MBSB Bank agih mesin kira wang kepada masjid

Noorhidayah menyerahkan mesin kira duit kepada wakil masjid.
- Advertisement -

Oleh NOOR SARA MASHITOH MOHAMAD HANIF

KANGAR:
Malaysia Building Society Berhad (MBSB) Bank akan mengagihkan 104 mesin kira duit untuk masjid-masjid di negeri Perlis.

Pengurus MBSB Cawangan Kangar, Noorhidayah Abdul Aziz berkata, pengagihan mesin kira duit secara percuma kepada masjid-masjid itu diharap dapat memudahkan ahli jawatankuasanya mengira jumlah kutipan sumbangan orang ramai.

- Advertisement -

Katanya, pihak masjid juga disarankan membuka akaun bank untuk memudahkan mereka menjalankan urusan termasuk penyimpanan dan pengeluaran.

“Mesin ini diharap dapat memudahkan pengurusan pihak masjid untuk mengira jumlah sumbangan terutamanya pada hari Jumaat.

“Pihak MBSB Bank juga telah memperuntukkan RM1,000 sebagai tambahan selain daripada penyerahan mesin itu,” ujarnya kepada Harakahdaily.

Beliau yang juga Alumni Universiti Utara Malaysia (UUM) akan bekerjasama dengan mahasiswa universiti itu untuk menjalankan beberapa aktiviti secara bersama.

“Antaranya membantu asnaf dan mereka yang kurang berkemampuan termasuk membantu ahli jawatankuasa masjid di negeri ini yang ingin membuka akaun dengan MBSB Bank.

“Pihak bank juga menyediakan khidmat nasihat dan bimbingan untuk menyelaras akaun-akaun masjid yang terpilih,” ujarnya lagi.

Menurutnya, sehingga kini tiga buah masjid telah menerima sumbangan RM1,000 dan mesin kira duit iaitu Masjid Al-Muqararabbin, Behor Empiang, Masjid Al-Rahim Titi Tok Bandar dan Masjid Darul Salam Kampung Padang Keria, Sanglang. 

“Bagi asnaf dan mereka yang kurang berkemampuan pihak MBSB juga akan membantu mengagihkan barang keperluan,” ujarnya.

Katanya, pihak masjid yang ingin membuka akaun dan mendapatkan mesin kira duit boleh menghubunginya di talian 012-5649476 atau Nur Hafilah di talian 013-4544115. – HARAKAHDAILY 18/1/2022

- Advertisement -