Ribut salji tebal: Jutaan penduduk AS terjejas

Sebahagian lebuh raya antara negeri telah ditutup di Carolina Utara susulan ribut salji yang melanda. (FOTO AFP)
- Advertisement -

WASHINGTON: Lebih 80 juta penduduk Amerika Syarikat terjejas dan terpaksa berlindung ketika ribut musim sejuk melanda bahagian timur negara itu pada Ahad (16 Jan) yang menyebabkan salji tebal dan hujan ais beku, serta bekalan elektrik terputus membabitkan kira-kira 235,000 penduduk.

Perkhidmatan Cuaca Kebangsaan (NWS) berkata, ribut berkenaan membawa kombinasi salji tebal, hujan ais beku dan angin kencang, sehingga menjejaskan tenggara dan pantai pertengahan Atlantik sebelum bergerak ke kawasan New England dan selatan Kanada.

- Advertisement -

“Laluan trafik turut terganggu, dengan beribu-ribu penerbangan dibatalkan dan sebahagian lebuh raya antara negeri yang sibuk ditutup di Carolina Utara.

“Pemandu kenderaan diberi amaran tentang keadaan jalan raya yang berbahaya di laluan utama utama dari Arkansas di Selatan sehingga ke negeri timur laut Maine,” ujar kenyataan tersebut.

Menurut NWS lagi, udara sejuk melampau itu yang sudah melanda di seluruh bahagian tengah dan timur AS dan akan bergabung untuk membentuk salji tebal lebih daripada satu kaki (30cm) ke arah utara merentasi bahagian atas Lembah Ohio melalui Great Lakes.

Ribut salji berkenaan pula menimbulkan kebimbangan berlaku puting beliung yang boleh menyebabkan banjir di bahagian pantai Florida, manakala angin kencang dan ais beku di Carolinas (Carolina Utara dan Carolina Selatan) dan ke bahagian utara melalui Appalachian.

Laluan trafik di seluruh bahagian tengah dan timur AS kini dilitupi salji yang tebal mencecah 30cm. (FOTO AFP)

Menurut laman web Flightware, kira-kira 2,900 penerbangan tempatan dan antarabangsa telah dibatalkan pada tengah hari Ahad dan 2,400 lagi telah ditangguhkan.

Dalam pada itu, laman web PowerOutrage.US pula melaporkan kira-kira 235,000 pelanggan di tenggara AS, termasuk lebih daripada 150,000 di Carolinas telah terputus bekalan kuasa elektrik.

Terdahulu, pada Jumaat, gabenor Georgia, Brian Kemp telah mengisytiharkan darurat, begitu juga di Virginia dan Carolina Utara.

The Weather Channel pula melaporkan bahawa salji yang melanda Carolina Utara sudah melebihi 30cm. NWS juga melaporkan beberapa kejadian salji tebal di Pensacola, Florida.

Bahagian timur laut AS telah pun menyaksikan keadaan huru-hara pada awal Januari lalu menyebabkan ratusan pemandu terperangkap selama lebih 24 jam di lebuh raya utama yang menghubungkan ke ibu negara, Washington. – AFP

- Advertisement -