Perbanyakkan doa bizhohril ghaib

- Advertisement -

DALAM risalah Kaifa Tad’ū Laka Al-Mala’ikah tulisan Husein Ahmed Abdul Qadir menyatakan bahawa antara tanda hati yang sejahtera dan ikhlas ialah seseorang itu sentiasa mendoakan orang lain Bizhohril Ghaib:

- Advertisement -

إن من أظهر علامات القلب السليم الدعاء للمسلمين بظهر الغيب، والمؤمن يحرص على الدعاء لإخوانه لتفريج الكرب، وإزالة الهموم، وزيادة الرزق، والدعاء لجموع المسلمين والأمة الإسلامية بالخير، والنجاة في الدنيا والآخرة

“Salah satu tanda hati yang sejahtera ialah mendoakan buat umat Islam secara tersembunyi tanpa pengetahuan mereka. Dan orang mukmin itu sangat bersungguh-sungguh mendoakan saudara-saudaranya untuk mengelakkan daripada kesusahan, menghilangkan kerisauan, menambahkan rezeki kepada mereka termasuklah mendoakan kebaikan untuk umat Islam seluruhnya serta diberi mereka keselamatan di dunia dan akhirat”.

Berdoa Bizhoril Ghaib atau secara tersembunyi daripada pengetahuan orang yang didoa merupakan suatu petanda ikhlas dalam berdoa. Doa sebegini sangat mahal nilainya di sisi Allah sehingga Allah S.W.T menghantar malaikat khusus untuk mengaminkan doanya dan berdoa kepada orang yang berdoa itu agar dia mendapat kurniaan sama seperti yang didoakannya. Sesungguhnya doa malaikat adalah mustajab!

Tanda kita tidak mementingkan diri sendiri, kita sentiasa titipkan doa buat sanak saudara, rakan taulan, saudara seakidah bahkan kepada rakan non-Muslim supaya dikurniakan hidayah. Dalam Siyar A’lam Al-Nubala’ diceritakan Abu Darda’ R.A jika berdoa, dia turut berdoa kepada 300 orang sahabatnya. Suatu hari beliau ditanya oleh isterinya lalu katanya: doa yang dia panjatkan kehadrat Allah kepada sahabat-sahabatnya tidak diketahui oleh mereka, maka malaikat akan turut berdoa kepadanya sama seperti doa yang diungkapkan dan doa malaikat pasti diterima Allah S.W.T. Sempena Ramadan ini, perbanyakkan doa Bizhohril Ghaib, mudahan kita didekati oleh para malaikat dan mereka pasti mendoakan kebaikan khas kepada kita, Waffaqakumullah.

ASRI ED-DIWANIE – HARAKAHDAILY 21/4/2022

- Advertisement -