Jurang harga ketara punca bekalan minyak bersubsidi terputus

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Bekalan minyak masak bersubsidi terputus disebabkan oleh jurang harga yang besar antara minyak berharga subsidi dan harga pasaran.

- Advertisement -

Timbalan Menteri Kewangan 1, Dato’ Indera Mohd Shahar Abdullah berkata, perbezaan ketara antara harga bersubsidi dan harga pasaran itu mengakibatkan kesan langsung seperti penggunaan minyak masak bersubsidi oleh golongan bukan sasaran subsidi termasuklah sektor perniagaan seperti restoran.

“Inilah antara sebab utama golongan sasar iaitu isi rumah berpendapatan rendah berhadapan ketidakcukupan minyak masak bersubsidi walaupun pengeluaran 60 ribu metrik tan sebulan iaitu jauh melebihi keperluan isi rumah B40,” katanya.

Beliau berkata demikian menjawab dakwaan beklan minyak masak bersubsidi terputus disebabkan kelewatan kerajaan membayar subsidi kepada pihak pengilang.

Sebelum ini, Senator Ir Ts Khairil Nizam Khirudin, Senator Sr Mohd Apandi Mohamad, Senator Dr Wan Martina Wan Yusoff dan Senator Dato’ Zaiedi Suhaili membangkitkan isu berkenaan semasa membahaskan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan Tambahan 2021, di Dewan Negara.

Menurut Mohd Shahar, kerajaan telah mengambil langkah untuk mengekalkan harga bersubsidi pek sekilogram minyak masak pada RM2.50 sedangkan harga sebenar kini telah mencecah RM7.00 sekilogram.

Sementara itu katanya, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) melaksanakan Operasi OPS Goreng sepanjang tahun 2021 agar tidak berlaku ketirisan dan penyelewengan pihak yang tidak bertanggungjawab melalui pemeriksaan premis-premis perniagaan dan setiap rantaian bekalan.

“Bagi mengawal keberadaan minyak masak bersubsidi di pasaran, KPDNHEP menghadkan penjualan minyak masak paket sebanyak tiga paket bagi setiap pelanggan.

“Ini adalah bertujuan untuk memastikan bekalan minyak masak mencukupi untuk semua rakyat. KPDNHEP juga telah melaksanakan kerjasama bersama agensi penguatkuasaan yang lain untuk memastikan minyak masak tidak di seludup ke luar negara,” katanya. – HARAKAHDAILY 29/3/2022

- Advertisement -