Hiwalah langkah melindungi wanita – Ameerah

- Advertisement -

AMEERAH Malaysia mengucapkan tahniah kepada Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia di bawah Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) yang memandu usaha meminda tiga akta (Jadual 11 Akta Perkhidmatan Kewangan 2013, Akta Perkhidmatan Kewangan Islam 2013 dan Akta Institusi Kewangan Pembangunan 2002) bagi membolehkan akaun bank bekas suami atau bapa yang culas membayar nafkah disekat.

Hari ini, kadar perceraian di kalangan pasangan muda adalah tinggi. Menurut Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang), Dato’ Mas Ermieyati Samsudin, purata 121 permohonan perceraian membabitkan pasangan Muslim difailkan dalam tempoh sehari, manakala bagi permohonan perceraian membabitkan pasangan bukan-Islam pula, purata 18 kes direkodkan di seluruh negara dalam tempoh sehari.

- Advertisement -

Ameerah Malaysia melihat tindakan ini sangat tepat pada masanya bagi memastikan ibu-ibu muda ini terutamanya yang tiada mata pencarian, mendapat perlindungan undang-undang.

Ameerah Malaysia mengharapkan pihak-pihak yang berkepentingan seperti pihak-pihak yang terlibat dalam kes guaman, Peguam Syarie dan Hakim Mahkamah Syariah menggunakan ruang dan kuasa yang telah diberikan oleh kerajaan ini dengan sebaiknya.

Dari sudut pelaksanaan hiwalah ini juga, pihak-pihak yang berkaitan seperti majikan dan bank hendaklah membantu ke arah pelaksanaan usaha ini secara berkesan. Peranan semua pihak amat penting bagi memberi makna kepada pindaan yang telah diusahakan oleh kerajaan ini. 

Ameerah Malaysia berharap agar pindaan ini benar-benar dapat melindungi para wanita atau anak-anak yang menjadi mangsa bekas suami atau bapa yang culas membayar nafkah sekali gus mencerminkan prinsip Syariah yang memberi keadilan kepada pihak yang teraniaya.

Nafkah kepada keluarga adalah tanggungjawab yang amat berat kepada lelaki yang beriman. Diharapkan agar mekanisme yang disediakan oleh kerajaan ini dapat mendidik bekas suami atau bapa menjadi lelaki qawwam, yang bertanggungjawab kepada ahli keluarganya walaupun selepas berlakunya perceraian.

DR SITI MASTURA MUHAMMAD
Ketua Pengarah Ameerah Malaysia – HARAKAHDAILY 25/11/2021

Sumber Asal: https://m.facebook.com/326928899229778/posts/363809738875027

- Advertisement -