Pencen Rakyat: Terengganu tunai janji manifesto PRU14

- Advertisement -

Oleh KHAIRUL AZLAM MOHAMAD

KUALA TERENGGANU:
Lebih 400 rakyat Terengganu pada usia warga emas yang tidak menikmati sebarang bentuk bantuan kebajikan atau pencen penjawat awam, layak menerima ‘Pencen Rakyat’ oleh kerajaan negeri.

Menteri Besar, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, bantuan Pencen Rakyat itu merupakan sebahagian daripada janji-janji Manifesto Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 yang lalu.

Katanya, dengan bantuan Pencen Rakyat itu menjadikan 18 daripada 20 janji manifesto pilihan raya lalu telah berjaya dilaksanakan.

- Advertisement -

“Ini salah satu daripada manifesto yang kita janji pada PRU14 lalu. Alhamdulillah, di negeri Terengganu ini sekarang 18 daripada 20 Janji Manifesto itu berjaya dilaksanakan.

“Insya-Allah, pada tahun 2022 ada dua lagi manifesto yang sedang kita rangkakan dalam Belanjawan Terengganu 2020 dan akan dilaksanakan, menjadikan kesemua janji kita pada PRU14 ditunaikan,” ujarnya.

Beliau berkata demikian dalam ucapannya pada Majlis Sumbangan Pencen Rakyat, Peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) Rhu Rendang di Dewan Majlis Daerah Marang, di sini, hari ini.

Hadir sama Pegawai Daerah Marang, Lizan Che Mat, Yang Dipertua Majlis Daerah Marang, Azizul Abdul Hadi, Ketua Polis Daerah Marang, DSP Mohd Zin Mat Aris dan Pengarah Majlis Tindakan DUN, Hassan Awang.

Menurut Menteri Besar itu, pada beberapa minggu lalu bantuan persekolahan telah agihkan kepada ribuan pelajar seluruh negeri Terengganu dan yang tercicir akan diselesaikan selepas ini.

“Mungkin tuan-tuan dan puan-puan  masih ingat, pada minggu lalu anak cucu kita ada yang menerima bantuan persekolahan. Saya dimaklumkan hampir 700 orang yang tercicir (bantuan) atas sebab-sebab tertentu. Insya-Allah, akan ada pihak daripada syarikat GLC (syarikat berkaitan kerajaan) yang akan menguruskan masalah yang tercicir itu.  

“Selain daripada bantuan pencen ini, tahun depan (2022) akan ada lagi pelbagai bantuan yang akan diberikan oleh kerajaan. Terutamanya, dalam membantu rakyat supaya dapat bangkit semula dalam fasa perubahan selepas pandemik Covid-19 ini.

“Insya-Allah, tahun 2022 ini suasana pandemik akan kita hadapi dengan lebih baik. Pengalaman kita banyak Insya-Allah, kita akan mampu dan ditambah pula dengan adanya suntikan penggalak vaksin,” jelasnya.

Sehubungan itu, Dr Samsuri mengingatkan pegawai dan agensi kerajaan agar dapat memastikan agihan bantuan sampai secara adil dan saksama tanpa mengira parti politik.

“Bantuan dan sumbangan yang tahun ini dan tahun-tahun yang akan datang 2022, pelbagai inisiatif yang akan kita berikan. Saya juga telah mengarahkan pegawai-pegawai kerajaan, agensinya supaya dipastikan dengan betul bantuan, agihan itu sampai secara adil dan saksama, tanpa mengira parti politik.

“Mereka yang betul-betul layak dan cukup syarat, kita kena beri. Jadi, usah kita ulangi kesilapan kerajaan yang terdahulu, yang meminggirkan sebahagian daripada penerima-penerima yang lain,” tegasnya.

Dalam perkembangan lain, kata ADUN Ru Rendang itu bahawa daerah Marang bakal menerima satu projek besar yang telah menjadi suatu keperluan semasa.

Katanya, sebuah jambatan baharu menelan belanja RM400 juta akan dibina merentasi Sungai Marang yang akan diadakan majlis pecah tanah antara bulan Januari atau Februari 2022.

“Ini semua ditanggung oleh kerajaan Pusat. Setelah kita berunding-berunding, Alhamdulillah, akhirnya dapat dan insya-Allah, pada bulan Januari depan atau Februari 2022, akan diadakan majlis pecah tanahnya.

“Kita sedar itu antara keperluan masyarakat setelah jalan besar daripada Jambu Bongkok bila sampai di Marang, jadi sempit pula,” ujarnya.

Pada majlis itu, seramai 404 orang menerima sumbangan duit Pencen Rakyat yang berjumlah RM50 sebulan atau RM600 setahun yang akan dibayar mulai sekarang. – HARAKAHDAILY 7/12/2021

- Advertisement -