‘Terima kasih rakyat Malaysia di Qatar’

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Dato’ Seri Ismail Sabri Yaakob melahirkan rasa gembira dapat bertemu dengan 200 ahli Keluarga Malaysia di Qatar.

Menurutnya, kira-kira 4,580 rakyat Malaysia menetap di Qatar dari pelbagai latar belakang seperti ahli perniagaan, golongan profesional dan lain-lain.

“Dalam pertemuan yang bermakna ini saya menerangkan kepada mereka perkembangan terkini tanah air terutama inisiatif kerajaan tangani Covid-19, dan jaminan bahawa Malaysia berada di landasan yang betul bagi pemulihan ekonomi negara,” ujarnya dalam catatan di laman Facebook beliau, hari ini.

- Advertisement -

Katanya lagi, turut disentuh adalah merapatkan kembali ikatan dengan negara luar dengan mengadakan beberapa siri lawatan termasuk negara ASEAN dan kini negara Timur Tengah seperti Qatar dan Emiriyah Arab Bersatu.

“Penting untuk kita mengekalkan hubungan ini bagi menarik pelaburan yang akan membantu proses pemulihan ekonomi yang dirancang.

“Terima kasih rakyat Malaysia di Qatar… sehingga kita berjumpa lagi semua…kalian tetap kebanggaan rakyat Malaysia walau berada jauh dari tanah air tercinta,” katanya.

Beliau juga bangga dengan semua Keluarga Malaysia di Qatar yang terus mengekalkan budaya Malaysia dan mendapat sanjungan dari rakyat Qatar.

“Ingatan saya, jadilah seperti ikan di laut yang tinggal dan makan dalam air masin namun isi tetap tawar dan tidak bertukar rasa menjadi ikan yang masin,” ujarnya lagi. – HARAKAHDAILY 29/3/2022

- Advertisement -