Sumbangan MAIWP diserah melalui Pemangku Raja Pahang

KUANTAN: Pemangku Raja Pahang, Tengku Mahkota Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah telah berkenan menerima sumbangan bantuan untuk mangsa banjir negeri ini.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dato’ Ustaz Ahmad Marzuk Shaary mengetuai delegasi serahan sumbangan bantuan tersebut ketika mengadap baginda di Istana Abdul Aziz, di sini pagi tadi.

Advertisement

Sumbangan melalui program Sentuhan Kasih MAIWP sebanyak RM2 juta oleh Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) selaku agensi agama Persekutuan ini diharap membantu mangsa yang terjejas banjir baru-baru ini.

“Alhamdulillah, Baginda Tuanku selaku Pemangku Yang Dipertua Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP) telah berkenan untuk menerima sumbangan bantuan untuk negeri Pahang.

“Sumbangan merentasi sempadan negeri ini bertujuan untuk menyantuni mangsa yang terkesan akibat banjir yang melanda negeri Pahang baru-baru ini.

“Patik menjunjung kasih atas perkenan Baginda Tengku mencemar duli untuk bersama dalam majlis penyampaian sumbangan hari ini. 

“Semoga sumbangan kecil disalurkan ini sedikit sebanyak dapat membantu kesemua mereka terjejas akibat bencana yang melanda. Daulat Tuanku!” persembah Marzuk yang juga Ahli Parlimen Pengkalan Chepa.

Majlis penuh barakah ini turut dihadiri oleh Pengerusi MAIWP, Tan Sri Dr Mohd Daud Bakar dan juga Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif MAIWP, Mohd Nizam Yahya. – BERNAMA