Krisis Ukraine: Mesir usaha tarik pelancong baharu

Sektor pelancongan Mesir mengalami impak dari segi penurunan ketara dalam tempahan pelancongan dari Rusia dan Ukraine sejak Ukraine diserang Rusia bermula 24 Februari 2022.
- Advertisement -

KAHERAH: Mesir sedang meneroka cara baharu untuk menarik pelancong selepas krisis Ukraine ‘memutuskan’ hubungan negara itu dengan Rusia dan Ukraine yang merupakan dua daripada pasaran paling menguntungkan dalam sektor pelancongannya sebelum ini.

Timbalan Menteri Pelacongan Mesir, Ghada Shalaby berkata, usaha berkenaan termasuklah kemungkinan membawa pelancong Rusia melalui negara ketiga jika sekatan dihentikan.

- Advertisement -

“Rusia dan Ukraine adalah dua pasaran terbesar kami (Mesir), namun kedua-duanya (Rusia dan Ukraine) kini terjejas. Sudah tentu ini adalah suatu kerugian besar,” ujarnya yang menambah bahawa terdapat penurunan 30 peratus dalam tempahan pelancongan dari Rusia dan Ukraine setakat ini pada Februari.

Menurut beliau, Mesir ketika ini telah berusaha untuk meningkatkan pelancong dari Eropah Barat, termasuk Britain, Jerman, Sepanyol, Perancis dan Itali, serta Hungary dan negara-negara Teluk Arab, terutama menjelang Ramadan dan Easter pada bulan depan.

“Satu kebimbangan ialah kenaikan harga bahan api sejak tentera Rusia memasuki Ukraine pada 24 Februari lalu, menjadikan kos penerbangan dan pakej pelancongan lebih mahal,” kata Shalaby.

Menurut data pusat Mesir, sektor pelancongan Mesir mengumpul AS$2.8 bilion dalam tempoh tiga bulan  hingga akhir September tahun lalu, namun  tidak mengeluarkan angka untuk jumlah pelancong atau jumlah pendapatan yang diperoleh mengikut negara berlainan.

“Satu pilihan untuk menarik pelancong Rusia berkemungkinan adalah melalui Turki.Itu adalah salah satu pilihan yang kami lihat, tetapi ia bukan satu-satunya. 

“Rakan sekerja kami di sektor penerbangan awam sedang mengkaji semua peluang ke arah situasi sekatan ini, dan kami sedang mencari untuk mendengar beberapa berita positif,” tambah Shalaby.

Dalam pada itu, Mesir telah menerima penerbangan kosong dari Rusia selepas membawa pulang pelancong Rusia yang terkandas di Mesir.

Ia juga telah menawarkan warga Ukraine yang terkandas di Mesir menerusi laluan ke Poland, Hungary, atau negara-negara yang telah membuka sempadan mereka kepada Ukraine.

Sebahagian daripada mereka dalam penerbangan Mesir itu  menuju ke negara-negara yang bersempadan dengan Ukraine untuk menjemput pelajar-pelajar  Mesir yang telah melarikan diri daripada krisis di Ukraine itu.

“Sehingga kini 20,000 pelancong Ukraine masih terkandas di Mesir akibat konflik serangan Rusia terhadap Ukarine itu, dengan kebanyakan mereka kini berada di pusat peranginan di Laut Merah. – Reuters

- Advertisement -