GKP bantu peniaga kecil bangkit semula

Fadhilah Mohd Fashol.
- Advertisement -

Oleh NOOR SARA MASHITOH MOHAMAD HANIF

KANGAR: Ketika ramai peniaga kecil berdepan kesukaran untuk bangkit semula selepas terjejas akibat pandemik Covid-19, kini mereka gembira apabila mendapat bantuan kerajaan melalui fasa kedua  Geran Khas Prihatin (GKP) 4.0 berjumlah RM500.

Sebelum ini Perdana Menteri, Dato’ Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan bantuan GKP yang memberi manfaat kepada lebih sejuta peniaga kecil dan sederhana (PKS) mikro yang layak.

- Advertisement -

Bayaran tersebut merupakan lanjutan daripada bayaran Fasa 1 sebanyak RM500 yang dibuat pada September 2021. Sehingga sekarang, setiap peniaga menerima bayaran berjumlah RM1,000 di bawah GKP 4.0 dalam usaha untuk meringankan beban kewangan mereka.

Rata-rata penerima GKP 4.0 ketika ditemui melahirkan perasaan lega dan gembira selepas menerima wang bantuan tersebut bagi kali kedua, semalam.

Seorang penerima, Fadhilah Mohd Fashol, 39, berkata bantuan tersebut tepat pada waktunya memandangkan peningkatan harga barang mentah sekarang ini.

“Saya gunakan wang bantuan GKP kali ini untuk beli bahan mentah seperti tepung, minyak, telur dan peralatan untuk pembungkusan.

“Alhamdulillah, bantuan sebelum ini, saya fokus untuk produk sejuk beku jadi saya gunakan wang tersebut untuk membeli peti sejuk yang lebih besar,” katanya yang menjalankan perniagaan menjual laksam sejak lima tahun lalu.

“Semenjak pandemik Covid-19 melanda, perniagaan saya sedikit terjejas. Namun, kita tidak boleh berputus asa, dan saya mula berjinak dengan menjual barang sejuk beku.

“Alhamdulillah, dapatlah membantu di samping perniagaan menjual laksam dengan membuat penghantaran sendiri, letak di vendor dan menerima tempahan,” ujarnya.

Seorang peniaga kek, Noor Hafiza Mansor, 37, pula  turut menzahirkan perasaan yang sama dan bersyukur dengan bantuan kewangan yang diterima tersebut.

“Alhamdulillah, wang GKP masuk tepat pada masanya seperti yang dijanjikan kerajaan. Bantuan kali ini saya akan gunakan sepenuhnya untuk membeli bahan mentah utama,” katanya. 

Noor Hafiza Mansor.

Menurutnya, dia juga membeli ketuhar dan alat pengadun yang lebih besar bagi menampung permintaan pelanggan.

Seorang lagi peniaga, Mohd Fahmi Othman, 29, turut menggunakan bantuan GKP berkenaan untuk melangsaikan hutang bahan mentah yang tertunggak.

Selain itu, dia juga menggunakan wang bantuan tersebut membaiki kenderaan yang digunakan bagi penghantaran makanan ke rumah pelanggan, selain mengubahsuai gerai dan menaiktaraf peralatan perniagaan.

Mohd Fahmi Othman.

“Bantuan GKP memang sangat membantu peniaga untuk bangkit kembali memulakan perniagaan, tambahan pula ketika ekonomi tidak menentu sekarang,” katanya yang menjalankan perniagaan makanan ayam gunting.

Beliau juga berharap kerajaan meneruskan bantuan segera seperti itu bagi meringankan beban kewangan peniaga PKS akibat pandemik Covid-19. – HARAKAHDAILY 24/11/2021

- Advertisement -