Kerajaan galakkan penglibatan wanita dalam bidang STEM

- Advertisement -

Oleh NOOR SARA MASHITOH MOHAMAD HANIF

KUALA LUMPUR: Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) melaksanakan 13 program sepanjang tahun lalu bagi menggalakkan penglibatan golongan wanita dalam bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM).

Timbalan Menterinya, Dato’ Ahmad Amzad Hashim,berkata MOSTI juga sentiasa menyokong supaya lebih ramai wanita melanjutkan pelajaran dan memilih STEM sebagai bidang kerjaya pilihan.

- Advertisement -

Katanya, usaha itu dilaksanakan melalui pelbagai pendekatan, sama ada di peringkat kementerian atau agensi di bawahnya dengan membudayakan sains dan teknologi di kalangan masyarakat, termasuk wanita.

“Program berkenaan termasuk Minggu Sains Negara, Cabaran Sains Negara, Rangkaian Saintis Muda dan PSNSciFest yang dijalankan di Pusat Sains Negara, Akademi Sains Malaysia dan beberapa lokasi lain,” katanya ketika menjawab soalan lisan Ahmad Fahmi Mohamed Fadzil (PH-Lembah Pantai) di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau berkata, Kementerian Pendidikan juga sentiasa berusaha untuk meningkatkan penglibatan murid secara menyeluruh tanpa mengira jantina, untuk menggalakkan dan menceburi bidang STEM.

Sementara itu, katanya antara tokoh wanita tempatan yang terbukti mempunyai kepakaran dalam bidang STEM ialah Profesor Emerita Dato’ Dr Asma Ismail yang mengetuai Akademi Sains Malaysia, iaitu badan tertinggi Sains, Teknologi, Inovasi dan Ekonomi (STIE) negara.

“Negara juga pernah mempunyai Pengarah Agensi Angkasa Negara, Profesor Emerita Tan Sri Dr Mazlan Othman yang juga ahli astrofizik pertama negara yang banyak memberi sumbangan kepada pembangunan aeroangkasa negara,” katanya.

Ahmad Amzad berkata, tokoh wanita lain ialah pakar Obstetrik & Ginekologi (O&G) dan aktivis kemanusiaan sejak lebih 20 tahun lalu, Tan Sri Dr Jemilah Mahmood.

“Beliau juga berjasa menjayakan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) di bawah MOSTI dari segi nasihat strategik dan penyelarasan kerjasama badan bukan kerajaan dalam dan luar negara,” ujarnya lagi.

Menjawab soalan tambahan, beliau berkata terdapat tiga teras strategik utama yang dilaksanakan oleh Pusat Sains Negara untuk melengkapi pembelajaran formal agar mudah difahami serta diterima oleh pelajar.

“Pertama, memupuk kemahiran berfikir melalui aktiviti yang menjana konsep berfikir aras tinggi menerusi latihan kepada guru Sains dan Matematik dan penggunaan modul pengajaran Sains tidak formal.

“Seterusnya memupuk teknik penyelesaian masalah melalui aktiviti sains yang berkait rapat dengan kehidupan seharian seperti penggunaan bahan kitar semula.

“Akhirnya, melalui suntikan elemen keseronokan berbentuk audiotainmen dalam pengajaran dan pembelajaran Sains dan Matematik seperti gabungan seni dan sains melalui muzik, gambar yang tidak terikat dengan rutin hafal,” katanya. – HARAKAHDAILY 10/3/2022

- Advertisement -