Wujudkan portal khas harga rumah

Wan Hassan Mohd Ramli
- Advertisement -

Oleh EVA NATASHA SADALI

KUALA LUMPUR: Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Hartanah (JPPH) perlu mewujudkan sebuah portal khas yang memaparkan maklumat harga rumah mengikut kawasan di seluruh negara.

Ahli Parlimen Dungun, Wan Hassan Mohd Ramli, berkata JPPH ketika ini hanya memberi maklumat harga terkini rumah kepada penjawat awam yang mahu membeli rumah, terutama mereka yang mahu mendapatkan pembiayaan Lembaga Pembiayaan Perumahan Sektor Awam (LPPSA).

- Advertisement -

Katanya, portal khas itu mampu membantu pembeli rumah dari sektor swasta mengetahui harga rumah terkini tanpa dimanipulasi oleh mana-mana pihak.

“Ini juga bagi memastikan ketelusan penetapan harga rumah dalam urusan perjanjian jual beli,” katanya dalam perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan 2022 peringkat jawatankuasa bagi Kementerian Kewangan di Dewan Rakyat, hari ini.

Sementara itu, Wan Hassan berkata, harga rumah kos rendah meningkat berkali-kali ganda menyebabkan mereka yang baru bekerja tidak mampu membeli rumah.

Beliau juga meminta kerajaan memperincikan peranan JPPH dalam usaha membantu kerajaan mengawal harga rumah dan tanah yang meningkat setiap tahun. – HARAKAHDAILY 24/11/2021