Perlis tetapkan tiga fokus Bajet 2022

- Advertisement -

Oleh NOOR SARA MASHITOH MOHAMAD HANIF

KANGAR: Kerajaan Negeri Perlis menetapkan tiga fokus utama dalam Bajet 2022 bagi memastikan segala perancangan dapat disempurnakan dan dicapai.

Menteri Besar Perlis, Dato’ Seri Azlan Man berkata, tiga perkara yang ditekankan dalam Bajet 2022 ialah pemulihan ekonomi rakyat, peningkatan kemakmuran dan kesejahteraan hidup rakyat; dan pengukuhan ekonomi negeri yang mampan.

- Advertisement -

“Sebanyak 7,661 ketua isi rumah (kir) di negeri ini dikategorikan di bawah miskin tegar dan 5,843 kir sebagai kategori miskin akibat dari pandemik Covid-19 dan perintah kawalan pergerakan yang diadakan.

“Oleh itu, kerajaan akan memperkenalkan pertanian untuk kehidupan (Kebuna) bagi menggalakkan penduduk setempat menanam dan mengeluarkan sendiri keperluan bahan makanan harian,” katanya ketika membentangkan Enakmen Perbekalan Tahun 2022 di Dewan Undangan Negeri Perlis, di sini, hari ini.

Menurut beliau lagi, Projek Kebuna ini akan memberi faedah kepada 1,500 orang peserta manakala projek tanaman hidroponik pula terbuka kepada 210 orang peserta khas kepada golongan B40.

“Mereka akan diberi bantuan pakej input dan peralatan pertanian berjumlah RM817,000 dan RM658,000 bagi projek pertanian hidroponik.

“Pertanian hidroponik ini memberi keutamaan kepada golongan belia yang berumur 18 hingga 25 tahun dan golongan asnaf,” katanya lagi.

Di bawah fokus kedua pula, pihaknya menyedari kepentingan kediaman sebagai keperluan asas yang penting dalam mengukur tahap kesejahteraan sesebuah negeri mahupun negara.

“Kerajaan negeri memperuntukkan RM2 juta bagi program bina dan baik pulih rumah manakala peruntukan untuk menaik taraf dan menyelenggara kawasan perumahan awam ialah sebanyak RM5.66 juta.

“Kualiti perkhidmatan dan bekalan air terawat juga akan ditingkatkan dengan jumlah peruntukan sebanyak RM74.81 juta manakala RM2.56 juta pula diperuntukkan bagi mengatasi masalah banjir kilat untuk kawasan-kawasan yang berisiko banjir,” ujarnya.

Antara lain, pembangunan masjid juga tidak dilupakan dengan memperuntukan sebanyak RM4.65 juta bagi beberapa projek naik taraf dan penyelenggaraan masjid di negeri ini.

Bagi mencapai fokus yang ketiga pula, katanya, sebanyak 37 projek akan dipantau oleh beliau sendiri menerusi Mesyuarat Jawatankuasa Koordinasi dan Pemantauan Projek Negeri Perlis.

“Sebahagian projek pelaburan adalah kesinambungan dari tahun ini ke tahun hadapan dan juga beberapa projek baharu.

“Pembinaan Asia Sustainable Transportation Institute (UniKL-ASTI) di Chuping dan Kangar Sentral antara dua projek baharu yang bakal dibina sedikit masa lagi,” katanya.

Menurut Azlan, secara keseluruhan Bajet 2022 kali ini adalah Bajet defisit dengan jumlah sebanyak RM67.34 juta ataupun penurunan sebanyak 0.25 peratus berbanding tahun 2021. – HARAKAHDAILY 7/12/2021

- Advertisement -