Musa’aadah Tijariyah bantu 1,391 asnaf terkesan akibat Covid-19

- Advertisement -

Oleh EVA NATASHA SADALI

KUALA LUMPUR: Program Bantuan Musa’aadah Tijariyah Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) yang pada mulanya dirancang membantu 700 individu asnaf yang terkesan akibat penularan wabak Covid-19 berjaya ditambah sehingga 1,391 orang.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Ustaz Idris Ahmad, berkata mereka yang menerima bantuan adalah seramai 1,069 orang di Kuala Lumpur, 485 orang di Labuan dan 47 orang di Putrajaya.

- Advertisement -

Katanya, ini berikutan peruntukan asal sebanyak RM2.1 juta telah ditambah kepada RM4.1 juta yang membolehkan lebih ramai pemohon daripada kalangan asnaf mendapat bantuan.

“Program Bantuan Musa’aadah Tijariyah adalah antara usaha kerajaan melalui Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) bagi membantu golongan yang terkesan akibat pandemik Covid-19,” katanya menjawab soalan Abdul Latiff Abdul Rahman (PAS-Kuala Krai) di Dewan Rakyat, hari ini.

Ketika sesi Waktu Pertanyaan Menteri, Abdul Latiff ingin mengetahui sejauh mana tindakan yang diambil Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) agar umat Islam di negara ini menyahut gagasan Keluarga Malaysia dalam tempoh 100 hari Petunjuk Prestasi Utama (KPI) jabatan berkenaan.

Ustaz Idris berkata, Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM) dengan kerjasama SME Bank melalui Program Keusahawanan Asnaf Ishraf 2.0 juga menawarkan latihan serta khidmat rundingan kepada golongan asnaf.

Menurutnya, seramai 79 orang peserta dari Perlis, Kedah, Melaka, Negeri Sembilan, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Sabah, menyertai program itu yang menawarkan bantuan sebanyak RM10,000 seorang, manakala satu lagi program membantu asnaf ialah Program Inspirasi-prenuer YaPEIM.

Sementara itu, katanya KPI yang ditetapkan kepada agensi agama di JPM ialah mengadakan latihan kepada seramai 8,600 peserta dan prestasi sebenar ialah sebanyak 97.53 peratus daripada sasaran berjaya dicapai.

Katanya, baki peserta program seramai 212 orang dijangka dapat dicapai dalam tempoh terdekat sebelum tamat tempoh 100 hari pada 9 Disember ini.

Setakat ini, katanya seramai 1,620 peniaga kecil menerima bantuan RM810,000 daripada Tabung Haji (TH) melalui program tanggungjawab sosial korporat (CSR).

Bagi menjaga kebajikan imam dan guru takmir, katanya kerajaan turut menyediakan skim perlindungan melalui Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) sebanyak RM232.82 setiap tahun bermula Mac lalu, manakala imam dan bilal seluruh negara menerima bayaran one-off sebanyak RM500.

“Pada masa sama, kerajaan mengadakan kelas pengajian takmir secara dalam talian dan bersemuka di seluruh negara apabila pandemik Covid-19 menurun.

“Begitu juga dengan program Taffaquh Fiddin guru takmir yang diadakan secara dalam talian, terutama ketika pandemik Covid-19 dan insya-Allah secara bersemuka di seluruh negara,” katanya.

Selain itu, katanya jumlah guru takmir akan ditambah seramai 1,000 orang bagi keperluan Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK), Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) serta Jabatan Penjara Malaysia. – HARAKAHDAILY 7/12/2021

- Advertisement -