Fazura lancar aplikasi gaya hidup Muslim alaf baharu sempena Ramadan

- Advertisement -

Oleh SYAHIRAH SALLEH

KUALA LUMPUR: Bersempena Ramadan kali ini, pelakon dan usahawan terkenal, Nur Fazura Sharifuddin telah melancarkan aplikasi berkonsepkan gaya hidup Muslim alaf baharu dikenali sebagai Mukmin Pro by Fazura.

Aplikasi Mukmin Pro dengan tema warna merah jambu dan putih itu menawarkan pelbagai program menarik dan interaktif seperti kelas belajar Tahsin Al-Quran oleh Sheikh Mohamed Elmongy, dan Kelas Asas Tarannum oleh Juara Tilawah Al-Quran antarabangsa, Nor Farhatul Fairuzah. 

- Advertisement -

Terdapat juga program Wakaf Al-Quran, pakej Qurban dan Aqiqah di Tanah Suci Makkah, serta Infaq makanan kepada golongan memerlukan.

Mukmin Pro tidak ketinggalan menjamin pelbagai ciri khas secara percuma serta jaminan perlindungan data pengguna.

Selain itu, antara fungsi asas dan ciri khas aplikasi Mukmin Pro ini adalah Al-Quran Digital, doa harian, audio bacaan zikir, waktu solat, azan, penunjuk arah kiblat, serta navigasi ke lokasi masjid berdekatan. 

Fazura dan Fattah serta Kumpulan Qasidah Kanzul Ulum yang didatangkan khas dari Pulau Pinang pada majlis pelancaran Mukmin Pro bersama Fazura di Hotel Mandarin Oriental Kuala Lumpur pada 1 April 2022. (FOTO MUHAMMAD ZHARIF ZULKIFLEE/HARAKAHDAILY)

Nur Fazura atau lebih mesra dikenali sebagai Faz berkata, penciptaan aplikasi itu merupakan salah satu impiannya dan beliau sangat bersyukur impian tersebut dapat direalisasikannya. 

“Mukmin Pro merupakan aplikasi telefon mudah alih untuk gaya hidup Islam yang menawarkan pelbagai ciri dan perkhidmatan, menghubungkan umat Islam di seluruh dunia dan mereka yang berminat untuk mendekati Islam.

“Alhamdullillah, Faz rasa sungguh bersyukur kerana satu lagi impian Faz dimakbulkan dengan pelancaran aplikasi #miliksemua ini,” katanya ketika ditemui pada majlis pelancaran Mukmin Pro bersama Fazura di Hotel Mandarin Oriental di sini, hari ini. 

Fazura bersama Fattah dan Syed Huzaifah di pentas majlis pelancaran Mukmin Pro bersama Fazura.

Suami Fazura, pelakon Fattah Amin dan penaung bersama Mukmin Pro, Syed Huzaifah Syed Omar turut menghadiri acara yang diserikan lagi antaranya dengan kehadiran Kumpulan Qasidah Kanzul Ulum yang didatangkan khas dari Pulau Pinang untuk mengalunkan qasidah di pentas.

Sementara menurut Fazura lagi, aplikasi itu juga mengandungi pelbagai video islamik yang dikemaskini setiap hari dari navigasi video YouTube dan TikTok, selain sesuai ditonton oleh semua peringkat umur. 

“Pengguna boleh mula memuat turun aplikasi Mukmin Pro secara percuma di App Store dan Play Store,” katanya. – HARAKAHDAILY 1/4/2022

- Advertisement -