Senat Perancis undi haramkan wanita Islam bertudung bersukan

- Advertisement -

PARIS: Perancis semakin hampir untuk mengharamkan wanita Islam bertudung terbabit dalam sukan yang disifatkan sebagai suatu tamparan hebat terhadap hak asasi manusia di negara ini.

Senat Perancis mengundi untuk mengharamkan simbol agama yang ketara dalam sukan, tindakan yang dilihat sebagai menyasarkan golongan wanita Islam yang walaupun bertudung, turut aktif dalam pelbagai jenis sukan.

- Advertisement -

Ahli politik sayap kanan yang mengundi pengharaman itu menyasarkan wanita Islam dengan menggunakan alasan demi kepentingan negara, iaitu keneutralan agama.

“Pendekatan ini bermatlamat untuk menekan semua bentuk berkaitan Islam, sama ada kepercayaan dan ibadah, serta ekspresif budaya dan politik,” kata aktivis hak asasi manusia Perancis, Maria De Cartena.

Bagaimanapun dalam tindakan yang jarang berlaku, keputusan kontroversi itu ditentang oleh kerajaan Emmanuel Macron, yang sebelum ini memainkan peranan utama melaksanakan perintah sekatan terhadap umat Islam sejak beberapa tahun lalu.

Disokong dengan 160 undi berbanding 143 undi menentang di Senat (seperti Dewan Negara di Parlimen Malaysia), keputusan itu menunjukkan Islamfobia sudah diinstitusikan,” kata De Cartena.

Aktivis penting kumpulan yang dikenali sebagai Kordinasi Menentang Undang-Undang Pemisahan, De Cartena berkata, kerajaan Perancis mendakwa bahawa undang-undang itu adalah untuk menentang pelampau Islam, tetapi pengkritik menyatakan bahawa kekangan terhadap kebebasan beragama tidak adil itu sebenarnya menyasarkan umat Islam.

Tindakan terbaharu di Senat Perancis, menyusuli pelbagai sekatan secara sistematik sejak beberapa tahun lalu terhadap penduduk Islam.

“Keputusan undi itu adalah tindakan terbaharu dengan Senat menunjukkan dasar Islamfobia yang menentang Islam dan penduduk Islam. Sikap itu kekal dan ada di mana-mana dalam politik, perundangan dan media,” katanya.

Awal bulan ini, kajian di Perancis menunjukkan terdapat kecenderungan kuat dalam media untuk memberi ruang kepada golongan sayap kanan menyuarakan pandangan mereka yang anti Islam.

Tahun lalu, Parlimen Perancis, membuat keputusan mengharamkan wanita Islam memakai tudung dalam lawatan sekolah anak-anak mereka dengan tudung dilihat sebagai ancaman terhadap ciri republik negara itu.

De Cartena berkata, tindakan ini disokong oleh Macron dan membentuk sebahagian naratif kerajaan, iaitu perjuangan menentang pemisahan Islam.

Tindakan Macron yang memberi tumpuan terhadap minoriti Islam seramai 5.4 juta daripada kira-kira 65 juta penduduk, ketika negara itu bergelut untuk menangani pandemik Covid-19, turut memberi kesan dari segi jaminan keselamatan dan kecelaruan identiti di mata dunia.

Ketika pilihan raya Presiden bakal diadakan berbaki beberapa bulan lagi, parti politik sama ada sayap kiri atau kanan, mula mempamerkan pendirian keras terhadap Islam dan amalan penduduk Islam. – TRTWorld

- Advertisement -