‘PASleak’, ‘Bellaleak’ dan ‘jika benar’

- Advertisement -

SEKONYONG-konyongnya, keluar satu minit mesyuarat yang mendakwa perancangan campur tangan oleh PAS dalam hal kehakiman, bagi menyumbat kedua orang Umno iaitu Presidennya dan bekas Presidennya ke dalam penjara. Kes yang sedang berjalan itu, mungkin bagi sesetengah orang melihat seperti sudah dapat meneka keputusannya. Jadi naratif ini dimainkan. Ia digelar ‘PASleak’.

PAS mahu mengatur badan kehakiman? Arrhh, lawak sungguh si badut yang membuat lelucon itu. PAS paling banyak yang dipenjarakan kerana melawan Umno dahulu. Hakim-hakim mahkamah tidak bersama dengan PAS kerana PAS mahukan Undang-undang Islam, tetapi para hakim itu majoriti mahu mengekalkan Perlembagaan Lord Reid. Tambah lagi sekarang, menterinya pula daripada Parti Pesaka.

- Advertisement -

Kita juga maklum, betapa ramai hakim-hakim yang pegangan mereka agak Liberal, tidak terlalu pro kepada Islam. Yang ada yang pernah menyokong PAS ialah Tun Salleh Abbas dan beberapa kerat lagi. Jadi, mana mungkin mereka mahu menerima saranan PAS untuk melakukan semua itu. Pelikkan tuduhan itu? Hakim yang menyokong PAS pula, pastinya yang faham agama. Jadi tidak timbul juga isu hakim berhukum mengikut selera PAS. Mereka akan berlaku adil mengikut undang-undang.

Lalu, orang lama Umno, Shabery Cheek dan juga Shahril Samad atau Tok Uban, segera mendesak PAS untuk memberikan respon kepada tuduhan itu kerana ia melibatkan kepimpinan parti. Mereka, menggunakan perkataan ‘jika benar’ apa yang ditulis dalam dokumen itu, maka ia jelas sebagai campur tangan dalam badan kehakiman. Mereka sibuk membicarakan hal yang tidak pasti sehingga terpaksa menggunakan ayat ‘jika benar’ sebegitu. Menghakimi orang berdasarkan andaian? Najib dan Zahid yang sudah ada pertuduhanpun, kita serahkan kepada mahkamah memutuskannya.

Yang kita tahu sekarang ini, selain daripada perbicaraan isu kedua Presiden dan bekas Presiden Umno, ada lagi kes lain yang menghangatkan negara kita iaitu kes adik Bella yang didera, secara kebetulannya oleh OKT, seorang ahli Puteri Umno dan secara kebetulannya sekali lagi, baik dengan keluarga Zahid Hamidi, sehingga terpaksa dijelaskan oleh anak Zahid sendiri yang sekarang mereka sudah tidak akrab.

Baiklah, jika mereka cuba bermain dengan perkataan ‘jika benar’ maka mungkin boleh kita bermain permainan ‘jika benar’, seperti dakwaan orang yang OKT, Siti Bainun ada menyimpan duit orang besar Umno di dalam rumah itu yang akan menyebabkan beliau mungkin terselamat dari hukuman kerana mendapat perlindungan? ‘Jika benar’ begitu, maka isu PASleak adalah hanya mahu mengalihkan ‘iceberg‘ yang bakal terbongkar nanti.

‘Jika benar’ seperti tuduhan orang, OKT kebal, dengan 10 orang peguam tidak berbayar itu, pastinya nasib Adik Bella tidak akan terbela, kerana mungkin ada pihak yang bakal melindungi OKT, dan pastinya oleh mereka yang menyimpan duit itu, ‘jika benar’ mereka ada melakukan semua itu. Cerita ini berdasarkan tangkap layar yang dihantar oleh Wardina, dan sudah tular, jadi boleh kita guna sebagai buktikan? Dan begitulah seterusnya… ‘jika benar’ dan ‘jika benar’.

Dan mungkinkah nanti, tiba-tiba bos PKR, Anwar Ibrahim mengumumkan akan bergerak tanpa DAP, sebuah parti yang dikata orang sangat Cauvinis itu. Tidakkah ia sangat berkebetulan dengan niat Zahid yang mahu Umno bersama PH dahulu, tetapi terhalang oleh ahli Umno yang bencikan DAP? Jadi, dengan Umno membuang PAS, PKR membuang DAP, maka ‘Pelamin Angan’ Zahid dan cikgunya, Anwar, akan terbina. Oh lupa, kena ada perkataan ‘jika benar’.

Jadi adakah bagi mengelakkan kemarahan rakyat yang sedang membuak-buak terhadap Bella-leak, maka ada yang mencipta isu PASleak? Kemudiannya menggunakan ayat ‘jika benar’ bagi berlindung dari tuduhan sampah itu? Atau dengan diada-adakan isu ‘jika benar’ PASleak ini wujud, maka akan dapatlah Zahid bersama dengan Anwar menjadi kerajaan yang Anwar menjadi Perdana Menterinya. Jika benar, sukalah dia, boleh jadi Perdana Menteri.

MOHD NASIR ABDULLAH
21 April 2022 – HARAKAHDAILY 21/4/2022

PENAFIAN:
HarakahDaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian HarakahDaily mahupun pendirian rasmi PAS. Segala risiko akibat penyiaran ini menjadi tanggungjawab penulis sendiri.

- Advertisement -