KAFA: Kelas tambah 2 hari, gaji tambah hanya RM200

Kelas tambah 2 hari seminggu, gaji tambah RM200 sebulan

- Advertisement -

BALIK PULAU: Guru Kelas Al Quran dan Fardu Ain (KAFA) di Pulau Pinang masih menerima bayaran tidak setimpal walaupun beban tugas mereka semakin bertambah, kata Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pulau Betong, Mohamad Shukor Zakariah.

Menurut beliau, ketika ini guru KAFA hanya menerima bayaran sekitar RM1,500 sebulan, sedangkan kelas kini berlangsung lima hari seminggu berbanding tiga hari sebelum ini.

- Advertisement -

“Kita memang perjuangkan betul-betul isu guru KAFA ini. Setakat hari ini gaji guru KAFA RM1,500 sedangkan gaji minimum sekarang RM1,700.

“Dulu kelas KAFA tiga hari sahaja, sekarang sudah lima hari. Jadi kita minta kerajaan negeri terutama EXCO Agama naikkan lagi bayaran daripada RM1,500 kepada RM1,800,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjadi tetamu program videocast Nadi Penang bersama pengacara Ir Ahmad Rafaie Dato’ Ir A Rashid dan Jamsari Samad, baru-baru ini.

Menurut beliau, kenaikan elaun sebelum ini daripada RM1,300 kepada RM1,500 juga hasil desakan berterusan yang dibangkitkan pembangkang dalam Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN).

“Kita desak dalam sidang DUN supaya kelas KAFA ditambah daripada tiga hari kepada lima hari dan gaji dinaikkan daripada RM1,300 kepada RM1,500.

“Sekarang ini kita minta tambah lagi. Pertambahan itu bukan besar sangat, lebih kurang RM5 juta sahaja setahun,” jelasnya.

Tambah beliau, jumlah tambahan tersebut tidak terlalu besar jika dibandingkan dengan peranan guru KAFA dalam membentuk generasi muda yang celik al Quran dan berakhlak.

Katanya, terdapat kira-kira 1,630 guru KAFA di Pulau Pinang yang masih menunggu pembelaan sewajarnya daripada kerajaan negeri.

“Guru KAFA bukan sahaja mengajar asas al Quran dan Fardu Ain kepada anak-anak, malah membantu membentuk sahsiah dan akhlak masyarakat sejak di bangku sekolah lagi,” ujarnya.

Dalam pada itu, beliau turut berkongsi inisiatif di DUN Pulau Betong menerusi kelas al-Quran percuma di Pejabat KADUN Pulau Betong bagi menggalakkan masyarakat celik al Quran.

Katanya, kelas tersebut diadakan setiap Isnin hingga Rabu bermula jam 8 malam hingga 9.30 malam dan dikendalikan empat guru hafiz al-Quran secara percuma untuk semua lapisan masyarakat.

“Kita nak seluruh rakyat Pulau Betong datang mengaji, tidak kira kanak-kanak, remaja ataupun orang dewasa.

“Saya keluarkan duit poket sendiri setiap bulan sebanyak RM2,000 untuk bayar guru-guru yang mengajar al Quran,” katanya.

Menurut beliau, sambutan diterima amat menggalakkan apabila bukan sahaja kanak-kanak hadir mengikuti kelas itu, malah golongan dewasa turut menyertainya.

Katanya, kelas tersebut bermula daripada asas Iqra’ sehingga ke tahap lebih tinggi bagi melahirkan masyarakat yang mampu membaca dan memahami al Quran dengan baik.

“Yang penting kita nak rakyat celik al Quran. Bila mereka sudah pandai nanti, mereka pula boleh ajar orang lain.

“Itu saham akhirat yang kita harapkan,” katanya. – HARAKAHDAILY 3/6/2026

- Advertisement -