Tonga mula terima bantuan antarabangsa

- Advertisement -

WELLINGTON/SYDNEY: Bantuan kemanusiaan mula tiba di Tonga selepas masyarakat antarabangsa bertindak terhadap rayuan negara kecil di Lautan Pasifik yang menghadapi bencana alam dahsyat akibat letupan gunung berapi dan tsunami.

Penerbangan pertama dari Australia dan New Zealand mendarat di Tonga, semalam, membawa bekalan air yang amat diperlukan untuk kebersihan awam dan minuman, selain peralatan komunikasi dan penjana kuasa.

- Advertisement -

Kapal tentera laut New Zealand, HMNZS Aotearoa, yang membawa 250,000 liter air dan kemudahan penyulingan yang berupaya menghasilkan 70,000 liter air sehari, dijangka tiba hari ini.

Penerbangan bantuan kedua Australia yang terpaksa berpatah balik semalam, kerana masalah berkaitan penerbangan, juga dijangka tiba, hari ini.

Lebih banyak bantuan juga dibawa oleh HMAS Adelaide yang kini dalam perjalanan dari Brisbane dan dijangka tiba di Tonga, minggu depan.

Letupan gunung berapi Hunga Tonga-Hunga Ha’apai, menyebabkan tsunami yang membadai kampung, pusat peranginan dan banyak bangunan, termasuk kemudahan komunikasi di pulau didiami kira-kira 105,000 orang.

Setakat ini, pihak berkuasa melaporkan seramai tiga penduduk terbunuh, manakala debu gunung berapi yang menyelubungi pulau turut menjejaskan sumber bekalan air.

Jurucakap Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Stéphane Dujarric, berkata Tonga meminta bantuan segera masyarakat antarabangsa dan pihaknya berhubung rapat dengan kerajaan negara itu.

Menurutnya, pasukan penilai PBB juga kini berada di kebanyakan tempat di Tonga, termasuk pulau terpencil,” katanya.

“Kami masih bimbang dengan akses mendapatkan bekalan air bersih kira-kira 50,000 penduduk di seluruh negara ini. Ujian kualiti air juga diteruskan, manakala kebanyakan penduduk terpaksa bergantung kepada air botol,” katanya.

Dujarric berkata, debu gunung berapi, air masin dan kemungkinan hujan asid, menjejaskan pendapatan kira-kira 60,000 penduduk akibat kerosakan tanaman serta kematian ternakan, manakala nelayan tidak dapat ke laut.

Selain itu, bencana alam menyebabkan bekalan bahan api terjejas.

Menteri Luar Australia, Marise Payne, pula hari ini, mengumumkan sumbangan wang tunai sebanyak A$1 juta kepada Tonga untuk bekalan kemanusiaan segera, dan bakal disusuli lebih banyak bantuan untuk pemulihan semula negara pulau itu.

“Impak letupan gunung berapi dan tsunami yang menyebabkan pelbagai kerosakan adalah cabaran berterusan kepada Tonga, terutama dari segi infrastruktur,” katanya yang turut menyatakan bahawa New Zealand dan Fiji juga berhubung rapat dengan Tonga.

Hubungan telefon antara Tonga dan dunia luar disambung semula Rabu lalu, namun pemulihan perkhidmatan internet dijangka mengambil masa sekurang-kurang sebulan.

Penduduk Tonga pula menjadikan media sosial untuk memaparkan imej kemusnahan akibat tsunami, selain memperincikan perasaan terkejut mereka selepas letupan besar gunung berapi.

Pusat Penerbangan Angkasa Lepas Goddard NASA, menganggarkan kuasa letupan gunung berapi di Tonga menyamai antara lima hingga 10 mega tan bahan letupan TNT atau lebih 500 kali daripada bom atom yang meledakkan Hiroshima dan Nagasi ketika Perang Dunia Ke-2. – REUTERS

- Advertisement -