
Oleh SYAHIRAH SALLEH dan YUSMAN AWANG
HULU LANGAT: Kira-kira empat bulan lalu, pada 18 Disember 2021, penduduk di pinggir Sungai Langat di Batu 17, Dusun Tua di sini dikejutkan dengan banjir berarus deras seumpama tsunami yang melanda kediaman mereka sehingga ada beberapa rumah di situ hanyut dan musnah dibawa ‘ombak’ banjir berkenaan.
Penduduk di situ bagaimanapun dikejutkan sekali lagi pada 7 Mac tahun ini apabila kediaman mereka kembali dilanda banjir kira-kira tiga minggu sebelum Ramadan menjelma.
Justeru apakah perasaan mangsa banjir di situ menjelang Ramadan kali ini, adakah musibah dua kali dilanda ‘banjir bersiri’ itu telah mengurangkan ‘mood’ mereka hatta untuk menyambut Aidil Fitri pada tahun ini?
Salah seorang mangsa banjir berkenaan yang ditemui kru HarakahDaily di sini hari ini, Abdul Rahman Abdullah, 57, berkata, dia bersama-sama isteri dan lima orang anaknya menyambut Ramadan dan Aidilfitri kali ini dengan sekadar apa yang termampu.
Tidak menafikan dirinya dan keluarga agak terkesan dengan dua musibah banjir yang melanda kediaman mereka secara berturut-turut selang kira-kira tiga bulan, Abdul Rahman memberitahu, Ramadan kali ini tetap diraikan dengan penuh kesyukuran.
“Lebih-lebih lagi, memandangkan ini adalah tahun pertama rakyat Malaysia dapat menjalankan ibadah puasa dan solat tarawih di masjid seperti biasa selepas dua tahun dikekang pandemik Covid-19,” tuturnya kepada HarakahDaily ketika ditemui di sini, hari ini.

Menurutnya, setelah dilanda banjir berarus deras pada 18 Disember tahun lalu, ketiga-tiga kenderaan miliknya, isteri dan anak perlu dibaik pulih di bengkel.
“Proses membaik pulih kenderaan saya dan keluarga menelan belanja yang besar, malah ia perlu dihantar berulang kali ke bengkel disebabkan kembali rosak impak ditenggelami air banjir berkenaan,” ujarnya.
Abdul Rahman yang berasal dari Kedah berkata, dia berharap mereka sekeluarga dapat pulang berhari raya untuk menziarahi keluarga dan pusara arwah ibu dan bapanya di Kedah pada tahun ini walaupun dalam keadaan kenderaan yang tidak menentu itu.

Menurutnya, semasa dalam perjalanan menghantar anak perempuannya ke Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) di Terengganu, enjin kenderaan Perodua Myvi yang dinaiki mereka mati di perjalanan walaupun baharu sahaja dibaiki.
“Mujur kenderaan itu mempunyai perlindungan tundaan tanpa had, jadi mereka tidak perlu memikirkan kos tambahan apabila kenderaan itu perlu ditunda dari Terengganu,” ujarnya.
Abdul Rahman turut berpesan kepada orang ramai supaya tidak mengambil risiko membeli kenderaan yang ditenggelami air banjir, dibimbangi kenderaan banjir mempunyai pelbagai masalah dan kerosakan di kemudian hari.

Belum penat habis mencuci dan mengemas kediaman akibat banjir pada 27 Disember tahun lalu, mereka sekeluarga diuji semula dengan banjir kecil pada 7 Mac lalu.
Dihanyut arus deras air banjir
Menurut Abdul Rahman, banjir pada 7 Mac tersebut menyebabkan dia dan keluarganya terpaksa mencuci sekali lagi pakaian, tilam, selimut, bantal dan barangan elektronik yang diletakkan di atas lantai rumah berikutan almari pakaian rosak akibat banjir besar pada Disember 2021 itu.
Abdul Rahman mengakui bahawa kejadian pada 7 Mac tahun ini tersebut kurang mendapat perhatian umum, justeru mereka sekeluarga terpaksa mengemas sendiri kediaman mereka, berbanding banjir pada 27 Disember 2021 yang banyak dibantu badan bukan kerajaan (NGO) dan orang ramai.

Tidak merungut, namun Abdul Rahman akui berasa sedih apabila buku-buku rujukannya untuk pengajian Doktor Falsafah (PhD) yang dijemur selepas basah kesan kejadian banjir pada 18 Disember 2021 itu kembali ditenggelami banjir pada 7 Mac tahun ini berkenaan.
Malah, dia mengakui kesihatannya kini terganggu disebabkan terlalu letih dan banyak perkara perlu difikirkan termasuk kesan daripada dua banjir terhadap kediaman yang perlu diselesaikannya.
“Banyak sangat kerja pembersihan dan pemulihan perlu dilakukan selepas dua kali dilanda banjir. Ia memang sangat meletihkan, menyebabkan ketahanan badan saya pun berkurangan. Banyak perkara perlu difikirkan – rumah, kereta, pengajian PhD saya yang perlu disambung, dan persediaan untuk mengelak banjir pada masa depan.

“Saya ada bina rumah baharu dua tingkat yang terletak bersebelahan dengan rumah satu tingkat yang kini didiami bersama keluarga.
“Rumah baharu itu adalah sebagai persediaan banjir, namun ia tidak sempat disiapkan disebabkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sejak dua tahun lalu, dan baru-baru ini kontraktor pula sudah cabut lari,” katanya.
Mengimbas kembali pada malam kejadian tragedi banjir besar pada 18 Disember 2021 itu, Abdul Rahman mengakui dirinya turut dihanyutkan dalam arus deras banjir Sungai Langat itu, namun dia bernasib baik apabila diselamatkan jirannya dan terpaksa bertahan di atas bumbung rumah jirannya pada malam itu.

“Sementara isteri dan beberapa anak saya yang masih ada di dalam rumah ketika itu terpaksa keluar dari rumah yang sedang diterjah arus deras air banjir berkenaan melalui siling yang ditebuk untuk ke tingkat dua rumah baharu yang sedang disiapkan itu,” jelasnya.
Menurutnya lagi, dalam kejadian banjir tersebut rumah kayu arwah ibunya yang terletak bersebelahan rumahnya pula musnah dihanyutkan arus deras air banjir.
“Pada malam kejadian 18 Disember 2021, anak saudara saya dan isterinya yang sedang hamil, serta dua anaknya berada di dalam rumah arwah ibu saya itu.

“Nasib baik mereka sempat menyelamatkan diri dengan memanjat dinding garaj kereta yang terletak di antara rumah arwah ibu saya dan rumah dua tingkat baharu saya yang sedang dibina tersebut.
“Garaj itu pun sebenarnya masih dalam pembinaan, namun mereka bernasib baik kerana dari dinding garaj yang dipanjat itu, mereka anak-beranak kemudian meniti di atas kayu untuk ke tingkat dua rumah baharu saya itu, sejurus rumah arwah ibu saya roboh dan musnah dihanyut dibawa arus deras air banjir berkenaan,” jelasnya.
Ditanya mengenai bantuan yang diterima, Abdul Rahman juga memaklumkan dia ada menerima bantuan daripada Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) melalui Yayasan Taqwa-MAIWP.
Katanya, bantuan berjumlah RM35,000 itu digunakan untuk membaik pulih rumahnya termasuk menggantikan pintu, tingkap, serta dinding rumah yang pecah akibat arus deras banjir.

Sementara itu, Narimah Zainal, 67, berkata kesemua barang rumahnya terpaksa dibeli baharu termasuk peralatan untuk memasak disebabkan air banjir telah merosak dan menghanyutkan keseluruhan barang di rumah.
Menurutnya yang menetap di rumah itu bersama anak dan cucunya, kini dapur serta bilik air yang roboh dan hanyut semasa banjir tahun lalu sudah siap dibina semula dan telah mula digunakan oleh mereka sekeluarga.
Banjir melanda di hari raya
Narimah yang mengimbas kembali memori silamnya berkata, banjir yang dialaminya itu merupakan perkara biasa dalam hidupnya selama ini.
Malah dia pernah mengalami detik kejadian banjir besar yang melanda rumahnya 50 tahun lalu, yang menyebabkan dia dan arwah ibunya melarikan diri ke tempat tinggi di kawasan bukit berhampiran.

Justeru disebabkan sering dilanda banjir, ujar Narimah, rumahnya itu dibina di atas tiang-tiang batu. Namun jika banjir sebelum itu tidak menerjah masuk ke rumahnya itu, tetapi ‘banjir tsunami’ 18 Disember 2021 itu menyebabkan air berjaya memasuki kediamannya itu.
“Memang rumah saya ini dilanda banjir pada setiap tahun tetapi banjir besar pada 18 Disember tahun lepas itu sangat mengejutkan kami kerana arus derasnya agak luar biasa, malah empat rumah jiran saya yang lain musnah dihanyutkannya,” ungkapnya.
Reda dengan takdir Allah SWT, walaupun terpaksa menyambut Ramadan dan Aidil Fitri kali ini dalam serba kekurangan, namun Narimah menelan kenyataan itu sebagai realiti kehidupannya yang kini menetap di pinggir Sungai Langat sejak sekian lama.

“Rumah saya ini pernah dilanda banjir ketika hari raya, namun banjir sebelum ini tidak merosakkan peralatan dalam rumah seperti banjir pada 18 Disember 2021 itu.
“Pelbagai barangan keperluan rumah yang rosak (di atas rumah) dan dihanyutkan (dalam dapur rumah), sebahagiannya terpaksa dibeli yang baharu dan sebahagiannya ada pihak yang sudi mendermakan kepada saya dan keluarga,” jelasnya.
Menyentuh tentang Ramadan dan Aidil Fitri tahun ini, Narimah sekadar pasrah dan menerima kenyataan dan takdir yang telah dialaminya itu.

“Ramadan dan raya kali ini disambut dengan apa yang ada. Nak buat macam mana lagi. Seronok atau tidak seronok, bulan puasa dan hari raya datang jua.
“Kita yang berubah, keadaan tak berubah pun,” tuturnya.
Dalam pada Narimah mengakui dirinya dilanda kebimbangan setiap hujan turut dengan lebat menyebabkan dia tidak dapat tidur dengan nyenyak kerana bimbang jika air sungai melimpah dan banjir kembali melanda.
“Dalam kejadian banjir 18 Disember 2021 itu, saya dan keluarga terus melarikan diri keluar dari rumah sehelai sepinggang apabila melihat air banjir mula membanjiri kawasan rumah.
“Mak Cik ni kalau hujan turun, terus pesan pada anak, cuba tengok air sungai penuh atau tidak,” kongsinya.
Ramadan dan raya terakhir
“Ini merupakan sambutan Ramadan dan hari raya terakhir saya di sini,” ujar pula Zaharah Bidin, 62, seorang lagi penduduk di pingggir Sungai Langat di Batu 17, Dusun Tua yang turut menjadi mangsa dua kejadian banjir berkenaan.

Menurutnya, dia akan berpindah untuk tinggal di tempat yang lebih tinggi iaitu, di Kampung Darul Hidayah, di sini yang juga lebih dekat dengan rumah anak lelakinya.
Kata Zaharah, semasa banjir pada 18 Disember tahun lalu itu, rumah anak lelakinya di Darul Hidayah, Hulu Langat tidak ditenggelami banjir, justeru dia mengambil keputusan untuk menyewa di situ.
Selepas kejadian banjir berkenaan, ujar Zaharah, cucunya yang turut ada semasa kejadian trauma dan takut untuk menziarahi rumah yang didiaminya itu. Malah, cucunya akan menangis apabila hujan turun.
Dia sendiri berasa risau apabila hujan lebat dan air sungai mula naik, namun katanya ketakutan itu semakin berkurangan, sementelah dia akan berpindah tidak lama lagi.

“Sekarang ini kurang sudah rasa takut. Mak Cik pun nak pindah dah, tak duduk sini lagi. Jadi, kuranglah rasa takut itu untuk alami banjir lagi.
“Sekiranya difikir balik, mak cik tak mahu lagilah (hadapi benda sama), memang takut, tapi tidak boleh hendak tolak, benda nak jadi kan,” katanya.
Kesan daripada banjir tahun lalu itu, anaknya terpaksa membeli kenderaan baharu berikutan Proton Saga milik anaknya itu tidak dapat diselamatkan.
“Hampir kesemua barangan dalam rumah musnah dah sudah tidak dapat digunakan lagi, termasuk peti ais, mesin basuh dan tanaman serta pokok-pokok bunga kesayangannya.
“Namun, saya amat bersyukur ramai insan yang sudi menghulurkan bantuan barangan keperluan dalam rumah saya ini,” ungkapnya. – HARAKAHDAILY 5/4/2022
Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!
Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!