MOTAC perlu jelaskan punca batik Malaysia mahal

Abdul Latiff Abdul Rahman
- Advertisement -

Oleh SYAHIRAH SALLEH

KUALA LUMPUR: Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) diminta menjelaskan punca harga batik keluaran Malaysia dilihat agak tinggi, berbanding batik keluaran Indonesia.

Ahli Parlimen Kuala Krai, Abdul Latiff Abdul Rahman, berkata Indonesia dapat menjual batik dengan harga yang lebih berdaya saing dan mampu milik.

- Advertisement -

Beliau beranggapan industri batik negara menjadi lesu disebabkan kurangnya pembeli yang mampu untuk membeli batik berikutan harga yang agak tinggi.

“Harga batik Malaysia agak tinggi sedikit, soalannya ialah, apakah puncanya?

“Adakah harga bahan mentahnya mahal seperti kain putih, pewarna dan sebagainya, atau nilai seninya yang menyebabkan harga mahal?” katanya.

Beliau berkata demikian ketika membahaskan Rang Undang-Undang Perbekalan 2022 (Bajet 2022) peringkat jawatankuasa bagi MOTAC, di Dewan Rakyat, hari ini.

Pada masa sama, Abdul Latiff berharap MOTAC dapat mengadakan libat urus dengan pemegang taruh untuk mencari jalan penyelesaian terbaik.

Katanya, cadangan itu diutarakan supaya rakyat Malaysia mampu memiliki batik Malaysia yang sangat unik.

Beliau turut mencadangkan Ahli Parlimen bersama menyokong batik keluaran Malaysia walaupun harganya sedikit tinggi berbanding batik negara jiran.

Sementara itu, Abdul Latiff mencadangkan MOTAC mewujudkan pelancongan berkonsepkan pusat pengajian pondok di Malaysia, iaitu Pondokstay.

Katanya, di Kelantan terdapat banyak pondok yang sesuai dijadikan sebagai projek perintis untuk program berkenaan.

“Pondokstay ialah sebuah produk yang menyediakan tempat tinggal dan pada masa sama menyediakan tempat pengajian agama.

“Pelancong boleh bercuti di pondok dan pada masa sama mengikuti kursus jangka pendek yang disediakan pondok dengan kerjasama MOTAC,” cadangnya.

Abdul Latiff yakin Pondokstay akan diterima ramai jika dipromosi dengan baik. – HARAKAHDAILY 25/11/21

- Advertisement -