Akta Kredit Pengguna pastikan skim BNPL patuh syariah

- Advertisement -

Oleh SRIHAYANIS ABASRI

KUALA LUMPUR: Penggubalan Akta Kredit Pengguna (CCA) akan membolehkan semua pemberi kredit termasuk skim ‘Beli Sekarang Bayar Kemudian’ (BNPL) tertakluk kepada peraturan yang sewajarnya.

Timbalan Menteri Kewangan II, Yamani Hafez Musa, berkata skim BNPL adalah antara inovasi kewangan baharu yang berkembang dan ketika ini, tidak tertakluk di bawah bidang kuasa mana-mana agensi pengawalseliaan.

- Advertisement -

Katanya, peraturan baharu itu bukan sahaja berhubung pengurusan, kawalan risiko dan perlindungan pengguna, malah merangkumi peraturan pematuhan syariah yang bersesuaian dalam menjalankan aktiviti BNPL.

“Kementerian Kewangan berserta Bank Negara Malaysia (BNM) dan Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) sedang menerajui usaha sama dengan kementerian dan agensi berkaitan untuk merumus suatu rangka kerja perundangan yang komprehensif.

“Hal demikian adalah untuk mengawal selia semua aktiviti kredit pengguna melalui penggubalan CCA dan penubuhan Lembaga Pemantauan Kredit Pengguna (CCOB) pada tahun 2022,” katanya menjawab soalan lisan Senator Dato’ Ahmad Yahaya di Dewan Negara, hari ini.

Ahmad yang juga Pesuruhjaya PAS Kedah meminta Menteri Kewangan menyatakan langkah pengawalseliaan Kementerian Kewangan bagi memastikan semua penyedia perkhidmatan aplikasi BNPL dalam talian mematuhi aspek syariah.

Yamani Hafez berkata, berdasarkan rancangan jangka masa panjang, CCOB akan menjadi badan pengawal selia tunggal bagi semua aktiviti kredit bermula dengan aktiviti kredit yang tidak dikawal selia oleh mana-mana kementerian atau agensi seperti BNPL.

Katanya, kerajaan juga menjangkakan banyak lagi inovasi baharu akan diperkenalkan sejajar dengan kepesatan pembangunan digital yang memerlukan inovasi ini dikawal dengan baik dan tidak menimbulkan isu pada masa hadapan. – HARAKAHDAILY 20/12/21

- Advertisement -