis penggal.

Katanya, kerajaan negeri di bawah pentadbiran PAS seperti Kelantan, Terengganu dan Kedah akan mengadakan pilihan raya hingga tamat tempoh itu.

- Advertisement -

“Kita bersedialah, pilihan raya bila-bila masa. Walaupun kita telah buat kenyataan, kerajaan negeri supaya habis penggal pilihan raya ini.

“Ini kerana, rakyat masih dalam keadaan letih, bersama dengan wabak yang belum lagi selesai.

“Jadi lebih baiklah kita beri peluang kepada kerajaan yang ada ini laksanakan tugas dia dalam tempoh yang cukuplah. 

“Jangan sekejap orang ini, sekejap orang ini pula. Pada kita pilihan raya ini kita setujulah tangguh,” ujarnya kepada pemberita di Rusila, hari ini.

Menurut Ahli Parlimen Marang itu, PAS kini telah menggerakkan seluruh jentera parti di peringkat negeri dan negara bagi persediaan pilihan raya.

“Kita sudah gerak semua jentera-jentera pilihan raya seluruh negeri dan seluruh negara. Cawangan-cawangan kita dan tambah ahli-ahli parti. Kita kaji melalui ‘post-mortem’ tiga pilihan raya negeri (PRN) iaitu di PRN Sabah, Melaka dan Johor,” jelasnya.

Ditanya tentang kerjasama PAS-Umno dalam Muafakat Nasional (MN), katanya setakat ini kerjasama itu masih diteruskan.

Katanya, kerjasama itu penting kerana PAS membawa agenda perpaduan ummah bagi menyatukan umat Islam dan umat manusia.

“Kerjasama ini kita akan lihat perkembangan, sehingga ini kita akan terus dengan kerjasama yang ada pada hari ini.

“PAS membawa agenda perpaduan ummah iaitu umat Islam dan umat manusia. Orang Islam ialah melalui tiga parti besar orang Melayu iaitu Umno, Bersatu (Parti Pribumi Bersatu Malaysia) dan PAS.

“Di samping parti Sarawak, dalam yang sama kita mengajak parti-parti bukan Islam yang tidak ekstrem yang boleh diajak berbincang,” tegasnya.

Sehubungan itu, beliau berpesan kepada anak-anak muda di perantauan agar peka dengan perkembangan politik semasa.

Katanya, politik adalah kuasa pemerintahan negara yang penting agar tidak terlepas ke tangan orang lain.

“Kesimpulan, supaya mereka peka dengan perkembangan politik. Di samping sibuk-sibuk kerja ini, jangan lupa politik ini penting.

“Khususnya anak-anak muda kerana politik ini kuasa pemerintahan negara. Kalau kita lepas orang lain akan ambil kuasa pemerintahan negara dan akan menyusahkan banyaklah. Jangan kita pandang ringan politik ini,” ujarnya.

Menurut Tuan Guru Abdul Hadi, jatuhnya Palestin kepada Yahudi itu kerana mereka tidak peka tentang politiknya. – HARAKAHDAILY 6/5/2022

- Advertisement -