Trump, Netanyahu kini berada di penghujung jalan

Iran miliki kelebihan besar, tetapkan syarat baharu libatkan Gaza, Lubnan

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Pengerusi Lajnah Hal Ehwal Antarabangsa PAS Pusat, Dr Muhammad Khalil Abdul Hadi berpandangan, Republik Islam Iran mempunyai kelebihan besar dalam perkembangan semasa konflik di Asia Barat.

Beliau menegaskan, sebarang kesilapan ketika ini bakal menjerut rejim penjajah Zionis Israel dan Amerika Syarikat.

- Advertisement -

“Jelas, Republik Islam Iran mempunyai kelebihan besar kali ini, sedikit kesilapan bakal menjerut terus rejim penjajah Zionis Israel dan Amerika Syarikat.

“Donald Trump dan Benjamin Netanyahu kini berada di penghujung jalan,” katanya dalam satu kenyataan.

Menurut beliau, Republik Islam Iran kini menggantung rundingan untuk memuktamadkan draf memorandum persefahaman (MoU) dengan Amerika Syarikat bagi melanjutkan gencatan senjata serta menamatkan perang.

Beliau menyatakan, antara faktor utama tindakan itu ialah pencabulan gencatan senjata yang berterusan oleh rejim penjajah Zionis Israel, termasuk meluaskan pencerobohan ke atas Selatan Lubnan dan melancarkan serangan besar-besaran ke atas Beirut.

“Republik Islam Iran menekankan bahawa untuk meneruskan rundingan, rejim penjajah Zionis Israel perlu serta merta menghentikan serangan ke atas Semenanjung Gaza dan Lubnan serta mengundurkan keseluruhan tentera rejim penjajah Zionis Israel dari Selatan Lubnan.

“Selagi tidak dipenuhi tuntutan tersebut, rundingan tidak akan diteruskan,” ujar beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Batu Buruk.

Ustaz Khalil turut memaklumkan, ‘Axis of Resistant’ dan Republik Islam Iran secara bersama akan mengawal sepenuhnya serta melaksanakan sekatan ke atas Selat Hormuz dan mengaktifkan ‘kawasan perang baharu’, termasuk Bab Al-Mandab.

Tambah beliau, langkah itu bertujuan menghukum rejim penjajah Zionis Israel dan sekutunya.

Terdahulu, berdasarkan laporan media antarabangsa, Republik Islam Iran dijangka memasukkan klausa berkaitan Semenanjung Gaza dalam perjanjian dengan Amerika Syarikat selepas ini sebagaimana yang dilakukan terhadap Lubnan.

Susulan penggantungan rundingan, rejim penjajah Zionis Israel dilaporkan serta-merta menggantung rancangan untuk melancarkan serangan besar-besaran ke atas Beirut.

Media negara haram Israel turut melaporkan, Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump memaksa Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu supaya tidak meneruskan rancangan menyerang Beirut.

Perkara itu turut dinyatakan di laman media sosial Truth Social milik Trump, walaupun tidak sepenuhnya tepat apabila Trump menyatakan rundingan dengan Republik Islam Iran masih berlangsung.

Dalam perkembangan sama, Speaker Parlimen Iran, Mohammad Baqer Qalibaf dilaporkan menyatakan, jika rejim penjajah Zionis Israel tidak menghentikan serangan ke atas Lubnan, ia bakal berhadapan dengan Republik Islam Iran secara langsung. – HARAKAHDAILY 3/6/2026

- Advertisement -