Kondisi PRN Melaka sukar berulang di Johor

M FAQIH

PECUTAN
akhir kurang menjadi. Sebaliknya bayangan Mei 2018 seperti berulang di Johor. Mungkin serupa tetapi berbeza. Ketika itu Pakatan Harapan (PH) dinobatkan sebagai pemenang.

Apakah kali ini untuk PH lagi? Namun, ramai mengharap tidak begitu. Berdasar gelombang akhir, nampak riak awal biru muda semakin gagah melangkah. Kata petugas Perikatan Nasional (PN) jauh berbeza berbanding PRN Melaka.

Banyak isyarat awal dapat dikesan. Sehingga hari ini bayangan poster presiden Umno payah ditemui di Johor. Sedangkan presiden parti lain kelihatan berlambak.

Mengapa dibiarkan begitu atau mungkin strategi saraf. Ia mengundang tanda tanya pengundi Bangsa Johor. Situasi serupa juga dirasai tenaga kempen dari luar.

Advertisement

Ketika menjejaki poster Ahmad Zahid Hamidi, sebaliknya muncul pula Bossku. Ia mengundang 1001 persepsi. Siapa presiden Umno sekarang, Zahid atau Najib Razak.

Apapun Bossku meluahkan rasa lega. Maka kata beliau sambutan yang diterima sepanjang aktiviti kempen bersama masyarakat Cina di Johor sangat menggalakkan.

Menurutnya terdapat tanda-tanda sokongan kaum Cina kembali kepada BN. Kata Ahli Parlimen Pekan terbabit tak mungkin berulang seperti 2018.

Ternyata Najib hebat. Apa rahsia sehingga Najib dikerumun ramai orang ketika kempen. Sebuah portal pro DAP mendedahkan rahsia itu.

Seorang penjual kain dilapor memberitahu ‘Najib makan banyak wang. Cina betul-betul tak suka dia,” ujarnya.

Peniaga itu mendakwa ramai orang datang menemui Najib kerana menjangka mereka diberikan wang. “Orang nak duit saja, bukan nak apa,” tambahnya.

Ingat ada wang

Seorang lagi lelaki dilapor memberitahu dia membuang masa melihat kehadiran Najib kerana menyangka akan menerima wang. “Ingat ada wang. Tak ada wang,” katanya.

Tidak sukar rupanya mencari rahsia kebebatan Bossku. Namun strategi itu tidak boleh disalahkan Najib. Dia hadir ketika tiada ‘bapa’ Umno yang membantu kempen Umno/BN.

Rakyat dakwa jarang kelihatan kelibat Zahid ketika calon BN bermati-matian mempertahankan 16 kerusi Dun. Kerusi itu termasuk 14 milik Umno. Dua lagi dimenangi MIC pada PRU lepas.

Isunya mengapa Umno menyembunyikan poster presiden ketika ‘peperangan do or die’ di Johor.  

Bagi penganalisi politik Dr Wan Nik Wan Yussof, Umno seperti kehilangan rentak di Johor. Ia berbeza berbanding Melaka.

“Ada kesan perang saraf yang hebat ketika poster calon PN, PKR dan Pejuang berdampingan dengan ketua mereka. Berbeza pula bagi BN,” katanya.

Isyarat kedua juga membimbangkan. Carian info kempen Umno tidak banyak memaparkan gerak Umno. Sukar untuk mencari foto audien yang hadir. Laman Umnoonline sekadar menyerang PN, PH dan Pejuang. Paling banyak aktiviti kempen Bossku.

Mengambil kira perkembangan itu ada pihak menganggap Umno nampaknya seperti letih. Sedangkan sebelum ini Umno beriya-iya mahu membentuk kerajaan negeri secara solo.

Umno sanggup membuang sahabat yang pernah mengangkatnya daripada berada di saf pembangkang. Umno hanya bergelar pembangkang 22 bulan. Langkah Sheraton berjaya mengubah posisi Umno.

Ketika itu Umno tidak pula menggambarkan Bersatu sebagai pembelot. Umno seperti tidak kisah adegan ramai ahli parlimen BN melompat kepada Bersatu. Umno menutup sebelah mata ketika itu.

Namun, ramai sedar Umno menghimpit Bersatu secara perlahan-lahan. Akhirnya tokoh yang pernah menghampar permaidani untuk Umno dilempar ke tepi.

Babak yang berlaku pada Februari 2020 ramai masih ingat. Lebih-lebih lagi rakyat Johor. Mereka dekat dengan Abah yang pernah menerajui Johor pada 1986 hingga 1995. Sembilan tahun Muhyiddin berada di kerusi menteri besar.

Foto Ihsan Bahagian Komunikasi Korporat, Parlimen Malaysia

Sangat kenal Abah

“Gua kenal sangat Abah. Ketika itu Muhyiddin sebagai menteri besar Johor. Banyak jasanya kepada rakyat Johor,” kata Ah Meng, 78 dari Mersing.

Ah Meng kenal Muhyiddin ketika menerajui kerajaan Johor. Namun sekarang Abah ada gabungan parti yang lebih bersih. Ah Meng pun tahu Umno banyak dicemari kerana pemimpinnya.

Bukan sekadar Ah Meng dan Raju yang kenal Abah, kelompok anak muda juga begitu. Ketika tinjauan penulis di deretan kedai di Tanjung Mas, Muar ada yang sebut nama PN.

Anak muda terbabit mencari rezeki dengan berniaga. Ketika borak-borak sesama mereka, ada yang sebut PN berkali-kali.

Bagi beberapa kakitangan sebuah hotel di bandar Muar, mereka tidak akan melepaskan peluang mengundi Sabtu ini. Seorang daripadanya memberitahu mengundi di Dun Bukit Pasir.

Di laluan Tangkak-Semangat boleh ditemui bilik gerakan pilihan raya PN. Juga terdapat markas PAS. Terdapat ramai petugas yang mengatur gerak kerja kempen.

Sepanjang kira-kira 60 km laluan itu banyak terpampang poster Abah. Tidak kurang juga poster BN, Pejuang, PH dan Muda. Agak kurang menyerlah poster PKR, Warisan dan Putra di Segamat dan Muar.  

Seorang penduduk di Tangkak mendakwa ada kontraktor yang memasang bendera BN. Mereka memasang pada siang hari. Begitu juga poster PH warna merah.

Berbeza dengan poster dan bendera PN, dipasang petugas. Jentera pilihan raya PAS datang dari seluruh negara. Mereka banyak membantu. Malah PAS Sabah turut menghantar hampir 100 petugas.

“Saya nampak perbezaan yang jelas antara gerak kerja kempen di Melaka dan Johor. Kempen secara fizikal memberi kesan mendalam. Gelombang kebangkitan PN mulai kelihatan,” kata seorang petugas dari Kelantan.

Mengambil kira kondisi yang berlaku sekarang, sukar mencari pemenang mutlak. Hampir pasti DAP masih mendominasi Dun komposisi bukan Melayu ramai.

Amanah dan PKR pula agak sukar mempertahankan Dun sedia ada. Sebahagian kerusi tersebut dijangka terlepas kepada PN dan BN. Pejuang, PBM, Putra dan Muda ternyata kurang menyerlah.

Apa yang hampir pasti BN tidak mampu mengulang kejayaan di Melaka. Kondisi Johor seperti mengulangi lanskap di Sabah pada September 2020. – HARAKAHDAILY 10/3/2022