Bangsa Johor tentukan masa depan politik Malaysia

- Advertisement -

PENGUNDI Johor, ramai yang mengakui bahawa untuk melakukan sesuatu perubahan, adalah satu perkara yang teramat sukar. 

Sejak 2008 apabila banyak negeri bertukar tangan daripada Barisan Nasional (BN) kepada Pakatan Rakyat (PR), Johor terus dilihat sebagai kubu terkuat Umno dalam negara.

- Advertisement -

Semuanya berubah 10 tahun kemudian, apabila pada 2018, pengundi Johor mengubah kerajaan tua lama BN kepada Pakatan Harapan (PH). Rakyat berbunga-bunga hatinya menunggu penuh harapan, supaya ada sinar terbaik buat mereka. 

Namun panas yang disangka hingga ke petang, rupanya hujan di tengah hari. PH juga tidak mampu dan lemah, lalu dijatuhkan.

Kini, rakyat semakin mudah menilai. Malaysia mencatatkan warna-warni politik yang pelbagai. Pengundi sudah ‘merasa’ hidup dalam zaman BN, melalui pula zaman PH selama 22 bulan, bernaung di bawah lembayung PAS bagi beberapa negeri Pantai Timur dan di Kedah (2008) serta Perak (zaman Dato’ Seri Mohammad Nizar Jamaluddin). 

Semua ini adalah suatu perbandingan yang rakyat boleh jadikan asas untuk memilih kerajaan akan datang.

Jika bangsa Johor khasnya inginkan pentadbiran yang lebih baik, integritinya bagus, berkebajikan serta prihatin rakyat, maka sudah pasti Umno bukanlah satu pilihan yang baik.

Sudah terbukti di seluruh negeri dan juga peringkat Persekutuan bagaimana pimpinan-pimpinan Umno telahpun didakwa, sedang didakwa dan yang sedang ketakutan menunggu masa kertas siasatan mereka pula akan dibuka! Salah kuasa, korupsi, kleptokrasi sudah sinonim dengan mereka.

Di sudut yang lain, PAS telah terbukti mentadbir dengan penuh jujur, amanah dan berintegriti. Tiada kes rasuah. Tiada salah guna kuasa. Rakyat tahu perkara ini. Dalam masa yang sama kerajaan PAS kompeten dalam menguruskan tatakelola negeri dan kini beberapa portfolio dalam negara.

Negeri Johor negeri yang kaya, kedudukan yang strategik, pelabuhan-pelabuhan yang maju, pendek kata Negeri Johor adalah lambang kemakmuran.

Negeri yang baik ini, wajib dipimpin oleh orang yang baik. Perikatan Nasional terbukti sepanjang berada di bawah pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin adalah satu gabungan terbaik, jujur dan amanah.

Undi BN, undur ke belakang. Undi PN, rakyat maju mara ke hadapan. Umno tidak sekali kali boleh diberi peluang kedua. Kerana hanya dengan kekalahan, mereka akan pandai berkawan, belajar erti persahabatan.

Kalahnya Umno-BN di Johor 12 Mac nanti, akan membuka peluang untuk kerjasama hebat dalam PRU-15. Kuasa Melayu Islam akan kembali teguh di persada. Masa depan politik Malaysia, tuan puan di Johor mampu tentukan.

DR SHAHID IZANI
Darulnaim Research Centre – HARAKAHDAILY 10/3/2022

- Advertisement -