APMM Kuala Perlis rampas 2.3 tan daun ketum

- Advertisement -

Oleh NOOR SARA MASHITOH MOHAMAD HANIF

KANGAR: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) berjaya mematahkan percubaan menyeludup 2.3 tan daun ketum bernilai RM414,000 di perairan Kuala Perlis di sini, Sabtu lalu.

Kejadian jam 7.45 pagi itu berlaku kira-kira 1.5 batu nautika barat pantai Sungai Padang, Kuala Perlis di sini, apabila pasukan operasi khas APMM mengesan sebuah bot fiber tanpa nombor pendaftaran dipercayai dari Kuala Kedah menuju ke arah sempadan Thailand.

- Advertisement -

Pengarah APMM Negeri Kedah dan Perlis, Laksamana Pertama Maritim Mohd Zawawi Abdullah, berkata menyedari perkara itu, satu aset bersama Pasukan Zon Maritim Kuala Perlis diatur gerak bagi memintas dan menyerbu bot yang dikemudi dua lelaki itu.

Katanya, sebaik menyedari kehadiran pihak berkuasa yang mengarahkan suspek memberhentikan bot, kedua-dua suspek bertindak menukar haluan dengan berpatah balik ke arah pesisir pantai sebelum terjun ke dalam laut untuk melarikan diri.

“Bagaimanapun, usaha dua suspek warga tempatan berusia 25 dan 40 tahun berenang ke daratan gagal apabila berjaya ditahan anggota penguat kuasa APMM,” katanya dalam sidang media di Pejabat APMM Zon Maritim Kuala Perlis di sini, semalam.

Beliau berkata, pemeriksaan ke atas bot itu mendapati terdapat kanvas biru yang menutupi 230 bungkusan plastik hitam daun ketum seberat 2.3 tan yang disembunyikan dalam petak simpanan ikan hadapan bot itu.

“APMM percaya daun ketum cuba diseludup ke Thailand melalui jalan laut dengan proses pemunggahan bekalan daun ketum akan dilakukan di sekitar sempadan laut Malaysia-Thailand. Kita percaya nelayan dari negara jiran sudah bersiap sedia menunggu untuk mengambil bekalan daun ketum itu,” katanya.

Mohd Zawawi berkata, pemeriksaan lanjut menemui sebanyak 100 pil kuda yang dianggarkan bernilai RM2,500, dua paket syabu seberat 1.72 gram bernilai RM688 serta tiga paket kecil heroin seberat 1.47 gram dianggarkan bernilai RM117.60 di atas tempat kemudi bot itu.

Bagaimanapun, katanya dadah berkenaan dipercayai adalah untuk kegunaan suspek.

Berdasarkan hasil risikan, katanya APMM percaya suspek bertindak sebagai penghantar barang dan dipercayai telah melakukan antara tiga hingga empat kali penghantaran sebelum ini, selain didalangi sebuah sindiket.

“Nilai keseluruhan rampasan termasuk bot serta enjin dianggarkan sekitar RM537,305 dengan nilai rampasan daun ketum sahaja sekitar RM414,000,” katanya.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 30(3) Akta Racun 1952, Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 8(a) Akta Perikanan, manakala suspek direman sehingga 19 Januari ini untuk membantu siasatan.

Katanya, kejadian terbaharu ini adalah rampasan daun ketum yang pertama dan terbesar bagi APMM Zon Maritim Kuala Perlis tahun ini.

Sementara itu pada majlis yang sama, bekas Timbalan Pengarah Operasi APMM Negeri Perak, Komander Maritim Mohd Hashim Mat Zain, diperkenalkan sebagai Pengarah APMM Zon Maritim Kuala Perlis yang baharu.

Beliau menggantikan Komander Maritim Mohd Shafie Paing yang bertukar ke APMM Zon Maritim Kuching, Sarawak untuk bertugas di Unit Penguatkuasaan dan Eksesais Seksyen Operasi Negeri Sarawak. – HARAKAHDAILY 18/1/2022

- Advertisement -