Jualan Keluarga Malaysia di Pasir Mas esok, 4 Disember

- Advertisement -

Oleh SALMAH MAT HUSAIN

KOTA BHARU: Program pertama Jualan Keluarga Malaysia peringkat negeri Kelantan, esok akan menawarkan pelbagai barangan keperluan dengan harga antara 15 hingga 20 peratus lebih murah berbanding harga pasaran.

Program yang bermula jam 8 pagi hingga 1 tengah hari, diadakan di tapak letak kereta, berhadapan Pantai Timor Mart, Bandar Baru Lubok Jong, Pasir Mas.

- Advertisement -

Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Kelantan, Adnan Abdul Rahman, berkata penganjuran program itu selaras dengan hasrat kerajaan Persekutuan, untuk membolehkan masyarakat mendapat barangan keperluan pada harga lebih murah.

Katanya, program ini perlu dimanfaatkan sepenuhnya bagi membolehkan masyarakat dapat menangani peningkatan kos sara hidup, terutama ketika musim tengkujuh sekarang.

“Program yang diadakan dua kali sebulan di seluruh Kelantan meliputi kawasan bandar, pinggir bandar dan pedalaman,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Adnan berkata, program ini diadakan dengan kerjasama beberapa agensi kerajaan seperti Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) dan Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM).

Selain itu, katanya syarikat pemborong dan pengedar terpilih menjayakan program ini dengan antara barangan keperluan yang dijual ialah ayam proses, telur, ikan segar beku seperti kembung, selayang, selar, kelapa, lobak, cili merah, cili kering, halia, bawang besar, bawang kecil, tomato dan sayur berdaun.

Katanya, barangan kering turut dijual seperti susu pekat manis, sardin, kicap, sos cili, sos tomato, Milo dan ikan bilis, manakala antara barang kawalan ialah minyak masak paket satu kilogram, gula, tepung gandum dan beras lima dan 10 kilogram. – HARAKAHDAILY 3/12/21

- Advertisement -