Ladang musang king tanah persendirian bukan Hutan Simpan Kekal

- Advertisement -

KOTA BHARU: Dakwaan yang dikeluarkan di media sosial oleh seorang pemimpin pembangkang berkaitan ladang durian dianggap tidak bertanggungjawab dan bermotifkan politik untuk memberikan imej yang tidak baik terhadap kerajaan negeri dalam suasana politik sekarang.

Setiausaha Politik Menteri Besar Mohd Asri Mat Daud berkata, sebahagian kawasan Hutan Simpanan Kekal Sungai Durian merupakan Zon Pembangunan Ladang Hutan.

Katanya kerajaan negeri sebelum ini memberi kelulusan kepada dua syarikat masing-masing bertarikh pada 7 Mei 2015 dan 15 April 2018 untuk pembangunan Projek Ladang Hutan Getah Klon Balak (TLC).

- Advertisement -

Menurutnya pada 21 Mei 2020, kerajaan negeri memberi kelulusan permohonan Projek Ladang Hutan Pelbagai Spesis kepada Projek Ladang Hutan Pelbagai Spesies dan Spesies Durian.

“Kelulusan tersebut dengan menetapkan keluasan penanaman spesies durian yang dibenarkan hanya 30 peratus daripada 350 hektar dan 404 hektar daripada keluasan yang diluluskan kepada dua syarikat tersebut.

“Syarikat berkenaan melantik kontraktor yang mengusaha penanaman musang king dan Li Yongbo hanya membuat pelaburan dalam kontraktor tersebut. Begitu juga sebagaimana berita tular berkaitan Li Yongbo pada tahun 2018 adalah melibatkan pelaburan yang dibuat ketika itu melalui kontraktor yang sama.

“Dengan itu, penglibatan Li Yongbo tiada kaitan sama sekali dengan keputusan kelulusan yang diberikan kerajaan negeri untuk projek tersebut,” katanya pada kenyataan malam ini.

Baru-baru ini Facebook di bawah akaun pengguna bernama ‘Husam Musa’ mendedahkan berkaitan aktiviti penanaman spesis durian di Hutan Simpanan Kekal Sungai Durian oleh Li Yongbo di kawasan seluas 2,200 ekar.

Mohd Asri berkata, isu yang dilontarkan Husam melibatkan Hutan Simpanan Kekal Sungai Durian yang berkeluasan 17,420 hektar.

Menurutnya persoalan yang melibatkan ladang musang king seluas 7,500 ekar sebagaimana tulisan Husam disahkan Jabatan Perhutanan Negeri Kelantan, ladang musang king tersebut melibatkan tanah persendirian bukannya Hutan Simpan Kekal atau tanah kerajaan.

“Rakyat Kelantan sedia maklum, kerajaan negeri sentiasa komited dan telus dalam pemeliharaan dan pemuliharaan alam semula jadi terutama hutan. Sehingga kini, kawasan berhutan di Kelantan adalah 51 peratus yang meliputi kawasan seluas 767,202.50 hektar daripada keluasan tanah negeri Kelantan.

“Keluasan Hutan Simpanan Kekal Kelantan adalah 629,880.95 hektar bersamaan dengan 42 peratus daripada keluasan tanah negeri sekali gus menjadi antara penyumbang terbesar keluasan hutan dan kelestarian negara,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 29/3/2022

- Advertisement -