Banjir puing: Rangka paradigma baharu minimumkan risiko

- Advertisement -

SUDAH tiba masanya, pihak kerajaan merangka mitigasi dan adaptasi dalam meminimumkan risiko fenomena bencana banjir puing (debris flood). Isu ini telah saya bangkitkan dalam perbahasan Usul Menjunjung Kasih Titah Diraja pada petang semalam.

Pakar geobencana menyatakan tragedi banjir yang dahsyat berlaku di Selangor dan Pahang pada 18 dan 19 Disember 2021 jelas menunjukkan kaitan dengan fenomena rantaian proses geologi iaitu bermula dengan tanah runtuh, aliran puing, banjir puing dan berakhir dengan banjir lumpur. Ia juga sama seperti yang berlaku di sepanjang Sungai Terengganu baru-baru ini berikutan fenomena aliran puing.

- Advertisement -

Saya mengesyorkan kerajaan melaksanakan pengurusan pengurangan risiko bencana geologi seperti mana yang dicadangkan oleh pakar-pakar. Ia bermula dari fasa menentukan kawasan yang berisiko dengan membuat pemetaan dan pemantauan berkala di lokasi-lokasi berpotensi bahaya dan berlaku aliran puing terutama di kawasan pergunungan dan tanah tinggi.

Walaupun banjir puing ini jarang berlaku seperti banjir biasa tetapi fenomena ini sering berlaku di kawasan pergunungan Malaysia jika berlaku hujan lebat yang berpanjangan dan tanah runtuh.

Selain itu, kajian dan penyelidikan mengenai aliran puing dan banjir puing perlu ditingkatkan lagi bagi memastikan mitigasi dan adaptasi untuk jangka masa yang panjang dapat dilaksanakan.

Walaupun negara masih lagi berhadapan dengan bencana banjir biasa, namun begitu fenomena banjir puing juga perlu diberi perhatian oleh pihak kerajaan kerana impak bencana ini bukan sahaja mengorbankan nyawa malah turut menyebabkan kemusnahan harta benda yang berskala besar. 

“Islam Menyatukan Ummah”

YB CHE ALIAS HAMID
Ahli Parlimen Kemaman – HARAKAHDAILY 10/3/2022

- Advertisement -