
KUALA LUMPUR: Parti Islam Se-Malaysia (PAS) berhak menyuarakan dan memberikan pandangan strategik demi memastikan kestabilan, kesepaduan serta masa depan gabungan pembangkang yang lebih kukuh.
Ketua Dewan Himpunan Pendukung PAS (DHPP) Pusat, Kumaresan Baby Kalidawson menegaskan bahawa, PAS berhak bersuara berikutan kekuatan akar umbi yang kukuh, rekod pentadbiran di beberapa negeri serta sokongan rakyat yang signifikan.
“PAS tidak pernah mendakwa mempunyai hak mutlak untuk menentukan hala tuju mana-mana parti politik,” katanya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.
Beliau berkata demikian susulan kenyataan Parti Bersepakat Hak Rakyat Malaysia (URIMAI) berhubung pendirian mereka terhadap Perikatan Nasional (PN) serta pandangan bahawa PAS tidak seharusnya menentukan hala tuju pembangkang negara.
“Perbezaan pandangan dalam politik adalah sesuatu yang normal dalam sebuah negara demokrasi.
“Namun, perbezaan tersebut perlu diuruskan dengan saling menghormati serta berpaksikan fakta dan kepentingan rakyat, bukannya melalui tanggapan yang boleh menjarakkan usaha membina kerjasama yang lebih luas,” jelasnya.
Menurutnya, kenyataan bahawa PAS tidak mempunyai sokongan signifikan daripada masyarakat bukan Melayu tidak menggambarkan keseluruhan realiti politik semasa.
Beliau menjelaskan, melalui DHPP, PAS telah membuka ruang penyertaan luas kepada rakyat pelbagai kaum dan agama yang berkongsi aspirasi keadilan, integriti, tadbir urus baik serta kesejahteraan negara.
Hujah beliau, walaupun masih terdapat ruang untuk diperkasakan, semakin ramai rakyat pelbagai kaum dan agama mula menilai PAS dan PN berdasarkan dasar, rekod pentadbiran serta komitmen terhadap integriti, kestabilan dan kebajikan rakyat.
“Perkembangan ini menunjukkan bahawa sokongan politik hari ini semakin dipandu oleh keupayaan menawarkan penyelesaian kepada masalah rakyat, dan bukan semata-mata sentimen perkauman,” ulasnya.
Dalam pada itu, Kumaresan berkata, pendirian berkaitan penggunaan logo PN adalah selaras dengan prinsip organisasi serta peraturan gabungan.
Beliau menjelaskan, adalah normal bagi mana-mana gabungan politik menetapkan syarat bahawa hanya parti anggota sah dibenarkan menggunakan logo gabungan tersebut dalam pilihan raya.
“Prinsip ini bukan sesuatu yang luar biasa, sebaliknya merupakan amalan lazim dalam mana-mana organisasi politik yang tersusun,” ujarnya.
Beliau berkata, DHPP berpandangan, dalam keadaan rakyat berhadapan tekanan kos sara hidup, ketidaktentuan ekonomi serta pelbagai cabaran semasa, fokus utama pembangkang seharusnya tertumpu kepada usaha menawarkan penyelesaian kepada rakyat, bukan memperbesarkan perbezaan sesama sendiri.
Kumaresan turut menegaskan pihaknya menghormati hak URIMAI untuk menentukan hala tuju politik mereka sendiri.
“Namun pada masa sama, setiap parti dan gabungan politik juga wajar menghormati struktur, dasar serta keputusan yang dibuat oleh organisasi lain berdasarkan peraturan dan pertimbangan masing-masing,” tegas beliau.
Beliau berkata, PAS dan PN akan terus mengamalkan pendekatan politik yang matang, inklusif dan berteraskan dialog.
“Kami sentiasa terbuka untuk bekerjasama dengan mana-mana pihak yang berkongsi komitmen terhadap integriti, kestabilan, tadbir urus yang baik serta kesejahteraan rakyat Malaysia.
“Apa yang lebih penting, rakyat mengharapkan penyelesaian kepada isu-isu yang memberi kesan langsung kepada kehidupan mereka.
“Justeru, keutamaan semua pihak seharusnya tertumpu kepada usaha membina sebuah Malaysia yang lebih stabil, makmur dan sejahtera untuk generasi akan datang,” katanya.
Terdahulu, media tempatan melaporkan, Pengerusi URIMAI, Dr Ramasamy Palanisamy menegaskan, PAS tidak sepatutnya bertindak seolah-olah mempunyai hak menentukan hala tuju pembangkang kerana parti itu masih kekurangan sokongan signifikan daripada masyarakat bukan Melayu.
Beliau berkata, URIMAI tidak terdesak untuk menyertai PN, namun bersedia bekerjasama dengan pembangkang dan menyokong Presiden BERSATU, Tan Sri Muhyiddin Yassin serta BERSATU dalam kerangka gabungan Ikatan Prihatin Rakyat (IPR).
Ramasamy turut mempersoalkan tindakan PAS yang menolak penyertaan parti-parti IPR menggunakan logo PN, sambil membayangkan kemungkinan wujud motif politik untuk meminggirkan BERSATU.
Sebelum itu, Timbalan Presiden PAS, Dato’ Sri Tuan Ibrahim Tuan Man dilaporkan berkata, hanya anggota sah PN dibenarkan bertanding menggunakan logo tersebut. – HARAKAHDAILY 3/6/2026











